Loading... (0%)

Seni Persembahan Bangsawan

By

06 April 2016

Bangsawan is a form of traditional Malay opera or theatre that usually involves elements of drama, music, singing and dancing. The art form has its origins in the theatre of the immigrant Parsi community (Indians of Persian extract) in Malaya and was first performed in Penang in the 1870s. By the early 20th century, many bangsawan troupes emerged and the theatre form soon spread to other parts of Malaya. Stories used in bangsawan theatre are adapted from Indian, Arabian and Chinese folk tales, and the Sejarah Melayu (Malay Annals). This article by Juffri bin Supa’at traces the historical development of bangsawan in Singapore and showcases some of the more famous bangsawan troupes that have made an impact since the art form was introduced in Singapore in 1880. The article also examines the evolution of bangsawan theatre into its modern and contemporary forms – to appeal to a younger audience – that were later recorded and broadcast on radio and television in Singapore. Bangsawan has today become part of the fabric of Malay life and culture in Singapore, Malaysia, Indonesia and Brunei.

“Persembahan bangsawan mengikut amalan tradisi tidak berpandukan skrip. Pelakon-pelakon hanya diberitahu tentang rangka atau sinopsis cerita, dan bertolak daripada pokok cerita itu terserahlah kepada mereka untuk membina dialog dan membuat improvisasi lakon.”1 – Rahmah Bujang, 1989

Menurut Haji Hamid Ahmad ,2 bangsawan berasal daripada dua kekata iaitu “bangsa” dan “wan”. Perkataan “bangsa” itu diberikan kepada orang yang berbangsa dan perkataan “wan” pula diberikan kepada golongan yang berketurunan “Wan” atau “Syed” atau berdarah raja. Jadi bangsawan asalnya dipentaskan untuk istana. Namun ia dapat dinikmati sebagai hiburan rakyat selepas zaman raja-raja.

Pementasan bangsawan Raden Mas pada 15–17 Januari 2016 di Teater Esplanade. Ihsan Sri Mamanda Bangsawan Pte Ltd.

Pementasan bangsawan Raden Mas pada 15–17 Januari 2016 di Teater Esplanade. Ihsan Sri
Mamanda Bangsawan Pte Ltd.

Perkataan bangsawan ini telah banyak dikaitkan dengan opera Melayu kerana pada awal mula persembahan seni bangsawan ini, sering dipaparkan kisah raja-raja dan orang-orang bangsawan. Cerita-cerita pementasan bangsawan ketika itu seringkali memetik cerita-cerita daripada India, Arab, Barat, China, Jawa dan juga cerita-cerita daripada Sejarah Melayu.

Permulaan Bangsawan
Asal mula bangsawan sebenarnya bukanlah dari rantau ini, sebaliknya bangsawan lahir daripada pengkuburan sebuah teater bergerak dari India.3 Dalam tahun 1870an, Pulau Pinang telah menerima pengaruh sebuah pementasan teater bergerak bernama Wayang Parsi atau Mendu. Kumpulan ini  melakonkan cerita-cerita dengan menggunakan Bahasa Hindi dan dilakonkan oleh pelakon lelaki dan wanita yang didatangkan dari India.

Poster bangsawan Daeng Perkasa yang dipentaskan pada 18 dan 19 Oktober 1980. Gambar kepunyaan Kementerian Kebudayaan. Ihsan Arkib Negara Singapura.

Gambar awal pementasan bangsawan, 1900. Koleksi Mohd Amin Bin Kadarisman. Ihsan Arkib Negara Singapura.

Wayang Parsi ini kemudian diambil alih oleh tuan dari kalangan Jawi Pekan tempatan bernama Mohamed Pusi pada tahun 1884 dan diberikan nama Wayang Bangsawan. Mohamed Pusi merupakan seorang  artawan di Pulau Pinang dan bertanggungjawab menubuhkan sebuah “kumpulan bangsawan secara professional yang pertama setelah beliau membeli perkakas-perkakas serta kelengkapan pementasan dari  rombongan Wayang Parsi”.4 Nama kumpulan bangsawan pertama ialah Pusi Indera Bangsawan of Penang yang bergiat pada tahun 1885 yang menggunakan Bahasa Melayu dan menjadi titik tolak penerapan pengaruh-pengaruh “Melayu” dalam aspek-aspek pementasan.

Perkembangan Bangsawan
Setiap persembahan kumpulan bangsawan mendapat sambutan yang hebat daripada para penduduk di Pulau Pinang kerana corak permainan mereka belum pernah dilihat sebelumnya. Tambahan pula, cerita-cerita yang dipaparkan seringkali mengajak para penonton menggembara ke alam khayal. Ini dikuatkan lagi dengan pandangan bahawa di pulau itu wujud ramai penduduk dari India terutama selepas pembukaannya oleh Sir Francis Light pada tahun 1868.5

Oleh itu, pengaruh kebudayaannya juga mula berkembang sejajar dengan perkembangan penduduk India itu yang juga menimbulkan masyarakat kacukan Melayu/India. Antara nama-nama mereka yang masih lagi menunjukkan keturunannya ialah “Marican, Babjan, Pak Wan Teh, Haron Bee, Patma Bee dan sebagainya”.6 Kumpulan-kumpulan bangsawan ini yang mendapat sambutan yang baik terutama di kawasan negeri-negeri Selat (Straits Settlements) seperti Pulau Pinang, Singapura dan Melaka ini bergerak ke seluruh tanah Melayu hingga ke Sumatera. Di Kuala Lumpur, tapak Sungei Wang Plaza dahulunya merupakan tempat bangsawan dipentaskan dan dikenali sebagai Happy World. Kumpulan-kumpulan yang telah bergiat cergas sejak kumpulan pertama terlalu banyak jumlahnya.

Menurut Rahmah (1975), kumpulan yang lebih lama bergiat adalah seperti Nahar Bangsawan Malaysia Opera, Kinta Opera, Indera Bangsawan of Penang, City Opera, Peninsular Opera, Seri Permata Opera, Jaya Opera, Zanzibar Bangsawan, Dean Union Opera, Gray Opera, Indera Permata of Selangor, Constantinople Opera, Rahman Opera, Kencana Wati Opera, Bangsawan Jenaka Melayu dan Bolera Opera.

Bangsawan di Singapura
Bangsawan dipercayai telah dibawa masuk ke Singapura pada tahun 1880an.7 Ketibaan bangsawan Melayu ke Singapura bersama seri panggungnya yang terkenal iaitu Siti Hawa dan kumpulan Wayang Mama Pushi dari Pulau Pinang. Mohamed Pushi telah menubuhkan kumpulannya yang dikenali dengan nama Pushi Indera Bangsawan.

Poster bangsawan Daeng Perkasa yang dipentaskan pada 18 dan 19 Oktober 1980. Gambar kepunyaan Kementerian Kebudayaan. Ihsan Arkib Negara Singapura.

Poster bangsawan Daeng Perkasa yang dipentaskan pada 18 dan 19 Oktober 1980. Gambar kepunyaan Kementerian Kebudayaan. Ihsan Arkib Negara Singapura.

Beliau telah membawa rombongan wayangnya ke Alor Setar, Kedah dan menuju ke Singapura. Di Singapura, kumpulan Pushi Indera Bangsawan menetap di kawasan North Bridge Road berdekatan dengan Bras Basah Road.8

Semenjak itu muncul pula kumpulan-kumpulan bangsawan yang lain seperti Wayang Setambul, Wayang Kassim, Indera Zanibar dan banyak lagi. Kumpulan-kumpulan ini telah dapat dapat menarik ramai penonton di setiap persembahan mereka di Singapura. Di antara sebab-sebab yang ditanggap oleh Sabri9 yang menjadikan bangsawan digemari ramai ketika itu ialah:

  • Para pelakon yang terdiri daripada orang kebanyakan,
  • Ramai orang-orang kaya yang tertarik kepada para pelakon bangsawan yang cantik dan
  • Ramai peniaga atau tauke kaya yang menampung atau membiayi penubuhan kumpulan bangsawan yang baru kerana seni persembahan dianggap sebagai pelaburan yang menguntungkan.

Bai Kassim merupakan seorang tokoh yang sememangnya masyhur dengan kebolehannya sebagai pengarah dan pemimpin kumpulan bangsawan. Beliau telah membuka sebuah kumpulannya sendiri pada tahun 1902.10 Kumpulan ini telah diubah nama kepada Indera Zanzibar dan menjelajahi Tanah Melayu dan Indonesia termasuk Jawa, Sumatera dan Borneo. Kumpulan ini kemudian diraikan oleh Sultan dan diberikan kebesaran. Kemudian pada tahun 1907 kumpulan ini ditukar namanya kepada The Zanzibar Royal Theatrical Company of Singapore oleh Sultan Pontianak, salah sebuah negeri di Kalimantan.11

Tahun 1902 – 1935 boleh dianggap sebagai tahun-tahun gemilang seni pementasan bangsawan. Pada masa itu, setiap pementasan bangsawan dapat menarik ramai penonton ketika ia dipentaskan seperti di Happy World di Geylang Road, New World di Jalan Besar, Panggung Alhambra, Diamond dan Royal.

Dalam kajian Rahmah Bujang,12 terdapat beberapa kumpulan bangsawan yang pernah bertapak di Singapura. Antaranya ialah International Opera of Singapore. Kumpulan bangsawan ini telah dibukan oleh seorang Cina bernama Baba Koh. Kumpulan ini telah diterajui oleh Nasir dan Midah sebagai pelakon utamanya.

Gambar awal pementasan bangsawan, 1900. Koleksi Mohd Amin Bin Kadarisman. Ihsan Arkib Negara Singapura.

Gambar awal pementasan bangsawan, 1900. Koleksi Mohd Amin Bin Kadarisman. Ihsan
Arkib Negara Singapura.

Star Opera merupakan sebuah kumpulan lagi yang terdapat di Singapura. Kumpulan ini telah ada sejak tahun 1919. Pelakon lelakinya ialah Khairuddin Tairo. Nahar Bangsawan merupakan sebuah lagi kumpulan yang ditubuhkan di Singapura.Pada tahun 1920, ia telah membuat sebuah pementasan di Geylang. Tuan  punya kumpulan bangsawan ini ialah Syed Ahmad Alsagoff dan pelakon utamanya Cik Sartinah.

Tradisi Improvisasi
Bangsawan merupakan seni persembahan yang sentiasa mengalami perubahan oleh pembaharuan yang berlaku atau terpaksa dilakukan dari semasa ke semasa. Keadaan zaman masyarakat sekeliling dan ruang pementasan turut mempengaruhi proses perubahan dan pengadaptasian cara bagaimana bangsawan dipentaskan. Menurut Syed Mohd Zakir:

“Perubahan pertama berlaku daripada penggunaan bahasa Hindi kepada bahasa Melayu akhirnya menetapkan penggunaan bahasa istana yang mengikut lenggok bahasa Melayu Riau kerana dianggap halus dan lembut dalam mencerminkan kebangsawanan. Perubahan seterusnya berlaku dalam pelbagai aspek seperti watak-pelakon, repertoire-cerita, muzik-nyanyian termasuk dalam extra turn dan sebagainya. Menepati namanya ‘bangsawan’, persembahan ini menjurus kepada kisah golongan bangsawan yakni kisah raja-raja dengan penggunaan bahasa istana sebagai teras persembahannya. Maka dalam bangsawan mesti juga diselitkan seni kata-kata tradisional Melayu seperti pantun, syair, dan sebagainya termasuk juga unsur moden seperti monolog dan solilokui. Ciri utama cerita bangsawan ialah temanya kebaikan mengatasi kejahatan, watak-watak utama terdiri daripada golongan bangsawan, dan lokasi ceritanya di bumi dan kayangan. Latar pokok cerita bangsawan dilihat perlu ada balairong istana, taman bunga dan hutan serta jalan.”13

Satu lagi faktor ialah kebolehan atau kemahiran para pelakon seni pementasan bangsawan ialah menguasai teknik improvisasi kerana para pelakon tidak diberikan skrip. Mereka hanya diberikan sinopsis atau jalan cerita yang akan dipentaskan. Perjalanan jalan cerita agak ‘versatile’ dan daya penarikannya bergantung kepada kemahiran para pelakon membuat improvisasi.

“Tradisi improvisasi dalam persembahan bangsawan boleh memberi ‘versatility’ kepada barisanpelakon yang mahir dan berbakat. Teknik improvisasi yang baik menuntut taraf profesionalisme yang tinggi. Dalam konteks persembahan bangsawan, menentukan ciri stereotaip peranan yang tertentu akan membantu pelakon menyimpan perbendaharaan dialog yang khusus bagi sesuatu peranan. Jika pelakon itu memang petah berbicara dan cepat pula untuk menjawab atau menangkis dalam pengucapan antara dua watak yang sedang berlakon itu maka persembahan akan lebih menyakinkan. Kegiatan dan sambutan masyarakat terhadap seni persembahan bangsawan itu turut membantu gaya improvisasi lakonnya. Sebagai satu sumber mata pencarian, para pelakon perlu berusaha lebih giat dan tekun menguasai sesuatu bidang kerjayanya dalam bangsawan, umpamanya bidang lakonan, menyediakan set tirai dan sebagainya. Jika ia pelakon, kebolehan menyanyi atau menari merupakan kualiti yang dapat memantapkan kerjayanya itu.”14– Rahmah Bujang, 1989

Maka tidaklah menjadi satu yang menghairankan bangsawan merupakan suatu bidang seni yang memerlukan tahap kemahiran dan kreativiti yang tinggi dari setiap anggota-anggotanya yang terlibat
sama ada di depan atau belakang pentas.

Pementasan bangsawan di Perpustakaan Awam Geylang East oleh Perkumpulan Seni pada 26 September 2015. Ihsan Perkumpulan Seni Singapura.

Pementasan bangsawan di Perpustakaan Awam Geylang East oleh Perkumpulan Seni pada 26
September 2015. Ihsan Perkumpulan Seni Singapura.

Namun selepas perang dunia kedua, seni pementasan bangsawan mula merudum sebelum akhirnya hilang pada tahun 1960an. Tetapi terdapat usaha-usaha untuk meneruskan seni lakon ini melalui wadah-wadah lain. Umpamanya pada tahun 1954,15 bangsawan mula ke udara melalui rancangan mingguan di Radio Malaya yang berpangkalan di Singapura. Pada tahun-tahun 1970an dan 1980an, bangsawan mula dipentaskan kembali dan muncul dikaca televisyen melalui penerbitan Radio Televisyen Singapura (RTS). Ini dibolehkan kerana ketika itu masih terdapat “orang-orang kuat” bangsawan seperti Almarhum Haji Shariff Medan, Almarhum Haji Ahmad Sabri dan Almarhum Haji Hamid Ahmad yang pernah melibatkan diri mereka dalam kegiatan dan pementasan seni bangsawan.

Bangsawan: A Social and Stylistic History of Popular Malay Opera oleh Tan Sooi Beng diterbitkan oleh The Asian Centre pada tahun 1997.

Bangsawan: A Social and Stylistic History of Popular Malay Opera oleh Tan Sooi Beng diterbitkan oleh
The Asian Centre pada tahun 1997.

Pada tahun April 1987, Seri Anggerik Bangsawan telah ditubuhkan dan diterajui oleh Almarhum Haji Hamid Ahmad. Radio Televisyen Singapura (RTS) pernah terlibat dalam beberapa pementasan bangsawan di Panggung Victoria. Antaranya ialah Jula-Juli Bintang Tiga (1978) dan Puteri Gunung Ledang (1979). Walaupun mendapat sambutan yang menggalakkan, namun setiap pementasan ini menelan belanja yang agak besar ketika itu. Kali terakhir seni bangsawan dipentaskan di Singapura ialah pada 15–17 Januari 2016. Ia telah dipentaskan di Teater Esplanade oleh Sri Mamanda Bangsawan yang membawa cerita Raden Mas yang ditulis oleh Encik Nadiputra. Namun, setiap perubahan ruang di mana bangsawan ini dipentaskan juga sering menimbulkan perbincangan tentang keaslianseni pementasan bangsawan itu sendiri sama ada dari segi penampilan, cerita, lakonan dan sebagainya. Sebagaimana yang dihujahkan tadi, seni pementasan bangsawan adalah seni yang sering mengalami perubahan. Perubahan yang berlaku atau perlu dilakukan demi untuk memenuhi keperluan penonton semasa dan juga untuk mengadaptasikan ruang-ruang pementasan yang terdapat bagi pementasan seni bangsawan pada masa kini.

Rujukan

  1. Azlan Mohamed Said. (2013). Musika: Malaya’s early music scene 1900–1965. Juffri Supa’at (Ed.). Singapore. Call no.: RSEA 780.899928 AZL
  2. Chairul Fahmy. (1995, Oktober 12). Bangsawan masih bernafas di kota Singa. Berita Harian, hlm 7. Diambil daripada NewspaperSG.
  3. Mardiana Abu Bakar. (1988, September 12). Days of gold and glory. The Straits Times, hlm 5. Diambil daripada NewspaperSG.
  4. Maziaton Es. (1985, Mei 2). Kenangan manis bangsawan masih diingat ramai. The Straits Times, hlm 42. Diambil daripada NewspaperSG.
  5. Nazrul Amri. (1988, Mei 26). To be or not to be in bangsawan. The Straits Times, hlm 5. Diambil daripada NewspaperSG.
  6. Rahmah Bujang. (1975). Sejarah perkembangan drama bangsawan di tanah Melayu dan Singapura. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. No panggilan: Malay RSING 899.23009202 RAH
  7. Rahmah Bujang. (1989). Seni persembahan bangsawan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. No panggilan: Malay RART 792.09595 RAH
  8. Sabri Buang. (1988, Januari 3). Di mana letaknya ketulenan bangsawan di Singapura hari ini? Berita Harian, hlm 6. Diambil daripada NewspaperSG.
  9. Sabri Buang. (1990, Jun 28). Taking root. The Straits Times, hlm 5. Diambil daripada NewspaperSG.
  10. Sri Mamanda Bangsawan Raden Mas 2016. Retrieved from allevents. in Singapore website.
  11. Syed Mohd Zakir (2016). Bangsawan Raden Mas Nadiputra (hlm 1). Unpublished.
  12. Tan, S. B. (1997). Bangsawan. A social and stylistic history of popular Malay opera. The Asian Centre. No panggilan: RSEA 782.1095951 TAN
  13. Wayang Kassim. (1904, Mei 18). The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser (1884–1942), hlm 2. Diambil daripada NewspaperSG.

Nota

  1. Rahmah Bujang. (1989). Seni persembahan bangsawan (hlm 163). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. No panggilan: Malay RART 792.09595 RAH
  2. Chairul Fahmy Hussani. (1995, October 12). Bangsawan masih bernafas di kota Singa. Berita Harian, hlm 7. Diambil daripada NewspaperSG.
  3. Rahmah Bujang, 1989, hlm 2.
  4. Sabri Buang. (1990, June 28). Taking root. The Straits Times, hlm 5. Diambil daripada NewspaperSG.
  5. Rahmah Bujang. (1975). Sejarah perkembangan drama bangsawan ditanah Melayu dan Singapura (hlm 18). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. No panggilan: Malay RSING 899.23009202 RAH
  6. Rahmah Bujang, 1975, hlm 19
  7. Mardiana Abu Bakar. (1988, September 12). Days of gold and glory. The Straits Times, hlm 5. Diambil daripada NewspaperSG.
  8. The Straits Times, 28 Jun 1990, hlm 5.
  9. The Straits Times, 28 Jun 1990, hlm 5.
  10. Rahmah Bujang, 1975, hlm 24.
  11. The Straits Times, 28 Jun 1990, hlm 5.
  12. Rahmah Bujang, 1975, hlm 26.
  13. Syed Mohd Zakir. (2016). Bangsawan Raden Mas Nadiputra (hlm 1). Unpublished.
  14. Rahmah Bujang, 1989, hlm 164.
  15. Nazrul Amri. (1988, May 26). To be or not to be in bangsawan. The Straits Times, hlm 5. Diambil daripada NewspaperSG.

Post your Comment

Rules of the Blog
Do not post violating content, tags like bold, italic and underline are allowed that means HTML can be used while commenting. Lorem ipsum dolor sit amet conceur half the time you know i know what.