Mohd Nor bin Mohd Yusofe(12 September 1937–16 April 2025)1, yang lebih dikenali sebagai Yusnor Ef, merupakan seorang penulis lirik prolifik yang telah menghasilkan ratusan lagu sepanjang lima dekad kerjayanya sebagai pemuzik. Bersama para pemuzik sezamannya seperti Kassim Masdor, beliau telah mencipta banyak lagu popular untuk penyanyi-penyanyi Melayu.
Kehidupan Awal dan Kerjaya Perguruan
Sejak kecil, Yusnor Ef telah menjual kuih-muih Melayu dan melakukan pelbagai pekerjaan sambilan untuk menyara kehidupan. Selepas era pendudukan Jepun di Singapura, beliau bersekolah di Sekolah Melayu Telok Kurau dari tahun 1946 hingga 1953 dan kemudiannya mengajar di Sekolah Melayu Telok Saga pada tahun 1954. Beliau meraih Diploma Tinggi dari Maktab Perguruan pada tahun 1958. Dikenali sebagai seorang yang berbakat besar dalam seni bahasa, Yusnor Ef — yang turut digelar sebagai “Cikgu” — mula menyalurkan bakat ini dalam bidang penulisan lirik lagu.2
Kerjaya Muzik
Yusnor Ef mendapat bimbingan daripada P. Ramlee, penyanyi, komposer, penerbit dan pengarah filem Melayu terkemuka pada era 1950-an dan 1960-an. P. Ramlee bukan sahaja menjadi pengaruh besar dalam kerjaya muzik dan perfileman beliau, bahkah turut memberikannya nama pentas "Yusnor Ef". Selain P. Ramlee, Yusnor Ef turut bekerja dengan komposer-komposer lain seperti Yusof B., Zubir Said, Kassim Masdor, S. Atan, dan Ahmad Nawab.3
Kerjasama beliau dengan Kassim Masdor, khususnya, membawa kepada penubuhan syarikat rakaman Senada Records pada tahun 1974. Senada Records telah menerbitkan banyak album yang menampilkan ramai bakat Melayu seperti Sanisah Huri, Rafeah Buang, Rahimah Rahim dan A. Ramlie.4 Kerjasama jangka panjang antara Yusnor Ef dan Kassim Masdor melahirkan ratusan lagu popular, kebanyakannya ditulis oleh Yusnor Ef, yang diilhamkan daripada pengalaman hidup beliau sendiri. Lagu-lagu ini dapat dihayati pendengar kerana liriknya berkait rapat dengan kehidupan mereka. Malahan, lagu-lagu ini masih berkumandang di radio hingga ke hari ini.5
Antara lagu-lagu terkenal beliau ialah “Gelisah”, “Kasih Sayang Suami Isteri”, Kembalilah Anakku” dan “ Tak Aku Sangka”. Namun, lagu yang paling dibanggakan Yusnor Ef ialah “Pemimpin Bermaruah” gubahan Iskandar Mirza Ismail yang beliau tujukan kepada mantan Menteri Mentor Lee Kuan Yew apabila beliau bersara sebagai Perdana Menteri. Yusnor Ef juga menulis seni kata Melayu bagi lagu "Home", karya Dick Lee.6
Pencapaian
Pada tahun 1983, Yusnor Ef menyertai Kementerian Pendidikan di bawah Institut Pembangunan Kurikulum Singapura untuk menghasilkan program televisyen pendidikan untuk kurikulum bahasa Melayu dan Pengetahuan Agama Islam bagi peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Berpegang pada falsafah “Muzik yang baik mengajar dan menyemai nilai baik dalam diri manusia. Muzik yang buruk merosakkan bangsa”, beliau sangat percaya pada pentingnya berkongsi ilmu dan kemahiran dengan generasi muda. Beliau berpendapat bahawa setiap kerja seni harus mempunyai nilai moral yang dapat dihayati oleh sesiapa yang menikmatinya. Beliau melihat usahanya sebagai ialah satu sumbangan kepada Singapura dan rakyatnya.7
Pada tahun 1992, Yusnor Ef menubuhkan PERKAMUS (Persatuan Karyawan Muzik Melayu Singapura) dan menjadi presidennya. Melalui PERKAMUS, beliau berusaha untuk meningkatkan martabat artis-artis Melayu Singapura.8 Yusnor Ef dianugerahkan Pingat Bakti Masyarakat pada tahun 2002 bagi menghargai sumgabngannya kepada bidang seni dan pada 2011, beliau menerima Pingat Budaya atas sumbangannya kepada terhadap dunia muzik di Singapura.9
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kerjaya awal Yusnor Ef sebagai seorang guru di Singapura sebelum era kemerdekaan, sila dengarkan rakaman wawancara sejarah lisan beliau di sini.
Penulis
Haniman Boniran
Rujukan
1. TributeSG, “Yusnor Ef,” The Esplanade, 12 October 2016, https://www.esplanade.com/offstage/arts/yusnor-ef.
2. TributeSG, “Yusnor Ef,” The Esplanade, 12 October 2016, https://www.esplanade.com/offstage/arts/yusnor-ef.
3. Audrey Perera, “Yusnor Ef: Songs about Life,” MusicSG, National Library Board, August 2010, https://www.nlb.gov.sg/main/api/MusicDetailPage/ViewPdf?resourceUuid=328d08c3-e8f7-4cb0-915c-06f03eabee6a.
4. Carl Hamm, “Rest in Peace Kassim Masdor,” Pop Yeh Yeh!, 8 February 2014, https://menarigogo.blogspot.com/2014/02/rest-in-peace-kassim-masdor.html.
5. TributeSG, “Yusnor Ef,” The Esplanade, 12 October 2016, https://www.esplanade.com/offstage/arts/yusnor-ef.
6. Audrey Perera, “Yusnor Ef: Songs about Life,” MusicSG, National Library Board, August 2010, https://www.nlb.gov.sg/main/api/MusicDetailPage/ViewPdf?resourceUuid=328d08c3-e8f7-4cb0-915c-06f03eabee6a.
7. TributeSG, “Yusnor Ef,” The Esplanade, 12 October 2016, https://www.esplanade.com/offstage/arts/yusnor-ef.
8. Tuminah Sapawi, “Body Set up to Champion Malay Musicians,” Straits Times, 31 January 1994, 14. (From NewspaperSG)
9. Audrey Perera, “Yusnor Ef: Songs about Life,” MusicSG, National Library Board, August 2010, https://www.nlb.gov.sg/main/api/MusicDetailPage/ViewPdf?resourceUuid=328d08c3-e8f7-4cb0-915c-06f03eabee6a.
Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris.
For the English version of this article, click here.
Klik di sini untuk kembali ke halaman utama.
To go back to the home page, click here.
Maklumat dalam artikel ini disahkan betul setakat Oktober 2025 berdasarkan sejauh mana ia dapat dipastikan daripada sumber kami. Ia bukan bertujuan untuk dijadikan sejarah menyeluruh atau lengkap tentang sesebuah subjek. Sila hubungi Perpustakaan untuk mendapatkan bahan bacaan lanjut mengenai topik ini. Jika anda ada sebarang maklum balas, sila kongsikan di sini.
The information on this page and any images that appear here may be used for private research and study purposes only. They may not be copied, altered or amended in any way without first gaining the permission of the copyright holder.
| BETA |