Fandi bin Ahmad



Tokoh-tokoh Melayu Singapura

Chua, Alvin, Nurulhudah Yusoff

Fandi Ahmad (l. 29 Mei 1962, Singapura–)1 merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan Singapura. Diiktiraf sebagai antara pemain bola sepak paling berjaya dalam sejarah negara, Fandi pernah bermain untuk kelab-kelab di Singapura, Indonesia, Belanda dan Malaysia sebelum beralih kepada bidang kejurulatihan di Singapura dan Indonesia. Sebagai seorang pemain yang popular, Fandi dikenali kerana sifat rendah diri, bakat luar biasa serta kecintaannya terhadap bola sepak.2 Pada ulang tahun kelahirannya yang ke-60 pada tahun 2022, beliau melancarkan biografi keduanya yang bertajuk Fandi: Honour & Sacrifice.3


Kehidupan Awal
Semasa kecil, Fandi dan keluarganya tinggal di kuarters kakitangan Hospital Woodbridge, tempat bapanya, Ahmad Wartam, bertugas. Ahmad merupakan bekas penjaga gol pasukan kebangsaan Singapura pada tahun 1960-an. Bagi membantu meringankan beban keluarga, Fandi menjual nasi lemak di kawasan hospital.4

Fandi menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Yio Chu Kang dan menunjukkan minat yang mendalam terhadap bola sepak sejak kecil. Beliau akhirnya berjaya memujuk bapanya, yang pada mulanya keberatan, untuk membawanya menonton perlawanan dan sesi latihan Piala Malaysia.5

Walaupun Fandi memulakan kerjaya awalnya sebagai penjaga gol seperti bapanya, beliau kemudiannya beralih ke posisi penyerang tengah atas nasihat gurunya ketika bermain untuk Sekolah Rendah Yio Chu Kang. Seorang guru turut mencadangkan agar beliau dan empat rakan sepasukannya menyertai Skim Bola Sepak Milo, sebuah program pembangunan bakat bola sepak untuk pemain muda yang berbakat. Namun, permohonan pertamanya tidak berjaya. Ibu bapa Fandi bercerai ketika beliau berusia 12 tahun, dan beliau kemudian berpindah ke sebuah kampung di Jalan Eunos untuk tinggal bersama datuk dan neneknya.6

Fandi meneruskan pendidikannya di Sekolah Menengah Serangoon Gardens dan menjalani latihan bola sepak bersama Kelab Sukan Kawasan Undi Kaki Bukit. Jurulatih kelab tersebut, Rahim Yati, menggalakkan beliau mencuba sekali lagi untuk menyertai Skim Bola Sepak Milo, dan kali ini permohonannya berjaya. Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran di Institut Vokasional Singapura, dan memperoleh Sijil Perdagangan Kebangsaan Tahap 3 pada tahun 1979.7


Kerjaya Awal Bola Sepak
Menjelang usia 15 tahun, Fandi telah menjadi pemain tetap pasukan Melayu Singapura. Pada tahun 1977, beliau dilantik sebagai naib kapten pasukan Bawah-16 Singapura yang memenangi kejohanan remaja Piala Lion City, dengan laporan akhbar ketika itu menggelarnya sebagai “sensasi bola sepak pelajar sekolah”.8 Pada tahun 1978, beliau menjadi kapten pasukan yang berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Lion City.9 Pada Ogos tahun yang sama, Fandi dipanggil menyertai jelajah latihan kebangsaan ke Rusia, sekali gus menjadi pemain bola sepak termuda yang mewakili Singapura.10

Pada Januari 1979, Fandi membuat penampilan sulung dalam Piala Malaysia di Stadium Nasional menentang Melaka.11 Dua bulan kemudian, beliau menjaringkan gol pertamanya dalam kejohanan itu ketika Singapura menewaskan Terengganu 2–1.12 Namun, musim tersebut berakhir dengan kekalahan 2–0 kepada Selangor dalam perlawanan akhir.13 Namun begitu, pada musim berikutnya, jurulatih Jita Singh menukar posisi Fandi kepada penyerang susulan persaraan penyerang senior Dollah Kassim dan Arshad Khamis.14 Kali ini, Fandi menjaringkan gol kemenangan Singapura dalam perlawanan akhir menentang Selangor yang berkesudahan 2–1, sebelum beliau memulakan Perkhidmatan Negara pada September 1980.15 Pada tahun 1981, Fandi bergelar pemain profesional dan dinobatkan sebagai Pemain Bola Sepak Terbaik oleh Persatuan Bola Sepak Singapura.16


Kerjaya Antarabangsa
Bakat Fandi telah menarik perhatian kelab dari luar negara. Menjelang April 1981, beberapa pasukan utama Malaysia dan kelab Switzerland, Young Boys of Berne, serta kelab ternama Argentina, Boca Juniors berminat untuk mendapatkan khidmat beliau. Pada Februari 1982, Jaap Reinders, pencari bakat kelab terkenal Belanda, Ajax Amsterdam, menjemput Fandi untuk menjalani ujian percubaan di Amsterdam. Terpikat dengan persembahannya sepanjang ujian tiga minggu dalam bulan Julai, Ajax menawarkan kontrak tiga tahun bernilai S$40,000 setahun. Namun, kelab Indonesia, NIAC Mitra, membuat tawaran lebih tinggi sebanyak S$75,000.17

Fandi cenderung untuk memilih Ajax Amsterdam, tetapi keluarganya menggesa beliau menerima tawaran daripada NIAC Mitra. Akhirnya, beliau menandatangani kontrak selama setahun bersama kelab Indonesia itu.18 Walaupun pengalaman beliau di sana menggembirakan, Fandi kemudian mengakui bahawa keputusan untuk tidak menyertai Ajax merupakan kesilapan terbesar dalam hidupnya.19

Selepas tamat menjalani Perkhidmatan Negara, Fandi berpindah ke Surabaya, Indonesia, pada Ogos 1982 untuk memulakan kerjaya bola sepak profesional bersama NIAC Mitra. Musim pertamanya amat berjaya, dengan beliau menjaringkan 13 gol dan membantu kelab itu menjuarai Liga Galatama.20 Pada Jun 1983, beliau turut membantu pasukan Singapura meraih pingat perak dalam temasya Sukan Asia Tenggara (SEA).21

Ketika sedang berunding dengan Arab-Malaysia Bank mengenai tawaran baharu dari Malaysia, pasukan divisyen utama Belanda, FC Groningen, menawarkan kontrak kepada Fandi pada Julai 1983. Beliau menandatangani kontrak selama setahun22 dan menjadi pemain Singapura pertama yang bermain dan menjaringkan gol dalam pertandingan piala di Eropah apabila beliau menjaringkan gol kedua dalam kemenangan 2–0 Groningen ke atas Inter Milan pada Oktober 1983. Pada akhir musim pertamanya di Belanda, Fandi menjaringkan 10 gol dalam 29 perlawanan, dan telah diundi sebagai pemain paling popular serta pemain paling bernilai oleh peminat Groningen pada tahun 1984.23

Pada tahun yang sama, Fandi memperbaharui kontraknya dengan Groningen, namun musim kedua beliau bersama kelab itu kurang memberangsangkan disebabkan kecederaan, penurunan prestasi, dan hubungan kerja yang tidak baik dengan jurulatih.24 Kontraknya tidak diperbaharui, dan beliau meninggalkan Groningen pada awal 1985.25 Walaupun tempoh beliau di sana singkat, Fandi tetap dikenang dengan penuh penghargaan oleh peminat Groningen.26 Pada tahun 1994, Groningen menjemput Fandi untuk kembali bermain bersama kelab tersebut, namun beliau menolak tawaran itu kerana faktor usia dan hasratnya untuk membantu pasukan Singapura menjuarai semula Piala Malaysia.27 Pada tahun 1999, Fandi telah dimasukkan ke dalam Hall of Fame Groningen sebagai salah seorang daripada 25 pemain terbaik kelab itu. Pada tahun 2003, beliau turut dinamakan dalam kesebelasan terbaik Groningen bagi abad ke-20.28


Kembali ke Piala Malaysia
Selepas meninggalkan Groningen pada tahun 1985, Fandi kembali ke Asia Tenggara dan menandatangani kontrak dua tahun bersama City Hall Sports Club di Kuala Lumpur.29 Kerjayanya di ibu kota Malaysia itu berjaya apabila beliau membantu kelab tersebut meraih kejuaraan Piala Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut dari 1987 hingga 1989.30

Selain musim Liga Malaysia, Fandi turut membantu pasukan Singapura meraih pingat perak dalam Sukan SEA tahun 1983, 1985, dan 1989.31 Penampilan terakhir Fandi dalam temasya Sukan SEA adalah pada tahun 1997 di Jakarta.32

Pada Jun 1990, Fandi menandatangani kontrak dua tahun bersama juara divisyen satu Greece, OFI Crete, dan berlepas ke Crete pada bulan Julai. Namun, beliau gagal menyesuaikan diri dan meninggalkan kelab itu selepas tujuh minggu.33 Pada tahun 1991, beliau menyertai pasukan Pahang di Malaysia dengan kontrak dua tahun bernilai S$12,000 sebulan,34 dan membantu Pahang memenangi Liga Malaysia serta Piala Malaysia pada tahun 1992. Pada tahun yang sama, laporan akhbar menamakan Fandi sebagai atlet jutawan pertama Singapura.35

Fandi kembali ke Singapura pada tahun 1993 dan menandatangani kontrak dua tahun bersama Persatuan Bola Sepak Singapura.36 Gol-gol beliau membantu Singapura mara ke final Piala Malaysia pada tahun tersebut, namun tewas di tangan Kedah.37 Sebagai penghargaan kerana mengetuai Singapura meraih kejuaraan Liga Malaysia dan Piala Malaysia, Fandi dianugerahkan Pingat Bakti Masyarakat pada Ogos 1994.38 Tahun itu juga merupakan tahun terakhir Singapura dan Fandi menyertai Liga Malaysia dan Piala Malaysia, apabila Singapura menarik diri daripada kejohanan tersebut.39


Kerjaya Kemudian
Pada tahun 1996, Fandi menandatangani kontrak lima tahun bernilai S$1 juta dengan rangkaian barangan sukan Royal Sporting House untuk menjadi duta produk mereka.40 Pada masa yang sama, beliau menyertai Geylang United dalam liga bola sepak profesional baharu Singapura, S.League,41 dan mengetuai Geylang meraih kejuaraan sulung S.League. Tahun tersebut juga menyaksikan beliau menjadi hos siri televisyen Meniti Pelangi bagi tujuan amal serta melancarkan album muzik berjudul Anugerah, yang terjual kira-kira 10,000 salinan.42

Selain daripada sokongan komersial dan penampilan media, Fandi turut menceburi beberapa perniagaan lain menerusi syarikatnya, Fandi Ahmad International, yang ditubuhkan pada tahun 1993. Antara pelaburan beliau termasuklah perniagaan kereta terpakai dan restoran, namun usaha ini tidak mencapai kejayaan.43

Pada tahun 1997, Fandi menyertai Kelab Bola Sepak Angkatan Bersenjata Singapura (SAFFC), dan membantu pasukan ini memenangi S.League dan Piala Singapura pada tahun yang sama, serta kejuaraan liga pada 1998. Beliau bersara daripada pasukan kebangsaan Singapura pada penghujung 1997.44 Pada Disember 1999, Fandi dilantik sebagai jurulatih SAFFC,45 dan berjaya membawa kelab meraih kejuaraan S.League pada tahun 2000 dan 2002 serta diundi sebagai Jurulatih Terbaik pada tahun 2000.46

Pada Januari 2003, Fandi menjadi penolong jurulatih pasukan kebangsaan dan turut mengakhiri tugasnya bersama SAFFC pada tahun yang sama.47 Pada November 2006, beliau dilantik sebagai ketua jurulatih kelab Indonesia, Pelita Jaya,48 tetapi meninggalkan kelab tersebut pada awal 2010 untuk menjaga isterinya, Wendy Jacobs, yang sedang dalam proses pemulihan selepas terjatuh.49 Pada Disember 2010, Fandi dilantik sebagai pengurus projek Asia50 untuk Genova International School of Soccer, dan pada 2011 menjadi pencari bakat kelab bola sepak Itali, Vicenza Serie B.51

Pada Mac 2011, Fandi menubuhkan Akademi Fandi Ahmad untuk pemain bola sepak muda.52 Pada bulan yang sama, beliau melancarkan buku kecergasan untuk kanak-kanak bertajuk OptimalFitness: For Junior Champions Ages 7–17, yang ditulis bersama Rano Izhar Rahmat, bekas ahli bina badan dan jurulatih sukan.53 Pada Mei 2011, Akademi Bola Sepak Sembawang dilancarkan dengan Fandi dilantik sebagai pengarah pembangunan belia.54

Pada tahun 2012, Fandi menyertai Johor FA (kemudian dikenali sebagai Johor Darul Ta’zim) sebagai penasihat teknikal dan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih.55 Di bawah bimbingannya, pasukan tersebut mara ke final Piala FA Malaysia 2013 dan meraih tempat ketiga dalam Liga Premier Malaysia. Beliau meninggalkan pasukan pada akhir 2013.56 Setelah kembali ke Singapura, Fandi mengetuai LionsXII dan membawa mereka meraih kemenangan dalam Piala FA Malaysia 2015.57

Fandi menyambung peranannya dengan Young Lions pada 2017 untuk memimpin pasukan ke Sukan Asia 2018 dan Sukan SEA 2019.58 Beliau juga bertindak sebagai ketua jurulatih sementara pasukan kebangsaan Singapura semasa Piala AFF Suzuki 2018; di bawah bimbingannya, Singapura mencatat kemenangan penting termasuk kemenangan 6–1 ke atas Timor-Leste.59 Beralih ke peranan pembangunan, Fandi berkhidmat sebagai Ketua Pembangunan Belia Elit Persatuan Bola Sepak Singapura, memberi tumpuan kepada pembangunan bakat muda dan mempertingkatkan laluan pembangunan belia.60 Beliau meletak jawatan pada Jun 2022 untuk menumpukan lebih masa kepada keluarganya.61

Pada Julai 2022, Fandi menyertai kelab Malaysia, Sri Pahang FC, sebagai penasihat teknikal62 dan dilantik sebagai ketua jurulatih pada Januari 2023.64 Di bawah kepimpinannya, pasukan mara ke final Piala Malaysia 2025, menandakan penampilan pertama mereka dalam final sejak 2014.64


Penulis
Alvin Chua


Dikemas kini oleh
Nurulhudah Yusoff


Rujukan
1. Ida Bachtiar, “Fandi Fanfare,” Straits Times, 21 December 1992, 8. (From NewspaperSG)

2. “Fandi Is Too Nice for His Own Good,” Straits Times, 12 November 2006, 37. (From NewspaperSG)
3. V.K. Santosh Kumar,“Fandi’s Book Goes Beyond Football”, Tabla!, 3 June 2022, 7. (From NewspaperSG). [Call no. SING 796.334092 POO]
4. “A Switch Puts Star Fandi in New Role,” Straits Times, 26 October 1994, 31 (From NewspaperSG); “Fandi Is Too Nice for His Own Good”; Jose Raymond, “A Superstar’s Sacred Ground,” Today, 27 June 2007,  44. (From NewspaperSG)
5. Wilfred Yeo, The Fandi Ahmad Story (Singapore: Brit Aspen Pub., 1993), 9, 15. (Call no. RSING 796.334092 YEO)
6. Yeo, The Fandi Ahmad Story, 14, 16–17.
7. Yeo, The Fandi Ahmad Story, 19–20.
8. Yeo, The Fandi Ahmad Story, 20–21; Wilfred Yeo, “Fandi: A Future More Illustrious Than Zainal’s,” Straits Times, 16 August 1978, 25. (From NewspaperSG)
9. Yeo, The Fandi Ahmad Story, 20.
10. Joe Dorai, “Fandi, Koh Shine On Russia Tour,” Straits Times, 25 August 1978, 29 (From NewspaperSG); Yeo, The Fandi Ahmad Story, 7, 23.
11. Joe Dorai, “Discipline – Fandi’s Second Name,” Straits Times, 9 January 1979, 25. (From NewspaperSG)
12. J. Low, “2-Goal Brilliance,” New Nation, 12 March 1979, 28. (From NewspaperSG)
13. Jeffrey Low, “Disputed Goal Gives Selangor Cup,” New Nation, 17 June 1979, 32. (From NewspaperSG)
14. Yeo, The Fandi Ahmad Story, 26.
15. “Fandi Is Too Nice for His Own Good”; Yeo, The Fandi Ahmad Story, 31.
16. “Fandi Is Too Nice for His Own Good.”
17. Yeo, The Fandi Ahmad Story, 36–37, 46..
18. Joe Dorai, “Why Fandi Took Up the $75,000 Offer,” Straits Times, 26 August 1982, 37. (From NewspaperSG)
19. Joe Dorai, “From Office Boy to Pin-Up Boy – But There Are More Goals Yet for Fandi,” Straits Times, 30 May 1994, 30. (From NewspaperSG); N. Edwards, “Top Singapore Soccer Star Espouses Humility,” Reuters News, 17 May 1998. (From Factiva via NLB’s eResources website) 
20. Yeo, The Fandi Ahmad Story, 49.
21. “Fandi Is Too Nice for His Own Good.”
22. “Fandi Goes Dutch,” Straits Times, 11 July 1983, 39; Kenneth Jalleh, “Inside Story,” Singapore Monitor, 19 July 1983, 31. (From NewspaperSG)
23. Terrence Voon, “Fandi's European Exploits,” Straits Times, 13 July 2008, 44 (From NewspaperSG); “Fandi Is Too Nice for His Own Good.”
24. Peter Khoo, “Fandi Signs for Greek Club OFI,” Straits Times, 16 June 1990, 37; Peter Siow, “Why Fandi Must Leave,” Straits Times, 31 January 1985, 43. (From NewspaperSG)
25. “Groningen: It’s all Over, Fandi,” Straits Times, 10 February 1985, 28. (From NewspaperSG)
26. “Fandi's European Exploits.”
27. “Fandi Turns Down Offer to Re-Join Groningen,” Straits Times, 7 July 1994, 31. (From NewspaperSG)
28. “Fandi's European Exploits.”
29. Joe Dorai, “Fandi Signs for City Hall,” Straits Times, 25 August 1985, 1. (From NewspaperSG)
30. “Fandi Is Too Nice for His Own Good.”
31. Chan TSe Chueen, “Seven To Be Inducted Into Hall of Fame,” Straits Times, 28 December 2001, 1. (From NewspaperSG)
32. S. Gulam, “Fandi Ahmad: If You Say So, I'll Go…,” New Paper, 25 February 1997, 37. (From NewspaperSG)
33. Khoo, “Fandi Signs for Greek Club OFI”; Wilfred Yeo, “Fandi Owns Up, Pays $51,000 for Release,” Straits Times, 12 October 1990, 38. (From NewspaperSG)
34. Joe Dorai, “From Office Boy To Pin-Up Boy – But There Are More Goals Yet for Fandi,” Straits Times, 30 May 1994, 30. (From NewspaperSG)
35. Bachtiar, “Fandi Fanfare.” 
36. “Fandi Is Too Nice for His Own Good.”
37. “Lions Had the Latent-but Lacked Tenacity and Tactics,” Straits Times, 5 December 1993, 39. (From NewspaperSG)
38. “Fandi Is Too Nice for His Own Good.”
39. “Sponsors: We Will Continue To Fund Local Soccer,” Straits Times, 23 February 1995, 31; Shahiron Sahari, “Short-Term Pain but Long-Term Gain,” Business Times, 2. (From NewspaperSG)
40. Wang Meng Meng, “Super Striker, Poor Salesman,” New Paper, 1 July 2007, 49. (From NewspaperSG)
41. “Fandi Is Too Nice for His Own Good.”
42. Bernard Pereira, “Fund and Show,” New Paper, 3 July 1997, 10; Rachel Lim, “Fandi Tackles Success and Moments To Cherish in Album,” Straits Times, 21 May 1996, 8. (From NewspaperSG)
43. Wang, “Super Striker, Poor Salesman.” 
44. “Fandi Is Too Nice for His Own Good.”
45. Neil Humphreys, “Fandi Is Now Warriors’ Coach,” Straits Times, 4 December 1999, 110. (From NewspaperSG)
46. Jose Raymond, “He’s Packing His Bags, Again,” Today, 6 November 2006, 40; Stanley Ho, “Blazing a New Trail,” Today, 9 April 2003, 31. (From NewspaperSG)
47. Chia Han Keong, “Fandi’s SAFFC Tenure Ends,” Straits Times, 21 October 2003, 33; Marc Lim, “Poulsen Quits; Fandi Is Assistant Coach,” Straits Times, 7 January 2003, 6. (From NewspaperSG)
48. Leonard Lim, “Kadir To Join Fandi at Indonesia’s Pelita,” Straits Times, 5 January 2007, 44; Raymond, “He’s Packing His Bags, Again.” 
49. S. Murali, “Give Up My Career for My Kids? Well…,” New Paper, 17 October 2010, 23. (From NewspaperSG)
50. Sazali Abdul Aziz, “Soccer Saga,” New Paper, 14 October 2011, 2–3. (From NewspaperSG)
51. “Football: Overseas Exposure Good for Singapore Footballers, Says Fandi,” Channel NewsAsia, 9 March 2011. (From Factiva via NLB’s eResources website)
52. David Lee, “Wendy’s IIlness,” New Paper, 11 February 2013, 2–3David Lee “F-17's Aim: Scholarships for Youth Footballers,” New Paper, 29 September 2013, 47. (From NewspaperSG)
53. “Football: Overseas Exposure Good for Singapore Footballers, Says Fandi”; Fandi Ahmad and Rano Izhar Rahmat, Optimal Fitness: For Junior Champions, Ages 7–17. (Singapore: [s.n.], 2011). (Call no. RSING 613.7180835 FAN)
54. Abdul Aziz, “Soccer Saga.” 
55. Yusoff A. Rahman, “Fandi Dilantik Penasihat Teknikal Johor,” Berita Harian, 30 January 2012, 15. (From NewspaperSG)
56. Fabius Chen, “Johor DT Remove Fandi From Coaching Duties,” Straits Times, 31 July 2013, 20. (From NewspaperSG)
57. Fabius Chen, “Fandi to coach LionsXII,” Straits Times, 8 December 2013, 48. (From NewspaperSG)
58. Shamir Osman and David Lee, “Fandi In, Tardy Out,” Straits Times. 15 December 2017, 10. (From NewspaperSG)
59. Wang Meng Meng, “Amri Ready To Step Up,” Straits Times, 19 November 2018, C10. (From NewspaperSG)
60. Sazali Abdul Aziz, “Fandi Gets New Role as FAS’ Head of Elite Youth,”Straits Times, 24 November 2019, 26. (From NewspaperSG)
61. “Fandi Ahmad Calls Time on FAS Stint After Seven Years,” Tabla!, 1 July 2022, 6. (From NewspaperSG)
62. Sazali Abdul Aziz, “Football: Fandi Ahmad Joins Pahang As Technical Adviser,” Straits Times, published 21 July 2022, https://www.straitstimes.com/sport/football/football-fandi-ahmad-joins-pahang-as-technical-advisor.
63. Deepanraj Ganesan, “Football: Fandi Ahmad Appointed As Pahang Head Coach,” Straits Times, published 17 January 2023, https://www.straitstimes.com/sport/football-fandi-ahmad-appointed-as-pahang-head-coach.
64. David Lee, “Fandi Overcomes Obstacles with Pahang To Reach Malaysia Cup Final Again,” Straits Times, published February 2025, https://www.straitstimes.com/sport/football/fandi-overcomes-obstacles-with-pahang-to-reach-malaysia-cup-final-again.
65. Norenshah Sahari, “Football – for Kicking, Oversleeping – a Waste of Time,” New Paper, 29 May 1996, 56 (From NewspaperSG); “Fandi Is Too Nice for His Own Good.”

Further resource
1. The Seventeen Connection: Fandi 17 (Singapore: Fandi Ahmad International, 1995). (Call no. RSING 796.33405 SC)


Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris.
For the English version of this article, click here.

Klik di sini untuk kembali ke halaman utama.
To go back to the home page, click here.


Maklumat dalam artikel ini disahkan betul setakat Oktober 2025 berdasarkan sejauh mana ia dapat dipastikan daripada sumber kami. Ia bukan bertujuan untuk dijadikan sejarah menyeluruh atau lengkap tentang sesebuah subjek. Sila hubungi Perpustakaan untuk mendapatkan bahan bacaan lanjut mengenai topik ini. Jika anda ada sebarang maklum balas, sila kongsikan di sini.





Loading...

You May Also Like

You are currently on:

{{selectedTopic.label}}

Loading...

{{displayedDesc}} See {{ readMoreText }}


Loading...

Rights Statement

The information on this page and any images that appear here may be used for private research and study purposes only. They may not be copied, altered or amended in any way without first gaining the permission of the copyright holder.

Beta BETA