Seorang tokoh terkenal dalam industri media tempatan, Sujimy bin Mohamad dikenali melalui tugasnya dalam penyiaran bahasa Melayu untuk televisyen dan radio. Beliau memulakan debut radionya pada tahun 1986 di bawah bimbingan Zakiah Halim dan kemudiannya beralih ke televisyen sebagai pembaca berita. Beliau kemudian mula mengacarakan program hal ehwal semasa berbahasa Melayu, Tinjauan, di bawah tunjuk ajar Sujadi dan Basir Siswo, yang memainkan peranan penting dalam pembangunan program bahasa Melayu di Mediacorp pada tahun 1990-an.1
Perjalanan Menuju Kejayaan
Sujimy mula mendapat perhatian umum pada tahun 1998 apabila beliau diundang oleh Mediacorp untuk mengacarakan rancangan gaya hidup sebelah pagi, Selamat Pagi Singapura, yang disiarkan di saluran Prime 12, sebuah saluran yang menyiarkan kandungan dalam bahasa Tamil dan Melayu.2 Seiring dengan usaha penstrukturan semula kandungan berbahasa Melayu oleh syarikat penyiaran tersebut, Prime 12 telah dijenamakan semula sebagai Suria pada tahun 2000, sebagai saluran khusus untuk program berbahasa Melayu. Pada waktu itu, Selamat Pagi Singapura, yang dihoskan oleh Sujimy dan Ainah Embit, telahpun memperolehi jumlah penonton yang besar, sekali gus menjadikan Sujimy sebagai personaliti televisyen yang terkenal di saluran Suria.3 Pada tahun yang sama, Sujimy telah memenangi anugerah Hos Terbaik dan Personaliti Paling Popular bagi rancangan Selamat Pagi Singapura di majlis Anugerah Pesta Perdana ke-3, sebuah acara media yang mengiktiraf kecemerlangan dalam industri media berbahasa Melayu.4
Penerbitan Dokumentari dan Populariti di Media Sosial
Pada tahun 2002, Sujimy menubuhkan syarikat penerbitan ScreenBox Pte Ltd bersama isterinya yang juga rakan kongsi perniagaan, Haslinda Ali.5 ScreenBox memberi tumpuan kepada penerbitan dokumentari yang menyelami keutuhan hubungan kemanusiaan, dengan mengetengahkan kisah-kisah yang akrab dengan masyarakat Melayu/Islam tempatan, di samping menghasilkan kandungan berkaitan isu-isu global. Salah satu dokumentari terbitan ScreenBox yang mendapat sambutan hangat daripada penonton tempatan ialah Hanyut, yang memfokuskan kepada golongan belia tersasar haluan di Singapura. Dokumentari ini berjaya memenangi Anugerah Program Informasi Pendidikani Terbaik di Pesta Perdana ke-8 pada tahun 2005. Berbekalkan kemahiran dan bakat dalam bidang infomasi pendidikan, ScreenBox terus mengorak langkah dengan menerbitkan dokumentari-dokumentari lain yang turut meraih pengiktirafan, antaranya Kau Istimewa, yang menyorot kehidupan golongan gelandangan di Singapura, serta 647km², yang membawakan kisah rakyat Singapura dengan hobi, pekerjaan dan gaya hidup unik, selain mengetengahkan lokasi-lokasi tempatan yang menarik.6 Antara penerbitan lain yang turut mendapat perhatian termasuk Million-Makers, The Peddlers of Asia dan Centennials Asia.7
Bagi mempelbagaikan teras perniagaan ScreenBox yang sebelum ini tertumpu kepada penyediaan perkhidmatan penerbitan media, Sujimy Mohamad telah mengubah haluan syarikat ke arah platform dalam talian dan memanfaatkan populariti media sosial. Usaha ini telah meningkatkan purata tontonan bulanan ScreenBox kepada enam juta tontonan merentasi pelbagai platform media sosial.8 Selain menerajui ScreenBox, Sujimy turut dikenali sebagai seorang personaliti media sosial yang berpengaruh. Vlog-vlog beliau telah meraih kira-kira tiga juta tontonan. Menerusi pengaruh kuatnya di media sosial, Sujimy telah menubuhkan KedaiSujimy.com, sebuah platform e-dagang yang bukan sahaja menjual produk yang menyasarkan masyarakat Melayu/Islam, tetapi juga menyediakan peluang kepada individu lain untuk menggunakan jenamanya sebagai landasan bagi mengembangkan perniagaan mereka.9
Berkongsi Kejayaan
Berbekalkan kesungguhannya untuk berkongsi kemahiran dan pengetahuannya dengan orang ramai, Sujimy Mohamad telah menganjurkan Kelas Pakar Video Dalam Talian dan Vlogging, yang bertujuan untuk membekalkan para pemilik perniagaan tempatan dengan pengetahuan dan kemahiran dalam memperkukuhkan penjenamaan serta kehadiran mereka di platform media sosial.10 Sikap pemurah Sujimy tidak terhad kepada sumbangannya dalam industri media sahaja. Beliau turut aktif dalam kerja-kerja kemanusiaan di rantau ini dan luar negara. Sujimy telah bekerjasama dengan pelbagai organisasi bukan kerajaan (NGO) bagi menyalurkan bantuan dan sokongan kepada golongan gelandangan di Malaysia, rumah anak yatim di Indonesia, serta mangsa peperangan di Yaman.11
Penulis
Haniman Boniran
Rujukan
1. Sujimy Mohamad, “Things People Don’t Know About Me,” sujimy.com, 2002, https://www.sujimy.com/things-people-dont-know-about-me.
2. Sujimy Mohamad, “The Sunday Morning Show That Made Me Popular,” sujimy.com, 2002, https://www.sujimy.com/selamat-pagi-singapura; “More as TV 12 Splits into 2,” New Paper, 31 August 1995, 25. (From NewspaperSG)
3. Sujimy Mohamad, “The Sunday Morning Show That Made Me Popular,” sujimy.com, 2002, https://www.sujimy.com/selamat-pagi-singapura.
4. Mediacorp Pte Ltd, “Winners of the 3rd (2000) Pesta Perdana,” Pesta Perdana, 2025, https://www.mediacorp.sg/pestaperdana/past-winners https://www.mediacorp.sg/pestaperdana/past-winners.
5. Nur Humaira Sajat, “‘Merajuk’ hampir sedekad, Sujimy dan Haslinda kembali hasil siri TV,” Berita Harian, 6 May 2024, https://www.beritaharian.sg/gaya-hidup/merajuk-hampir-sedekad-sujimy-dan-haslinda-kembali-hasil-siri-tv.
6. ScreenBox, “647km2 Season 2 Opener,” YouTube video, 13 August 2014, https://www.youtube.com/watch?v=BA3qGTB0myk.
7. Sujimy Mohamad, “Sujimy Bin Mohamad,” sujimy.com, 2002, https://www.sujimy.com/about-sujimy.
8. Sujimy Mohamad, “Sujimy Bin Mohamad,” sujimy.com, 2002, https://www.sujimy.com/about-sujimy.
9. Sujimy Mohamad, “About KedaiSujimy.com,” Kedai Sujimy, 2025, https://kedaisujimy.com/pages/about-kedai-sujimy.
10. Sujimy Mohamad, “Online Video & Vlogging Masterclass,” sujimy.com, 2002, https://www.sujimy.com/masterclass.
11. Sujimy Mohamad, “Humanitarian,” Kedai Sujimy, 2025, https://kedaisujimy.com/blogs/humanitarian.
Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris.
For the English version of this article, click here.
Klik di sini untuk kembali ke halaman utama.
To go back to the home page, click here.
Maklumat dalam artikel ini disahkan betul setakat Oktober 2025 berdasarkan sejauh mana ia dapat dipastikan daripada sumber kami. Ia bukan bertujuan untuk dijadikan sejarah menyeluruh atau lengkap tentang sesebuah subjek. Sila hubungi Perpustakaan untuk mendapatkan bahan bacaan lanjut mengenai topik ini. Jika anda ada sebarang maklum balas, sila kongsikan di sini.
The information on this page and any images that appear here may be used for private research and study purposes only. They may not be copied, altered or amended in any way without first gaining the permission of the copyright holder.
| BETA |