Bahren Shaari



Tokoh-tokoh Melayu Singapura

Mohammad Rashikin Bin Rajah

Bahren (博林) (lahir 1962, Singapura–) merupakan seorang tokoh eksekutif perbankan yang tersohor, dengan lebih tiga dekad pengalaman dalam industri kewangan. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Bank Of Singapore dari 2015 hingga 2022, di mana kepimpinan strategiknya telah mendorong perluasan operasi bank tersebut ke peringkat global. Di bawah penerajuannya, institusi itu berjaya meluaskan pangkalan pelanggan secara signifikan, dan membina serta memperkukuhkan peranannya di peringkat antarabangsa dengan pembukaan pejabat di Eropah, Dubai dan Hong Kong.1


Kehidupan Awal dan Pendidikan 
Bahren Shaari dibesarkan di Kampong Tanjong Irau dalam kawasan Sembawang, di mana beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Sembawang sebelum meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim. Selepas menamatkan peperiksaan Peringkat A di Maktab Rendah Hwa Chong, beliau menerima tajaan biasiswa untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Nasional Singapura, dan berjaya menamatkan pengajian dengan ijazah Sarjana Muda pada tahun 1984.2


Kerjaya Dalam Perbankan 
Bahren memulakan kerjaya profesionalnya sebagai juruaudit di syarikat Coopers & Lybrand, sebelum beralih ke sektor kewangan selepas dua tahun kemudian. Pada tahun 1988, beliau menyertai syarikat American Express, yang menjadi titik permulaan kepada kerjaya cemerlang beliau dalam dunia kewangan. Beliau menyertai UBS Wealth Management pada tahun 1996, di mana beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan serta Ketua bagi Asia Tenggara dan Australia.3 Seterusnya, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Kanan Urusan di ING Asia Private Bank, di mana beliau telah dilantik sebagai Ketua Global bagi Asia Tenggara. Selepas pengambilalihan ING Asia Private Bank oleh OCBC Bank pada tahun 2009, institusi tersebut telah dijenamakan semula sebagai Bank of Singapore.4


Pelantikan Lain 
Bahren telah berkhidmat sebagai pengarah bukan eksekutif dan bebas di Singapore Press Holdings sejak April 2012. Selain itu, beliau merupakan ahli terkemuka dalam Majlis Penasihat Presiden, dan pernah berkhidmat sebagai ahli gantian dari April 2017 hingga Januari 2020.5


Anugerah dan Pengiktirafan 
Bahren telah dikurniakan Pingat Bakti Masyarakat pada tahun 2008 dan Bintang Bakti Masyarakat pada tahun 2018, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang dan berterusan beliau dalam perkhidmatan awam. Pada tahun 2016, beliau telah menerima Anugerah Darjah Utama Fellow daripada Institut Perbankan dan Kewangan Singapura, sebagai penghargaan terhadap impak besar beliau dalam industri kewangan serta kepimpinan teladan yang ditonjolkannya.6 Pada tahun 2018, beliau menerima beberapa anugerah berprestij, termasuk Anugerah Alumni Perniagaan Cemerlang daripada Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura.7 Pada tahun yang sama, beliau turut menerima Anugerah Jauhari Berita Harian (Tokoh Tahunan).8


Penulis
Mohammad Rashikin Bin Rajah


Rujukan
1. “Bank of Singapore appoints Jason Moo as Chief Executive Officer,” Hubbis, 4 January 2023, https://www.hubbis.com/news/bank-of-singapore-appoints-jason-moo-as-chief-executive-officer.
2. “Bank of S’pore Chief & Boxer Receive Berita Harian Achiever Awards,” New Paper, 1 November 2018, https://www.tnp.sg/news/singapore/bank-spore-chief-boxer-receive-berita-harian-achiever-awards.
3. Yasmine Yahya, (2014, February 17). “Banking on 25 Years of Experience to Be a Good Banker,” StraitsTimes, 17 February 2014. (From NewspaperSG)
4. “Bank of Singapore Chief Executive to Retire on Jan 31,” Reuters, 12 November 2014, https://www.reuters.com/article/bankofsingapore-ceo-succession-idUSL3N0T23XH20141112.
5. President’s Office, “Mr Bahren Shaari,” accessed 14 April 2025, https://www.istana.gov.sg/-/media/Istana/Presidents-Office/Council-of-Presidential-Advisors/CV_Bahren-Shaari.ashx.
6. President’s Office, “Mr Bahren Shaari.”
7. “Alumni Spotlight Stories: Bahren Shaari, Bank of Singapore,” NUS Business School, 26 April 2020, https://bizbeat.nus.edu.sg/get-inspired/article/alumni-spotlight-stories-bahren-shaari-bank-of-singapore/.
8. Jolene Ang, “Bank CEO Bahren Shaari is Berita Harian Achiever of the Year, Boxer Muhamad Ridhwan named Young Achiever,” Straits Times, 31 October 2018, https://www.straitstimes.com/singapore/bank-ceo-bahren-shaari-is-berita-harian-achiever-of-the-year-boxer-muhamad-ridhwan-named.


Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris.
For the English version of this article, click here.

Klik di sini untuk kembali ke halaman utama.
To go back to the home page, click here.


Maklumat dalam artikel ini disahkan betul setakat Oktober 2025 berdasarkan sejauh mana ia dapat dipastikan daripada sumber kami. Ia bukan bertujuan untuk dijadikan sejarah menyeluruh atau lengkap tentang sesebuah subjek. Sila hubungi Perpustakaan untuk mendapatkan bahan bacaan lanjut mengenai topik ini. Jika anda ada sebarang maklum balas, sila kongsikan di sini.





Loading...

You May Also Like

You are currently on:

{{selectedTopic.label}}

Loading...

{{displayedDesc}} See {{ readMoreText }}


Loading...

Rights Statement

The information on this page and any images that appear here may be used for private research and study purposes only. They may not be copied, altered or amended in any way without first gaining the permission of the copyright holder.

Beta BETA