Ya'acob bin Mohamed



Tokoh-tokoh Melayu Singapura

Chia, Joshua Yeong Jia, Tan, Joanna Hwang Soo

Haji Ya’acob bin Mohamed (l. 25 Januari 1925, Kelantan, Tanah Melayu1 – m. 11 Oktober 1989, Singapura2) merupakan seorang bekas ahli politik dan diplomat. Beliau terkenal sebagai pejuang tegar kepentingan Melayu di Singapura dan memainkan peranan penting dalam memenangi sokongan orang Melayu bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada awal 1960-an.


Kehidupan Awal
Haji Ya’acob dilahirkan di Sungai Pisang, Kelantan, Malaya, dalam sebuah keluarga yang mempunyai beberapa ahli keluarga yang pernah menjadi tokoh masyarakat. Keluarganya berpindah ke Johor semasa beliau masih bayi. Kedua ibu bapanya meninggal dunia ketika beliau masih muda – ibunya meninggal ketika beliau berusia lapan tahun, diikuti ayahnya ketika beliau berusia 12 tahun.3

Beliau meneruskan pelajaran dengan bantuan beberapa orang guru. Salah seorang daripada mereka akhirnya mengambil beliau sebagai anak angkat. Semasa di sekolah, beliau dikenali sebagai seorang pelajar yang rajin dan cerdas, dan sering menjadi pelajar terbaik kelasnya. Bagi mencapai cita-cita zaman kanak-kanaknya untuk menjadi seorang guru, beliau menduduki peperiksaan yang diperlukan untuk menjadi guru di Johor. Walaupun membesar di Johor dan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan perguruan, permohonannya ke Kolej Latihan Perguruan Tanjong Malim ditolak kerana beliau bukan dilahirkan di Johor.4

Beliau berasa amat kecewa dengan keputusan itu dan berpindah ke Singapura, di mana beliau tinggal bersama saudara-mara dan melanjutkan pelajaran di Madrasah Khairiyah, sebuah sekolah agama.5 Kekesalan beliau terhadap pemerintahan kolonial British mendorongnya menyertai Parti Kebangsaan Malaya (Malayan Nationalist Party) yang berhaluan kiri dan cabangnya, Angkatan Pemuda Insaf (API), di Johor.Apabila British mengharamkan parti-parti ini pada tahun 19487, Haji Ya’acob kembali ke Singapura dan menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1949 serta dilantik sebagai ketua cawangan Bukit Panjang.8


Kerjaya Politik
Pada tahun 1954, Haji Ya’acob menolak jemputan untuk menyertai Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan memilih untuk kekal bersama UMNO ketika itu kerana beliau percaya bahawa rundingan UMNO dengan British bagi kemerdekaan Tanah Melayu juga akan menjamin kemerdekaan Singapura melalui penyatuan. Apabila UMNO kemudian menzahirkan bahawa kemerdekaan Singapura bukanlah keutamaan, dan jelas bahawa UMNO tidak mampu memajukan kepentingan orang Melayu dalam sebuah parti berbilang kaum, beliau menyertai PAP pada tahun 1958.9 Ini mencetuskan penarikan diri 30 ahli UMNO yang lain daripada parti tersebut. UMNO melihat tindakan ini sebagai pengkhianatan dan mengecam para pemimpin yang melompat parti sebagai pengkhianat masyarakat Melayu. Namun, Haji Ya’acob tetap komited dalam perjuangan untuk kemerdekaan Singapura melalui penyatuan dengan Malaysia. Dikenali sebagai seorang Muslim yang taat serta penceramah yang karismatik, beliau dengan cepat memperoleh sokongan rakyat dan kepercayaan pimpinan PAP, dan dalam beberapa bulan kemudian dilantik sebagai pengerusi cawangan PAP Bukit Panjang.

Pada tahun 1959, Haji Ya’acob memenangi kerusi Bukit Timah  dalam Dewan Perundangan, diikuti dengan kerusi Southern Islands pada tahun 1963.10 Sebagai wakil rakyat bagi Southern Islands, beliau berusaha memperbaiki keadaan hidup di pulau-pulau tersebut. Pada tahun 1964, beliau merasmikan sebuah sekolah di Pulau Blakang Mati (kini dikenali sebagai Sentosa)11 dan sebuah masjid di Pulau Sebarok untuk pekerja Muslim syarikat minyak Esso.12

Mulai tahun 1965, beliau memegang pelbagai jawatan termasuk setiausaha parlimen di Kementerian Pembangunan Negara, serta menteri negera dan kemudian menteri negara kanan di Pejabat Perdana Menteri.13 Pada tahun 1968, beliau menjadi ahli parlimen pertama bagi kawasan undi Kampong Ubi14, satu jawatan yang dipegangnya selama tiga penggal selepas memenangi pilihan raya pada tahun 1968, 1972 dan 1976.15

Apabila Haji Ya’acob bersara daripada Parlimen pada Disember 1980, Perdana Menteri ketika itu, Lee Kuan Yew, memberi penghargaan kepada ahli politik veteran ini atas peranannya yang penting pada awal 1960-an dalam memenangi sokongan orang Melayu untuk PAP.16


Perlantikan Diplomatik dan Anugerah
Haji Ya’acob berkhidmat sebagai duta pertama Singapura ke Filipina dari 1969 hingga 1971, dan Pesuruhjaya Tinggi ke India dari 1977 hingga 1984. Pada tahun 1984, beliau dilantik sebagai duta ke Mesir, jawatan yang dipegangnya hingga April 1986 apabila beliau meletak jawatan atas sebab kesihatan. Semasa memegang jawatan duta ke Mesir, beliau memberikan tumpuan besar tentang keadaan hidup pelajar Singapura di Universiti Al-Azhar dan memulakan usaha mengumpul dana bagi menubuhkan asrama untuk mereka.17

Pada tahun 1962, Haji Ya’acob dianugerahkan Order of the United Arab Republic (kini Mesir) oleh Presiden Mesir ketika itu, Gamel Abdel Nasser.18 Sebagai duta ke Filipina, Presiden Ferdinand Marcos menganugerahkan beliau Ancient Order of Sikatuna pada tahun 1971, sebuah pingat kebangsaan bagi kecemerlangan diplomatik yang diberikan kepada individu yang telah memberikan perkhidmatan luar biasa kepada Filipina. Pada tahun 1981, beliau dianugerahkan ijazah kehormat Doktor Undang-Undang oleh Universiti Nasional Singapura sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam mewujudkan sebuah negara berbilang kaum yang harmoni.19


Pandangan Politik
Haji Ya’acob merupakan pejuang tegar kepentingan orang Melayu. Beliau memperjuangkan pengiktirafan kedudukan istimewa orang Melayu di Singapura serta pemartabatan bahasa Melayu, dan berpendapat bahawa ketua negara pertama haruslah seorang Melayu. Beliau berusaha meningkatkan pencapaian pendidikan pelajar Melayu dan menggesa pengenalan pendidikan menengah Melayu di Singapura. Walaupun begitu, Haji Ya’acob tetap seorang penyokong kuat konsep berbilang kaum – menurut beliau, perjuangannya bagi masyarakat Melayu bukan kerana beliau seorang Melayu, tetapi kerana masyarakat etnik itu di Singapura memerlukan bantuan paling banyak.20

Selepas bersara daripada politik, Haji Ya’acob kekal lantang menyuarakan pandangan mengenai isu-isu penting dan dasar pemerintah. Walaupun beliau mempunyai hubungan baik dengan pemerintah PAP, beliau terus menyampaikan pandangan melalui forum awam dan surat kepada akhbar berbahasa Melayu. Beliau percaya bahawa setiap warganegara mempunyai hak dalam sebuah negara demokrasi untuk menyumbang pandangan dan kritikan membina terhadap dasar pemerintah tanpa sebarang ancaman atau tekanan.21


Sumbangan Lain
Haji Ya’acob mempunyai pelbagai minat di luar politik. Beliau pernah memegang jawatan timbalan presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia dan presiden Persatuan Sepak Takraw Amatur Singapura. Beliau juga terlibat dalam Persatuan Silat Singapura. Di samping itu, beliau membantu menubuhkan Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (Prophet Muhammad’s Birthday Memorial Scholarship Fund), yang menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar Melayu yang memerlukan.22


Kematian
Pada 20 Ogos 198923, Haji Ya’acob mengalami serangan jantung di Kuala Lumpur, Malaysia. Beliau kemudian meninggal dunia akibat leukemia di Hospital Besar Singapura pada 11 Oktober 1989 pada usia 64 tahun. Haji Ya’acob dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Bahar, Jurong.24


Anugerah dan Pengiktirafan Pasca Kematian
Dalam senarai anugerah Hari Kebangsaan 1990, Haji Ya’acob dianugerahkan Distinguished Service Order secara anumerta atas peranannya yang penting dalam pembangunan politik Singapura, terutamanya dari tahun 1961 hingga 1965.25 Dua tahun kemudian, Biasiswa dan Bantuan Haji Ya’acob Mohamed diwujudkan bagi menghormati beliau, menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar yang memerlukan di kawasan Kampong Ubi.26


Keluarga
 27
Isteri: Hajah Hasmah binti Awang
Anak-anak: Tiga lelaki, lima perempuan dan 16 cucu28


Untuk mengetahui lebih lanjut tentang usaha Haji Ya’acob mentakrif semula identiti Melayu bagi mempertingkat akses kepada pendidikan, kepimpinan beliau dalam Biro Hal Ehwal Melayu, serta pandangan beliau tentang representasi masyarakat dan kepekaan kerajaan, sila dengarkan rakaman wawancara sejarah lisan beliau di sini.


Penulis
Joshua Chia & Joanna HS Tan


Rujukan
1. Sulaiman Jeem & Abdul Ghani Hamid. (1990). Ya’acob Mohamed (dalam API, PKMM, UMNO, PAP). Singapore: Penerbitan Wisma, pp. 22, 253–254, 277–278. (Call no.: Malay RSING 324.2092 SUL); Who’s who in Malaysia and Singapore, 1983–84 (Vol. 2)(1983). Petaling Jaya, Selangor: Who’s Who Publications, p. 209. (Call no.: RSING 920.0595 WWM)

2. Who’s who in Malaysia and Singapore, 1983–84(Vol. 2). (1983). Petaling Jaya, Selangor: Who’s Who Publications, p. 209. (Call no.: RSING 920.0595 WWM)
3. Sulaiman Jeem & Abdul Ghani Hamid. (1990). Ya’acob Mohamed (dalam API, PKMM, UMNO, PAP). Singapore: Penerbitan Wisma, pp. 22, 253–254, 277–278. (Call no.: Malay RSING 324.2092 SUL)
4. Sulaiman Jeem & Abdul Ghani Hamid. (1990). Ya’acob Mohamed (dalam API, PKMM, UMNO, PAP). Singapore: Penerbitan Wisma, pp. 22, 253–254, 277–278. (Call no.: Malay RSING 324.2092 SUL); Yaakub Rashid. (1990, September 26). Pioneer leaderThe Straits Times, p. 9. Retrieved from NewspaperSG.
5. Sulaiman Jeem & Abdul Ghani Hamid. (1990). Ya’acob Mohamed (dalam API, PKMM, UMNO, PAP). Singapore: Penerbitan Wisma, pp. 22, 253–254. (Call no.: Malay RSING 324.2092 SUL)
6. Yaakub Rashid. (1990, September 26). Pioneer leaderThe Straits Times, p. 9; Salim Osman. (1989, October 13). Haji Ya’acob – the ‘real politician’ who never retiredThe Straits Times, p. 33. Retrieved from NewspaperSG.
7. Salim Osman. (1989, October 13). Haji Ya’acob – the ‘real politician’ who never retiredThe Straits Times, p. 33. Retrieved from NewspaperSG.
8. Yaakub Rashid. (1990, September 26). Pioneer leaderThe Straits Times, p. 9. Retrieved from NewspaperSG.
9. Who’s who in Malaysia and Singapore, 1983–84 (Vol. 2). (1983). Petaling Jaya, Selangor: Who’s Who Publications, p. 209. (Call no.: RSING 920.0595 WWM); Salim Osman. (1989, October 13). Haji Ya’acob – the ‘real politician’ who never retiredThe Straits Times, p. 33. Retrieved from NewspaperSG; Lam, P. E., & Tan, K. (Eds.). (1999). Lee’s lieutenants: Singapore’s old guard. St Leonards, NSW: Allen & Unwin, pp. 124–127. (Call no.: RSING 320.95957 LEE)
10. Veteran politician Haji Ya’acob dies at 64. (1989, October 12). The Straits Times, p. 1. Retrieved from NewspaperSG.
11. Blakang Mati new school. (1964, July 21). The Straits Times, p. 4. Retrieved from NewspaperSG.
12. Mosque for 40 Esso workers. (1964, September 4). The Straits Times, p. 11. Retrieved from NewspaperSG.
13. Salim Osman. (1989, October 13). Haji Ya’acob – the ‘real politician’ who never retiredThe Straits Times, p. 33. Retrieved from NewspaperSG.
14. Haji Ya’acob agrees Raja’s words were ill-chosen. (1986, December 14). The Straits Times, p. 2 Retrieved from NewspaperSG.
15. Who’s who in Malaysia and Singapore, 1983–84(Vol. 2).(1983). Petaling Jaya, Selangor: Who’s Who Publications, p. 209. (Call no.: RSING 920.0595 WWM)
16. Salim Osman. (1989, October 13). Haji Ya’acob – the ‘real politician’ who never retiredThe Straits Times, p. 33. Retrieved from NewspaperSG.
17. Salim Osman. (1989, October 13). Haji Ya’acob – the ‘real politician’ who never retiredThe Straits Times, p. 33. Retrieved from NewspaperSG.
18. Who's who in Malaysia and Singapore, 1983–84(Vol. 2)(1983). Petaling Jaya, Selangor: Who’s Who Publications, p. 209. (Call no.: RSING 920.0595 WWM)
19. Who’s who in Malaysia and Singapore, 1983–84 (Vol. 2). (1983). Petaling Jaya, Selangor: Who’s Who Publications, p. 209. (Call no.: RSING 920.0595 WWM); Yaakub Rashid. (1990, September 26). Pioneer leaderThe Straits Times, p. 9. Retrieved from NewspaperSG.
20. Sulaiman Jeem & Abdul Ghani Hamid. (1990). Ya’acob Mohamed (dalam API, PKMM, UMNO, PAP). Singapore: Penerbitan Wisma, pp. 22, 253–254, 277–278. (Call no.: Malay RSING 324.2092 SUL)
21. Salim Osman. (1989, October 13). Haji Ya’acob – the ‘real politician’ who never retiredThe Straits Times, p. 33. Retrieved from NewspaperSG.
22. Who's who in Malaysia and Singapore, 1983-84(Vol. 2)(1983). Petaling Jaya, Selangor: Who’s Who Publications, p. 209. (Call no.: RSING 920.0595 WWM); Salim Osman. (1989, October 13). Haji Ya’acob – the ‘real politician’ who never retiredThe Straits Times, p. 33. Retrieved from NewspaperSG.
23. Veteran politician Haji Ya’acob dies at 64. (1989, October 12). The Straits Times, p. 1. Retrieved from NewspaperSG.
24. Ministers and MPs pay last respects to Haji Ya’acob. (1989, October 13). The Straits Times, p. 1. Retrieved from NewspaperSG.
25. National Day honours list 1990. (1990, August 9). The Straits Times, p. 26. Retrieved from NewspaperSG.
26. Haji Ya’acob scholarship set up. (1992, October 23). The Straits Times, p. 28. Retrieved from NewspaperSG.
27. Sulaiman Jeem & Abdul Ghani Hamid. (1990). Ya’acob Mohamed (dalam API, PKMM, UMNO, PAP). Singapore: Penerbitan Wisma, pp. 22, 253–254, 277–278. (Call no.: Malay RSING 324.2092 SUL)
28. Sulaiman Jeem & Abdul Ghani Hamid. (1990). Ya’acob Mohamed (dalam API, PKMM, UMNO, PAP). Singapore: Penerbitan Wisma, pp. 22, 26, 253–254, 277–278. (Call no.: Malay RSING 324.2092 SUL); Ministers and MPs pay last respects to Haji Ya’acob. (1989, October 13). The Straits Times, p. 23. Retrieved from NewspaperSG.

Rujukan Tambahan
1. Haji Yaacob to Malays in Singapore: Have patience. (1964, July 16). The Straits Times, p. 11. Retrieved from NewspaperSG.

2. Man who engaged in mortal fight with enemies. (1981, September 7). The Straits Times, p. 11. Retrieved from NewspaperSG.
3. PAP veteran’s backseat role. (1986, May 11). The Straits Times, p. 15. Retrieved from NewspaperSG.


Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris.
For the English version of this article, click here.

Klik di sini untuk kembali ke halaman utama.
To go back to the home page, click here.


Maklumat dalam artikel ini disahkan betul setakat Oktober 2025 berdasarkan sejauh mana ia dapat dipastikan daripada sumber kami. Ia bukan bertujuan untuk dijadikan sejarah menyeluruh atau lengkap tentang sesebuah subjek. Sila hubungi Perpustakaan untuk mendapatkan bahan bacaan lanjut mengenai topik ini. Jika anda ada sebarang maklum balas, sila kongsikan di sini.

 





Rights Statement

The information on this page and any images that appear here may be used for private research and study purposes only. They may not be copied, altered or amended in any way without first gaining the permission of the copyright holder.

Beta BETA