Cerita bermula pada pertengahan tahun 1943 dan berkisar pada Rahmat dan Pardi, yang bertemu di dalam keretapi membawa balik kuli-kuli Jawa yang dipaksa membuat landasan keretapi Siam ke Singapura. Dari Tanjong Pagar, mereka semua dibawa ke padang lumba lama di Race Course Road dan ditinggalkan askar Jepun untuk mereka mati di sana. Kerana tidak mahu berserah pada takdir, Rahmat dan Pardi berjalan keluar mencari makan. Pada suatu malam, Pardi pergi membawa diri meninggalkan Rahmat kerana dia terpandang rupa Rahmat seakan-akan rupa seekor kambing dan dia takut akan membunuh kawannya. Selama beberapa hari beliau berjalan, Pardi terpaksa memakan bangkai kerana tidak ada orang yang menghulur makanan. Pada hari kedua belas, beliau terbaring di jalanan di tepi Masjid Sultan tetapi tidak diperdulikan orang-orang Islam yang ada di situ. Tiga hari kemudian, belia meninggal dunia di situ juga tanpa dihiraukan kaum Muslimin sekeliling. Rahmat pula sedih ditinggalkan Pardi lalu membawa diri ke kampung orang-orang Melayu atau Islam untuk mencari makanan. Seorang lelaki yang baik budi menjemput Rahmat tinggal bersamanya sehingga dia sembuh. Enam bulan kemudian, Rahmat bekerja menjadi kuli. Beliau juga menjadi buruh sukarela menanam mayat orang-orang miskin yang tiada keluarga atau mereka yang mati di tepi-tepi jalan kerana kelaparan.