Iskandar Mirza Ismail



Tokoh-tokoh Melayu Singapura

Koh, Angeline

Iskandar Mirza Ismail (l. 23 Julai 1956, Singapura – m. 1 November 2014, Singapura) merupakan tokoh terkemuka dalam dunia muzik Singapura. Seorang pemuzik serba boleh dan pelbagai bakat, Iskandar telah berkhidmat sebagai komposer, penyusun muzik, konduktor, pengarah muzik, penerbit rakaman, penyampai persembahan dan pendidik sepanjang kerjayanya yang panjang.1 Pada tahun 2008, beliau dianugerahkan Pingat Budaya dalam bidang Muzik sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya kepada dunia muzik tempatan.2


Awal kehidupan dan pendidikan
Iskandar ialah anak sulung daripada lima beradik kepada penyanyi Ismail Kassim dan Nona Asiah. Ibunya, seorang anak didik Zubir Said (komposer lagu kebangsaan Singapura), dapat melihat bakat muzik dalam diri anak-anaknya.3 Pada usia lapan tahun, Iskandar dihantar untuk mengikuti kelas muzik mingguan bersama Zubir selama tiga tahun.4

Pada usia 12 tahun, Nona mendaftarkan Iskandar untuk kelas papan nada electone. Latihan ini membuahkan hasil apabila beliau memenangi tempat pertama di Festival Electone Singapura pada tahun 1975. Pada usia 15 tahun, beliau menjadi tenaga pengajar termuda di Sekolah Muzik Yamaha.5 Dorongan daripada Zubir mendorong Iskandar mengejar impiannya untuk belajar muzik di Berklee College of Music di Boston, Amerika Syarikat pada tahun 1976. Semasa di Berklee, Iskandar memenangi Anugerah John Lewis Jazz Masters atas kecemerlangannya dalam muzik jazz pada tahun 1978. Setahun kemudian, beliau menamatkan pengajian dengan Ijazah Muzik Profesional.6


Kerjaya seni
Tanda kenal istimewa muzik Iskandar ialah keupayaannya mengubah motif melodi atau irama menjadi lagu yang memiliki ciri-ciri tersendiri. Beliau mencipta wadah muzik yang kaya antara muzik Timur-Barat serta muzik klasik dan pop. Beliau sentiasa mencari timbre, gaya muzik dan tradisi baharu. Kerjaya muzik eklektiknya menyaksikan penglibatan beliau dalam muzikal pentas, teater, muzik klasik Barat dan India, serta instrumen Cina, orkestra, koir dan persembahan lain.7

Dikenali kerana kemahiran serba boleh dan keupayaannya bekerja merentas genre muzik yang berbeza, Iskandar juga menulis dan menghasilkan lagu untuk artis Cina apabila Warner Taiwan menggunakan studionya selama 15 tahun, walaupun beliau tidak menguasai bahasa Cina. “Bunyi muzik kami begitu berbeza, mereka mahu kami menghasilkan semua rakaman mereka. Saya percaya ini kerana kami membawa muzik pop Cina dengan latihan Barat – ia memberikan dimensi baharu kepada bunyi,” kenang Iskandar. “Kami menyusun muzik untuk bintang-bintang besar [Hong Kong] seperti Sandy Lam, George Lam, Aaron Kwok dan Jacky Cheung.”8

Iskandar telah bekerjasama dengan bakat seni Asia lain seperti Dick Lee, Ken Low, Anita Sarawak dan Ekachai Uekrongtham. Beliau menyusun muzik untuk muzikal pentas seperti Kampung Amber (1994), Sing to the Dawn (1996), Snow. Wolf. Lake (1997), dan Chang & Eng (1997).9


Pencapaian
Pengaruh Iskandar dapat dilihat dalam hampir setiap karya muzik kebangsaan. Sejak 1980-an, beliau menulis muzik untuk lebih 10 majlis pembukaan dan penutup Festival Belia Singapura. Tahun 1988 menyaksikan penghasilan pertama daripada banyak produksi muzik beliau, termasuk pengarahan untuk Perarakan Hari Kebangsaan. Selain mencipta lagu untuk perarakan jalanan Chingay tahunan sempena sambutan Tahun Baru Cina, beliau turut mengetuai produksi dan pengarahan muzik bagi Sukan Asia di Doha (2006), serta edisi pertama Sukan Belia Asia (2009) dan Sukan Olimpik Belia (2010) yang diadakan di Singapura.10

Muzik Iskandar membawanya melangkaui sempadan Singapura. Untuk muzikal Selamat (2011), yang dipentaskan di Cape Town, Iskandar bekerjasama dengan pemuzik Afrika Selatan. Beliau menggunakan pelbagai instrumen untuk muzikal ini: erhu Cina, seruling Barat, cello, perkusi Melayu, dram dan piano Barat, serta instrumen Afrika Selatan seperti marimba. Muzik ini dinyanyikan oleh seorang penyanyi Afrika Selatan.11 Muzikal pentas antarabangsa lain yang dihasilkan beliau telah dipentaskan di China, Qatar, Jepun, Thailand, Rusia dan Slovakia.12

Di samping pencapaian profesionalnya, Iskandar mendedikasikan diri untuk membimbing generasi akan datang. Selama tujuh tahun berturut-turut, beliau menyertai konsert amal tahunan ChildAid bagi mengumpul dana untuk Budding Artists Fund. Sejak menjadi pengarah muzik bagi Kumpulan Jaz Universiti Nasional Singapura  pada 2006, Iskandar berusaha memberi inspirasi kepada pemuzik amatur muda dan mewujudkan peluang untuk mempamerkan bakat mereka.13 Beliau melakukan ini dengan mengambil peranan sebagai mentor tanpa menggunakan intimidasi atau bersikap “tahu segalanya”. Seorang penyanyi muda, Amni Musfirah, mengimbau pertemuan pertamanya dengan pengarah muzik itu, “Beliau menyolek diri sendiri! Di sebelah kami! Kami tidak percaya. Beliau tokoh utama yang menguruskan program itu, tetapi begitu selesa bersama beliau, mudah untuk berinteraksi.”14

Pada tahun 2010, ketika berada di bawah tekanan semasa penglibatannya dalam penganjuran Sukan Olimpik Belia, Iskandar didiagnosis menghidap kanser paru-paru. Beliau tidak membiarkan penyakit itu menghambat kerja beliau dan terus terlibat dalam acara tersebut. Iskandar menjalani pembedahan pengeluaran tumor dan kembali bekerja pada konsert ChildAid pada tahun yang sama. Beliau kemudian menjalani kemoterapi selama 25 bulan. Walaupun berasa letih, beliau terus bekerja untuk jangka waktu yang panjang bagi menyempurnakan tugas kreatifnya bersama ChildAid pada 2012 serta komitmen kerja lain. Penamatan pusingan ketiga rawatan kemoterapi pada 2013 menunjukkan beliau bebas daripada penyakit.15

Seorang profesional yang sangat berdisiplin, Iskandar teliti dalam setiap aspek seni muziknya. Beliau sentiasa mencabar diri sendiri dengan bereksperimen menggunakan instrumen, gaya muzik dan genre yang berbeza. Beliau mampu menghasilkan muzik rok semudah menghasilkan muzik berlirik.16

Pengarah teater Jeremy Choy mengimbau pertemuannya dengan Iskandar, “Saya melihat Iskandar di kantin sekolah dengan helaian skor di hadapannya. Beliau menyusun untuk seluruh orkestra tanpa papan kekunci atau sebarang instrumen lain – semuanya dalam kepala beliau. Dan kelajuan pen beliau menulis pada helaian skor itu luar biasa. Ia seperti menonton seorang seniman melukis. Saya benar-benar kagum.”17

Mentor awal dan rakan kongsi perniagaan Iskandar, Kevin Nair, mengimbau bahawa “Industri muzik Singapura pada 1970-an bukanlah industri sebenar, kebanyakan orang hanya bermain-main ingin menjadi pemuzik.”18 Nair, yang pertama kali bertemu Iskandar pada 1979, mencabar graduan baharu yang idealistik itu dengan berkata, “Apa gunanya pergi ke Berklee? Anda perlu mencipta sesuatu dan ini peluang untuk berbuat demikian.”19 Iskandar menerima cabaran itu dan telah mengubah landskap muzik tempatan secara kekal.20


Kematian
Iskandar meninggal dunia akibat kanser otak dan paru-paru pada 1 November 2014, meninggalkan isteri dan dua anak.21


Keluarga
22
Isteri: Ernawaty Sorainto (berkahwin 1985)
Anak lelaki: Emil Daruwin
Anak perempuan: Valerie


Pendidikan
1979: Tamat pengajian dari Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat dengan Ijazah Muzik Profesional.23


Anugerah
24
1975: Johan Festival Electone Singapura
1978: Pemenang Anugerah John Lewis Jazz Masters
2003: Dianugerahi Anugerah Jauhari oleh Berita Harian
2007: Anugerah Fellowship Kehormat, London College of Music, Thames Valley University, United Kingdom25


Perarakan Hari Kebangsaan
26
1988: Komposer dan penyusun muzik
1994: Pengarah muzik
1998: Komposer City for the World
1999: Komposer
2000: Pengarah muzik
2001: Penerbit muzik
2004: Pengarah muzik
2008: Pengarah muzik
2012: Pengarah muzik


Muzikal
27
1994: Kampung Amber, Festival Seni Singapura bersama Dick Lee
1995: Big Bang!, digubah oleh Kenneth Lyen
1995: Mortal Sins, digubah oleh Dick Lee
1996: Sing to the Dawn, digubah oleh Dick Lee
1996: Hotpants, digubah oleh Dick Lee
1997: A Twist of Fate, digubah oleh Dick Lee
1997: Snow. Wolf. Lake dan Chang & Eng
1999: Chang & Eng dipentaskan semula di Kallang Theatre
2000: PCK The Musical, Presiden Star Charity Show
2001: Chang & Eng dipentaskan semula di Victoria Concert Hall
2002: Mencipta lagu untuk Perahu – Memecah Ombak sempena pembukaan Esplanade – Esplanade – Theatres on the Bay28
2006: ChildAid, konsert amal Singapore Press Holdings untuk bakat muda
2008: Beauty World dipentaskan di Esplanade Theatre
2009: ChildAid dipentaskan di  Resorts World Sentosa
2012: ChildAid dipentaskan di Marina Bay Sands Grand Theatre


Karya antarabangsa
29
1997: Penyusunan orkestra untuk muzikal Chang & Eng, dipentaskan di Beijing, China.
2002: Penyusunan orkestra untuk muzikal Chang & Eng, dipentaskan di Bangkok, Thailand.
2004: Penyusunan orkestra untuk muzikal Snow. Wolf. Lake, dipentaskan dalam bahasa Mandarin di Hong Kong dan beberapa bandar lain di China.
2006: Iskandar dilantik sebagai Penerbit Muzik untuk majlis pembukaan Sukan Asia ke-15 di Doha, Qatar. Beliau bekerjasama dengan Dick Lee, yang diberi penghormatan untuk menulis muzik.30
2006: Komposer persembahan pelbagai budaya Generations, dipentaskan di Tokyo, Jepun, sebagai sebahagian daripada Siri Spotlight Singapore di The Old Parliament House.
2008: Komposer persembahan pelbagai budaya Generation/s, dipentaskan di Moscow, Rusia, sebagai sebahagian daripada Siri Spotlight Singapore di The Old Parliament House.
2011: Komposer persembahan pelbagai budaya Selamat, dipentaskan di Cape Town, Afrika Selatan, sebagai sebahagian daripada Siri Spotlight Singapore di The Old Parliament House.
2012: Komposer persembahan pelbagai budaya Living Dreams, dipentaskan di Bratislava, Slovakia, sebagai sebahagian daripada Siri Spotlight Singapore di The Old Parliament House.


Penulis
Angeline Koh


Rujukan

1. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, pp. 1, 10, 14. (Call no.: RSING 780.92 GWE); Eddino Abdul Hadi. (2014, November 1). Singapore music maestro Iskandar Mirza Ismail dies of cancer. The Straits Times. Retrieved from Factiva via NLB’s eResources website: http://eresources.nlb.gov.sg/
2. National Arts Council. (2013). Cultural Medallion & Young Artist Award Recipients for Music. Retrieved from https://www.nac.gov.sg/art-forms/music/local-directory/cultural-medallion-young-artist-award-recipients-for-music; Chia, A. (2008, October 18). Music to his earsThe Straits Times, p. 79. Retrieved from NewspaperSG.
3. Zubir, R. (2012). Zubir Said: The composer of Majulah Singapura. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies, p. 163. (Call no.: RSING 780.92 ROH); Foo, J. (1989, October 29). Iskandar and the Chinese connectionThe Straits Times, p. 33. Retrieved from NewspaperSG.
4. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, pp. 24, 26. (Call no.: RSING 780.92 GWE)
5. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, pp. 28–29. (Call no.: RSING 780.92 GWE)
6. Zubir, R. (2012). Zubir Said: The composer of Majulah Singapura. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies, p. 165. (Call no.: RSING 780.92 ROH); Jazz master's award. (1978, May 4). The Straits Times, p. 11. Retrieved from NewspaperSG; Singapore Press Holdings. (2003, August 6). Veteran composer is Achiever of the Year. Retrieved from http://www.sph.com.sg/article.display.php?id=69
7. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, pp. 77–80, 92. (Call no.: RSING 780.92 GWE)
8. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, pp. 60–62. (Call no.: RSING 780.92 GWE)
9. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, pp. 69, 71, 78, 99, 100. (Call no.: RSING 780.92 GWE)
10. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, pp. 69. 71, 78, 81–82. (Call no.: RSING 780.92 GWE)
11. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, pp. 103–104, 118. (Call no.: RSING 780.92 GWE)
12. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, pp. 71, 74, 77, 78. (Call no.: RSING 780.92 GWE); Singapore sound at Asian games. (2006, December 1). Today, p. 38. Retrieved from NewspaperSG.
13. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, pp. 16, 81. (Call no.: RSING 780.92 GWE)
14. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, p. 110. (Call no.: RSING 780.92 GWE)
15. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, pp. 125–156. (Call no.: RSING 780.92 GWE)
16. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, pp. 91, 102–103. (Call no.: RSING 780.92 GWE)
17. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, pp. 91. (Call no.: RSING 780.92 GWE)
18. Foo, J. (1989, October 29). Iskandar and the Chinese connectionThe Straits Times, p. 33. Retrieved from NewspaperSG. 
19. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, pp. 39, 101. (Call no.: RSING 780.92 GWE)
20. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, p. 35. (Call no.: RSING 780.92 GWE)
21. Eddino Abdul Hadi. (2014, November 1). Singapore music maestro Iskandar Mirza Ismail dies of cancer. The Straits Times. Retrieved from Factiva via NLB’s eResources website: http://eresources.nlb.gov.sg/
22. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, pp. 30, 41, 117. (Call no.: RSING 780.92 GWE)
23. Singapore Press Holdings. (2003, August 6). Veteran composer is Achiever of the Year. Retrieved from http://www.sph.com.sg/article.display.php?id=69
24. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, pp. 16, 34. (Call no.: RSING 780.92 GWE); Singapore Press Holdings. (2003, August 6). Veteran composer is Achiever of the Year. Retrieved from http://www.sph.com.sg/article.display.php?id=69
25. National Arts Council. (2008). Iskandar Mirza Ismail: Multi-talented and versatile. Retrieved from MusicSG.
26. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, pp. 69, 70, 71, 75, 76. (Call no.: RSING 780.92 GWE)
27. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, pp. 69, 70, 71, 74, 78, 80, 100. (Call no.: RSING 780.92 GWE)
28. Singapore Press Holdings. (2003, August 6). Veteran composer is Achiever of the Year. Retrieved from http://www.sph.com.sg/article.display.php?id=69
29. Gwee, M. (2013). Iskandar Ismail: The music man. Singapore: Epigram Books, pp. 38, 71, 74, 77, 78. (Call no.: RSING 780.92 GWE)
30. Dick Lee. (2010). Profile. Retrieved from Dick Lee website: http://www.dicklee.com/image/dicklee.pdf


Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris.
For the English version of this article, click here.

Klik di sini untuk kembali ke halaman utama.
To go back to the home page, click here.


Maklumat dalam artikel ini disahkan betul setakat Oktober 2025 berdasarkan sejauh mana ia dapat dipastikan daripada sumber kami. Ia bukan bertujuan untuk dijadikan sejarah menyeluruh atau lengkap tentang sesebuah subjek. Sila hubungi Perpustakaan untuk mendapatkan bahan bacaan lanjut mengenai topik ini. Jika anda ada sebarang maklum balas, sila kongsikan di sini.

 





Rights Statement

The information on this page and any images that appear here may be used for private research and study purposes only. They may not be copied, altered or amended in any way without first gaining the permission of the copyright holder.

Beta BETA