Ridzwan bin Dzafir



Tokoh-tokoh Melayu Singapura

Chua, Alvin, Mohamad Tauhid Bin Mohd Bakhit

Ridzwan bin Dzafir (l. 27 Mac 1927, Singapura – m. 28 September 2011, Singapura), yang lebih dikenali sebagai Ridzwan Dzafir, ialah seorang penjawat awam yang terkenal kerana pengalaman luasnya dalam promosi dan rundingan perdagangan. Sebagai pengarah urusan Lembaga Pembangunan Perdagangan (kini dikenali sebagai IE Singapore) dari 1983 hingga 1999, beliau mewakili Singapura dalam lebih 500 persidangan dan mesyuarat antarabangsa serta menyertai 60 misi perdagangan. Penglibatan Ridzwan dalam rundingan perjanjian perdagangan dan ekonomi di rantau ini selama lebih tiga dekad membawa kepada gelaran beliau sebagai “Mr ASEAN”.1


Kehidupan Awal dan Pendidikan
Tidak lama selepas kelahiran Ridzwan, keluarganya berpindah ke sebuah bilik sewa di sebuah pondok (penginapan komuniti yang digemari oleh masyarakat Boyanese) di Jalan Klapa. Bapanya, Dzafir Abdul Karim, telah tiba di Singapura dari Pulau Bawean, Indonesia, pada awal 1900-an dan kemudiannya berkahwin dengan Rugayah Khodri, yang dilahirkan di Singapura daripada ibu bapa pendatang Madura.2

Ridzwan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampong Gelam, Sekolah Melayu Kota Raja, dan Sekolah Melayu Geylang, di mana beliau menamatkan Standard Empat pendidikan Melayu. Ramai kanak-kanak Melayu pada masa itu akan berhenti pendidikan di tahap ini, namun keluarga Ridzwan menghargai kepentingan pendidikan. Beliau seterusnya memasuki Sekolah Inggeris Telok Kurau, di mana beliau menyertai pasukan pengakap dan bersaing dalam sukan olahraga, bola sepak, badminton, ping pong serta renang. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Institusi Raffles.3

Sebelum ini, keluarga Ridzwan tinggal di kawasan bandar di mana komuniti etnik masing-masing kebanyakannya mengasingkan diri, kemudian mereka berpindah ke sebuah banglo di Geylang di mana mereka merupakan antara bilangan kecil keluarga Melayu di kawasan tersebut. Di kejiranan baharu ini, Ridzwan membina persahabatan, bermain, dan belajar bersama kanak-kanak daripada pelbagai bangsa.4

Pendudukan Jepun (1942–45) mengganggu pendidikan menengah Ridzwan, dan beliau ditugaskan dalam skim buruh paksa untuk menggali terowong di Bukit Pasir Panjang selama beberapa bulan. Selepas dibebaskan daripada skim tersebut, Ridzwan membantu menguruskan sebuah restoran yang ditubuhkan oleh abang-abangnya, Razak dan Karim. Beliau juga mempelajari bahasa Jepun dan bekerja beberapa minggu sebagai jurubahasa, namun kemudiannya kembali bekerja di restoran tersebut.5


Tahun-tahun Selepas Perang dan Kerjaya Awal
Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, Ridzwan kembali ke Institusi Raffles dan lulus peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1947. Beliau ditempatkan sebagai pelajar kedua terbaik di institusi tersebut dan merupakan antara 10 pelajar terbaik di Singapura dan Tanah Melayu. Dianugerahi biasiswa Raffles College bernilai $1,200 setahun, Ridzwan meneruskan pengajian di kolej dengan bantuan kewangan tambahan daripada abang sulungnya, Ahmad.6

Pada tahun 1949, Ridzwan berasa kecewa selepas gagal dalam tahun pertamanya di Raffles College (yang dinamakan semula sebagai University of Malaya pada tahun 1949) dan ingin meninggalkan sekolah untuk mencari pekerjaan. Beliau telah dipujuk untuk terus belajar oleh rakan-rakan dan profesor di kolej, serta menerima tajaan kerajaan untuk menggantikan biasiswa yang telah ditarik balik. Beliau juga menerima bantuan kewangan daripada seorang profesor, Alexander Oppenheim, dan mengajar secara sambilan di Anglo-Malay Evening School.7

Tiga tahun kemudian, Ridzwan menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang geografi. Selepas tamat pengajian, beliau memohon untuk menyertai perkhidmatan awam dan pada Oktober 1952, beliau menyertai Jabatan Kastam sebagai pegawai kastam junior yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pelesenan.8

Di Jabatan Kastam, Ridzwan bertugas di bahagian Darat dan Pelabuhan serta Unit Pendakwaan. Antaranya tugasnya termasuk mencari barang larangan, barangan yang boleh dikenakan duti dan penyeludup. Beliau juga mendaftar untuk menyertai bahagian penyelamat Pasukan Pertahanan Awam, dan pada tahun 1954, bertemu Mushrifah Abdul Aziz, seorang janda dengan dua orang anak yang bekerja sebagai jurutaip di situ. Pada tahun 1956, Ridzwan berkahwin dengannya walaupun mendapat bantahan daripada ahli keluarga.9

Pada tahun 1958, Ridzwan dilantik sebagai ketua stesen kastam cawangan Tampines. Tahun berikutnya, beliau dilantik sebagai penolong wakil perdagangan dan kebudayaan ke Jakarta, serta setiausaha dalam pasukan perdagangan Singapura yang merundingkan perjanjian kerjasama ekonomi dengan pihak Indonesia.10


Pengalaman dalam Hal Ehwal Luar Negeri
Pada tahun 1961, Ridzwan direkrut ke perkhidmatan pentadbiran sebagai pegawai di Bahagian Perdagangan, Kementerian Kewangan. Beliau kemudiannya ditempatkan di Jakarta sebagai wakil perdagangan dan kebudayaan, serta menubuhkan pejabat Singapura di sana pada peringkat awal hubungan diplomatik rasmi dengan Indonesia.11 Beliau kekal di Jakarta sehingga tahun 1963, ketika Singapura bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu dan semasa Konfrontasi Indonesia–Malaysia (1963–66).12

Susulan Singapura keluar daripada Malaysia pada tahun 1965, Ridzwan menubuhkan suruhanjaya tinggi negara yang baru merdeka di Kuala Lumpur pada September tahun yang sama. Sebagai setiausaha pertama di suruhanjaya tinggi itu, beliau menguruskan hal-hal ekonomi, perdagangan dan konsular pada ketika hubungan diplomatik antara Singapura dan Malaysia tegang. Ridzwan kemudiannya ditugaskan untuk menubuhkan kedutaan Singapura di Indonesia pada bulan Ogos 1966. Sebagai penasihat kedutaan dan penjawat sementara (chargé d’affaires), beliau memulihkan semula hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Indonesia.13

Kemudian dalam kerjayanya, antara tahun 1986 dan 1997, Ridzwan berkhidmat sebagai duta berkelana ke beberapa buah negara termasuk Argentina, Brazil, Chile, Panama dan Bangladesh. Beliau juga dilantik sebagai duta besar berkuasa penuh (ambassador-at-large) dari 2005 hingga 2008. Sebagai menghargai jasanya dalam mempromosikan perdagangan dan hubungan diplomatik, beliau menerima penghormatan daripada kerajaan Argentina, Thailand dan Chile.14


Kerjaya dalam Promosi dan Rundingan Perdagangan
Setibanya di Singapura pada September 1968, Ridzwan dilantik sebagai timbalan setiausaha di Bahagian Ekonomi Serantau sebelum kembali ke Bahagian Perdagangan sebagai timbalan pengarah perdagangan pada Oktober 1969. Beliau kemudiannya dilantik sebagai pengarah perdagangan dan mengawasi dasar dan promosi perdagangan, serta fungsi pengawalseliaan bahagian tersebut. Tugas beliau termasuk merundingkan perjanjian bagi komoditi import seperti beras.15

Pada tahun 1975, Ridzwan mencadangkan penukaran Bahagian Perdagangan kepada sebuah agensi yang lebih autonomi dan dilantik sebagai pengarah urusan apabila Jabatan Perdagangan ditubuhkan. Beliau terus memperjuangkan penubuhan lembaga berkanun berasaskan model agensi promosi perdagangan di Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong, dan Lembaga Pembangunan Perdagangan (Trade Development Board, TDB) akhirnya dilancarkan pada Januari 1983.16

Ridzwan mengetuai TDB sehingga 199917 dan terus memimpin pasukan Singapura dalam mesyuarat pegawai kanan ekonomi ASEAN. Beliau mempromosikan agenda Singapura mengenai perdagangan bebas di rantau ini, serta terlibat dalam rundingan yang membawa kepada penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (ASEAN Free Trade Area) dan skim Tarif Istimewa Berkesan Bersama (Common Effective Preferential Tariff, CEPT) pada tahun 1992. Ridzwan juga menyertai delegasi Singapura dalam rundingan Perjanjian Umum Mengenai Tarif dan Perdagangan (General Agreement on Tariffs and Trade, kini Pertubuhan Perdagangan Dunia) serta mesyuarat antarabangsa lain.18


Kerja Komuniti dan Pelantikan

Presiden MUIS
Pada 6 Ogos 1986, Ridzwan telah dilantik sebagai presiden Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), menggantikan Haji Ismail Said.19 Pada awalnya, beliau berasa keberatan untuk menerima jawatan tersebut kerana menyedari dirinya tidak begitu rapat dengan masyarakat Melayu/Islam pada ketika itu.20 Tambahan pula, beliau merasakan bahawa pemegang jawatan tersebut perlu mempunyai pemahaman mendalam tentang Islam, di mana beliau merasakan dirinya belum cukup layak.21 Namun, setelah membuat pertimbangan rapi serta dorongan daripada tokoh-tokoh ternama termasuk Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Goh Chok Tong, Ridzwan menerima cabaran tersebut.22

Sebagai presiden MUIS, beliau telah memperkenalkan beberapa perubahan penting. Antaranya, penstrukturan semula MUIS sebagai entiti korporat dengan misi yang jelas untuk membimbing masyarakat Islam tempatan ke arah kecemerlangan.23 Ridzwan turut memperkukuh hubungan MUIS dengan pertubuhan India/Muslim, khususnya melalui inisiatif beliau untuk mengintegrasikan beberapa pertubuhan India/Muslim ke dalam jawatankuasa MUIS serta memasukkan artikel bahasa Tamil dalam Warita, sebuah majalah terbitan MUIS.24 Pada tahun 1991, komuniti India/Muslim tempatan telah memberikan beliau penghormatan atas usaha-usaha ini.25

Tempoh asal pelantikan beliau selama 18 bulan telah dilanjutkan kepada tiga tahun,26 dan beliau kemudiannya dilantik semula untuk satu penggal tambahan selama setahun27 sebelum tempoh perkhidmatan beliau di MUIS berakhir secara rasmi pada 31 Disember 1990.28


Khidmat Masyarakat Lain
Pada 31 Mac 1987, Ridzwan telah dilantik sebagai pengerusi Perkhidmatan Kaunseling Muslim–Persatuan Anti-Narkotik Singapura (MCS-Sana), di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat, yang bertanggungjawab membendung dan membasmi penagihan dadah.29

Pada tahun 1990, beliau menjadi pengerusi kumpulan bantuan masyarakat MENDAKI dan telah menstruktur semula organisasi tersebut  dan program-programnya.30 Beliau telah meletakkan bidang ekonomi dan sosiobudaya dalam skop tanggungjawab badan ini yang diperluaskan.

Ridzwan juga merupakan ahli Majlis Penasihat Presiden dan Majlis Presiden bagi Hak Minoriti. Beliau pernah berkhidmat dalam pelbagai lembaga pengarah, termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan dan Yayasan Antarabangsa Singapura, serta telah dilantik sebagai pro-canselor Universiti Nasional Singapura pada tahun 1993.31

Pada tahun 1999, Ridzwan turut mempengerusikan kumpulan kerja yang menubuhkan Taman Warisan Melayu di Kampung Gelam, dan kemudiannya menjadi pengerusi Yayasan Warisan Melayu yang menguruskan pusat tersebut.32

Pada masa yang sama, beliau mengetuai jawatankuasa kutipan dana bagi Pertubuhan Sukarelawan Warga Emas33 di mana beliau menggalakkan jawatankuasa Melayu untuk meluaskan usaha kemasyarakatan mereka melampaui pertubuhan Melayu/Islam, serta menyokong penglibatan yang lebih besar dalam program-program kebangsaan.34


Kematian
Pada Ogos 2011, Ridzwan dimasukkan ke hospital selepas mengalami komplikasi akibat kegagalan buah pinggang, dan meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 September 2011. Susulan pemergiannya, pemimpin pemerintah dan masyarakat memberi penghormatan atas sumbangannya kepada perdagangan Singapura, kerjasamanya dengan masyarakat Melayu/Muslim, serta sokongannya terhadap kepelbagaian budaya.35


Anugerah36
1968: Pingat Pentadbiran Awam (Perak)
1981: Pingat Pentadbiran Awam (Emas)
1981: Pingat Rakan Buruh, NTUC
1984: Hiasan Diraja Pesuruhanjaya Gajah Putih (Kelas Kedua), Thailand
1987: Grand Cross of the Order of the Liberator General San Martin, Argentina
1990: Bintang Bakti Masyarakat
1991: Pingat Kehormatan (Emas), Persatuan Anti-Narkotik Singapura
1993: Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, NTUC
1993: Anugerah Ulang Tahun Ke-25, MUIS
1994: Pingat Bakti Setia
1995: Anugerah Pencapaian Cemerlang, Majlis Penyelarasan Kumpulan Aktiviti Melayu, People's Association
1996: Bernardo O’Higgins Grand Cruz, Chile
1997: Anugerah Ulang Tahun Ke-15, Mendaki
1998: Anugerah Ulang Tahun Ke-30, MUIS
1999: Anugerah Ulang Tahun Ke-30, Majlis Pusat
1999: Anugerah Teladan, Persatuan Bawean Singapura
2000: Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, NTUC
2006: Pingat Perkhidmatan Terpuji


Keluarga
Isteri: Mushrifah Abdul Aziz
Anak lelaki: Ruzman dan Mosbah (meninggal 1982; dari perkahwinan Mushrifah sebelumnya)37
Anak perempuan: Ruzikah; Mushalwah dan Mushriah (dari perkahwinan Mushrifah sebelumnya)38

Ridzwan mempunyai lapan cucu dan tiga cicit.39


Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengalaman Ridzwan Dzafir di Jakarta semasa dan selepas Konfrontasi Indonesia, serta khidmat diplomatiknya sebagai Pegawai Perhubungan dan Pemangku Duta Singapura, sila dengarkan rakaman wawancara sejarah lisan beliau di sini.


Penulis
Alvin Chua

Dikemas kini oleh
Mohamad Tauhid Bin Mohd Bakhit


Rujukan
1. “Be More Ambitious, Like Our Migrant Forefathers,” Straits Times, 20 March 2010, 38 (From NewspaperSG); Ridzwan Dzafir, Ridzwan Dzafir: From Pondok Boy To Singapore’s ‘Mr ASEAN’: An Autobiography (Singapore: Editions Didier Millet, 2009), 19, 139 (Call no. RSING 352.63092 RID); Wong Kim Hoh, “Ridzwan to Malays: Relish Competition,” Straits Times, 1 July 2009, 8. (From NewspaperSG)

2. Ridzwan Dzafir, From Pondok Boy To Singapore’s ‘Mr ASEAN’, 16, 17, 19; “Be More Ambitious, Like Our Migrant Forefathers.”
3. Ridzwan Dzafir, From Pondok Boy To Singapore’s ‘Mr ASEAN’, 31–37; “Be More Ambitious, Like Our Migrant Forefathers”; Sulaiman Jeem and Abdul Ghani Hamid, Aktivis Melayu/Islam di Singapura. (Singapore: Persatuan Wartawan Melayu Singapura, 1997), 332–35. (Call no. Malay RSING 305.89928 AKT)
4. Ridzwan Dzafir, From Pondok Boy To Singapore’s ‘Mr ASEAN’, 27–28.
5. Ridzwan Dzafir, From Pondok Boy To Singapore’s ‘Mr ASEAN’, 48–51.
6. Ridzwan Dzafir, From Pondok Boy To Singapore’s ‘Mr ASEAN’, 63–65; “Be More Ambitious, Like Our Migrant Forefathers.”
7. Ridzwan Dzafir, From Pondok Boy To Singapore’s ‘Mr ASEAN’, 67.
8. Ridzwan Dzafir, From Pondok Boy To Singapore’s ‘Mr ASEAN’, 71; “Be More Ambitious, Like Our Migrant Forefathers”; Zakir Hussain, “Pioneering Envoy, Trade Chief and Community Leader,” Straits Times, 29 September 2011, 8; Wong, “Ridzwan to Malays: Relish Competition.”
9. Ridzwan Dzafir, From Pondok Boy To Singapore’s ‘Mr ASEAN’, 73–75; Sulaiman Jeem and Abdul Ghani Hamid, Aktivis Melayu/Islam di Singapura, 332–35.
10. Ridzwan Dzafir, From Pondok Boy To Singapore’s ‘Mr ASEAN’, 76.
11. Wong, “Ridzwan to Malays: Relish Competition.”
12. Ridzwan Dzafir, From Pondok Boy To Singapore’s ‘Mr ASEAN’, 87–95; Zakir Hussain, “Pioneering Envoy, Trade Chief and Community Leader.”
13. Ridzwan Dzafir, From Pondok Boy To Singapore’s ‘Mr ASEAN’, 109, 111, 113; Wong, “Ridzwan to Malays: Relish Competition”;
Gretchen Liu, The Singapore Foreign Service: The First 40 Years (Singapore: Editions Didier Millet, 2005), 25–26, 83, 131, 183. (Call no. RSING q327.5957 LIU)
14. “Ridzwan Appointed S’pore Roving Envoy,” Straits Times, 26 January 1986, 10 (From NewspaperSG); Wong, “Ridzwan to Malays: Relish Competition”; Sulaiman Jeem and Abdul Ghani Hamid, Aktivis Melayu/Islam di Singapura, 332–35.
15. Elgin Toh, “Former High-Ranking Civil Servant Ridzwan Dies,” Straits Times, 29 September 2011, 1. (From NewspaperSG)
16. Zuraidah Ibrahim, “He Won the Best Trade Deals for Singapore,” Straits Times, 10 January 1999, 34. (From NewspaperSG)
17. Toh, “Former High-Ranking Civil Servant Ridzwan Dies.” 
18. Ridzwan Dzafir, From Pondok Boy To Singapore’s ‘Mr ASEAN’, 139–45, 149–52. 19. Zuraidah Ibrahim, “Pak Wan Shows Mettle as Leader,” Straits Times, 10 January 1999), 34. (From NewspaperSG)
19. “Ridzawan Dzafir Terus Pimpin Muis?,” Berita Harian, 20 August 1989, 1. (From NewspaperSG)
20. “Berat Mulanya Pimpin Jawatan Presiden,” Berita Harian, 13 September 1998, 3. (From NewspaperSG)
21. “Berat Mulanya Pimpin Jawatan Presiden.”
22. “Berat Mulanya Pimpin Jawatan Presiden.”
23. “Berat Mulanya Pimpin Jawatan Presiden.”
24. “Badan India-Islam Raikan Haji Ridzwan.”
25. “Badan India-Islam Raikan Haji Ridzwan,” Berita Harian, 26 January 1991, 12. (From NewspaperSG)
26. “Ridzawan Dzafir Terus Pimpin Muis?.”
27. “Ridzwan Re-appointed,” Business Times, 5 September 1989, 2. (From NewspaperSG)
28. “Muis Appointment,” Business Times, 1 January 1991, 14. (From NewspaperSG)
29. “Ridzwan Pengerusi MCS-Sana,” Berita Harian, 20 April 1987, 3. (From NewspaperSG)
30. Zuraidah Ibrahim, “Pak Wan Shows Mettle as Leader”; Toh, “Former High-Ranking Civil Servant Ridzwan Dies.”
31. Ridzwan Dzafir, From Pondok Boy To Singapore’s ‘Mr ASEAN’, 219–23; “Ex-MUIS Chief Ridzwan Dzafir Dies,” Channel NewsAsia, 28 September 2011. (From Factiva via NLB’s eResources website)
32. Wong, “Ridzwan to Malays: Relish Competition”; Zakir Hussain, “Pioneering Envoy, Trade Chief and Community Leader”; Sulaiman Jeem and Abdul Ghani Hamid, Aktivis Melayu/Islam di Singapura, 332–35.
33. “Melayu Digesa Libat Diri dalam Kegiatan Nasional,” Berita Harian, 18 June 1999, 13. (From NewspaperSG)
34. “Melayu Digesa Libat Diri dalam Kegiatan Nasional.”20. Zuraidah Ibrahim, “Pak Wan Shows Mettle as Leader”; Toh, “Former High-Ranking Civil Servant Ridzwan Dies.” 
35. Wong, “Ridzwan to Malays: Relish Competition”; Zakir Hussain, “Pioneering Envoy, Trade Chief and Community Leader”; Sulaiman Jeem and Abdul Ghani Hamid, Aktivis Melayu/Islam di Singapura, 332-35
36. Ridzwan Dzafir, From Pondok Boy To Singapore’s ‘Mr ASEAN’, 219–23; “Ex-MUIS Chief Ridzwan Dzafir Dies,” Channel NewsAsia, 28 September 2011. (From Factiva via NLB’s eResources website)
37. Toh, “Former High-Ranking Civil Servant Ridzwan Dies.” 
38. Ridzwan Dzafir, From Pondok Boy To Singapore’s ‘Mr ASEAN’, 231; Sulaiman Jeem and Abdul Ghani Hamid, Aktivis Melayu/Islam di Singapura, 332–35.
39. Ridzwan Dzafir, From Pondok Boy To Singapore’s ‘Mr ASEAN’, 217; Wong, “Ridzwan to Malays: Relish Competition.”


Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris.
For the English version of this article, click here.

Klik di sini untuk kembali ke halaman utama.
To go back to the home page, click here.


Maklumat dalam artikel ini disahkan betul setakat Oktober 2025 berdasarkan sejauh mana ia dapat dipastikan daripada sumber kami. Ia bukan bertujuan untuk dijadikan sejarah menyeluruh atau lengkap tentang sesebuah subjek. Sila hubungi Perpustakaan untuk mendapatkan bahan bacaan lanjut mengenai topik ini. Jika anda ada sebarang maklum balas, sila kongsikan di sini.

 





Rights Statement

The information on this page and any images that appear here may be used for private research and study purposes only. They may not be copied, altered or amended in any way without first gaining the permission of the copyright holder.

Beta BETA