Ini adalah sebuah cerita dongeng yang berasal dari negeri Kedah. Ia mengisahkan tentang dua orang puteri kembar negeri Kedah. Puteri yang tua tersangat cantik rupanya dan kononnya berdarah putih. Adiknya pula walaupun cantik tidak setanding dengan kakaknya. Ramai anak-anak raja datang meminang si kakak tetapi ditolak Raja Kedah. Akhirnya, Raja Kedah memilih putera mahkota dari negeri jiran. Walaupun telah bertunang, seorang saudagar dari Kedah masih menceritakan tentang puteri itu kepada Raja Acheh. Raja Acheh menghantar rombongan ke Kedah untuk meminangnya. Kerana tidak mahu menghampakan Raja Acheh dan tidak mahu bermusuhan, Raja Kedah memberikan puteri yang bongsu kepada angkatan Acheh itu tanpa memberitahu perihal kedudukan yang sebenar. Akhirnya, rahsia Raja Kedah diketahui Raja Acheh yang teramat malu kerana ditipu. Baginda menyerang Kedah dan puteri sulung dibunuh oleh askar-askar Baginda.