Syed Hussein Alatas bin Syed Ali Alatas (Prof) (l. 17 September 1928, Bogor, Indonesia – m. 23 Januari 2007, Kuala Lumpur, Malaysia) merupakan seorang intelektual awam terkemuka Malaysia yang menumpukan sebahagian besar kerjayanya dalam bidang akademik. Beliau sangat dikenali melalui penulisan-penulisannya yang menyentuh tema rasuah, perkauman, kolonialisme serta isu-isu sosioagama yang melibatkan masyarakat Melayu/Islam di dunia Melayu.
Kehidupan Awal dan Pendidikan
Seorang berketurunan Hadhrami Arab, Syed Hussein Alatas dilahirkan kepada pasangan Sharifah Raguan Alaydrus dan Syed Ali Alatas di Bogor, Indonesia, yang ketika itu merupakan tanah jajahan Belanda. Datuknya, Syed Abdullah bin Muhsin, merupakan seorang tokoh agama yang disegani yang berhijrah dari Hadhramaut, Yemen, untuk berkhidmat sebagai pemimpin agama di Bogor sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1933.1 Tahun-tahun awal kehidupan Syed Hussein Alatas dilalui di Johor, Malaysia, di mana beliau mendapat pendidikan awal. Setelah menyaksikan zaman penjajahan Jepun pada tahun 1942 hingga 1945 di Sukabumi, Jawa Barat, beliau kembali ke Johor untuk menamatkan Sijil Persekolahan di Kolej Inggeris Johor Bahru.2 Dalam tempoh ini, beliau terdedah kepada gerakan anti-kolonial, perjuangan kemerdekaan serta usaha pembinaan negara bangsa. Demi memperluas pengembangan intelektualnya, beliau melanjutkan pelajaran ke Belanda dan memperoleh ijazah PhD daripada Universiti Amsterdam pada tahun 1963. Sewaktu belajar di sana, beliau memulakan penerbitan jurnal Progressive Islam (1954–55) yang turut disunting oleh beliau sendiri.
Kerjaya Akademik
Syed Hussein Alatas memulakan kerjaya akademiknya pada tahun 1958 sebagai Ketua Jabatan Penyelidikan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Selepas penganugerahan ijazah PhD beliau, beliau berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Kebudayaan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya (1963–67). Beliau kemudiannya berpindah ke University of Singapore (kini Universiti Nasional Singapura) dan menubuhkan Jabatan Pengajian Melayu, yang diterajuinya sehingga tahun 1987. Selepas dua dekad berkhidmat di Singapura, beliau kembali ke Malaysia dan dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya, di mana beliau giat melaksanakan reformasi universiti. Ia dipercayai bahawa pelantikan beliau berakhir secara mengejut pada tahun 1991 berikutan pembaharuan yang ingin dilaksanakan. Jawatan akademik terakhir beliau adalah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau mula berkhidmat di Pusat Pengajian Umum (1995–97), diikuti oleh Jabatan Antropologi dan Sosiologi (1997–99). Pelantikan terakhir beliau adalah di Institut Alam dan Tamadun Melayu.
Penglibatan Politik
Meskipun lebih dikenali sebagai ahli akademik, Syed Hussein Alatas turut terlibat dalam politik untuk satu tempoh yang singkat. Pada tahun 1968, bersama tokoh-tokoh intelektual seperti Wang Gungwu, Lim Chong Eu, Tan Chee Khoon, J.B.A. Peter and V. Veerappen, beliau menubuhkan Parti Gerakan Rakyat Malaysia dan menjadi presiden pengasasnya. Parti Gerakan Rakyat Malaysia beraspirasi untuk menjadi sebuah parti bukan komunal yang bebas daripada politik perkauman serta menjadi pembangkang yang bermakna kepada kerajaan yang memerintah. Dalam pilihan raya tahun 1969, Parti Gerakan Rakyat Malaysia memenangi kerusi di Penang, dan susulan itu Syed Hussein Alatas dilantik sebagai senator di Dewan Negara. Beliau juga merupakan ahli Majlis Perundingan Negara Malaysia (1969–71), di mana beliau terlibat dalam penggubalan Rukun Negara.3
Syed Hussein Alatas meninggalkan Parti Gerakan Rakyat Malaysia pada tahun 1972 apabila parti tersebut menyertai Parti Perikatan. Beliau kemudiannya menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat Malaysia bersama bekas ahli Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Tan Chee Khoon dan V. Veerappen. Parti tersebut dibubarkan pada tahun 1978. Penglibatan politik terakhir Alatas adalah bersama Parti Berjasa dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), kedua-duanya hanya untuk tempoh yang singkat.
Karya dan Legasi
Karya-karya akademik Syed Hussein Alatas memberikan tumpuan kepada isu kolonialisme, imperialisme intelektual, pemodenan, rasuah serta pengetahuan autonomi. Antara karya-karya beliau yang terkenal termasuk:
Thomas Stamford Raffles: Schemer or Reformer?4 (1971)
Modernization and Social Change in Southeast Asia5(1972)
Islam and Socialism6 (1976)
Intellectuals in Developing Societies7 (1977)
The Myth of the Lazy Native8 (1977)
Corruption: Its Nature, Causes and Functions9 (1991)
Cita Sempurna Warisan Sejarah10 (2000)
Selain buku-buku karangan beliau, Syed Hussein Alatas turut dikenang atas sumbangannya dalam wacana nasional di Singapura, seperti isu pemindahan kornea dalam masyarakat Islam. Pada tahun 1973, satu perdebatan tercetus dalam akhbar utama Bahasa Melayu di Singapura, iaitu Berita Harian, berhubung kebolehan pemindahan organ dari perspektif agama. Penubuhan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan di Singapura telah membuat Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengeluarkan kenyataan dalam akhbar bahawa pemindahan organ tidak dibenarkan dari sudut pandangan Islam, namun Alatas tidak bersetuju dengan pendirian tersebut. Perdebatan awam antara kedua-dua pihak akhirnya dibukukan dalam buku bertajuk Biarkan Buta11, yang mencerminkan keprihatinan beliau sebagai seorang intelektual awam terhadap pemikiran yang boleh menghalang kemajuan masyarakat.12
Syed Hussein Alatas meninggal dunia pada 23 Januari 2007 di kediamannya di Kuala Lumpur, namun karya dan pemikirannya terus menjadi bahan perbincangan bukan sahaja di Malaysia dan Singapura, malah di peringkat antarabangsa – baik dalam mahupun di luar kampus universiti.
Penulis
Sharifah Afra Alatas
References
1. Syed Farid Alatas, “Rogayah Hanim: Malaysia’s Ottoman Legacy,” in Roots Living Heritage, ed. Halimah Mohd Said, Danny Wong Tze Ken and Sivachandralingam Sundara Raja (Kuala Lumpur: Universiti Malaya Press, 2022), 22. (Not in NLB holdings)
2. “Biographical Notes: Syed Hussein Alatas (17 September 1928–23 January 2007)–Academic/Politician,” ISEAS–Yusof Ishak Institute, accessed 5 December 2024, https://www.iseas.edu.sg/wpcontent/uploads/2021/10/Syed-Hussein-Alatas-Biographical-Notes.pdf.
3. Masturah Alatas, The Life in the Writing: Syed Hussein Alatas (Petaling Jaya, Selangor: Gerakbudaya Enterprise, 2024), 137.
4. Syed Hussein Alatas, Thomas Stamford Raffles: Schemer or Reformer? (Singapore: Angus and Robertson, 1971). (Call no.: RSING 959.570210924 RAF)
5. Syed Hussein Alatas, Modernization and Social Change (Sydney: Angus & Robertson, 1972). (Call no.: RSING 301.240959 ALA)
6. Syed Hussein Alatas, Islam and Socialism (Petaling Jaya: Gerakbudaya Enterprise, 2024). (Call no.: RSEA 335.088297 ALA). This was originally published in 1976 in Malay as Islam dan Socialisme.
7. S.H. Alatas, Intellectuals in Developing Societies (London: Cass, 1977). (Call no.: RCLOS 301.445091724 ALA)
8. Syed Hussein Alatas, The Myth of the Lazy Native (London; New York: Routledge. 2010 [1977]). (Call no.: RSEA 305.800959 ALA)
9. Syed Hussein Alatas, Corruption: Its Nature, Causes and Functions (Kuala Lumpur: S.A. Majeed, 1991). (Call no.: RUR 364.1323 ALA)
10. Syed Hussein Alatas, Cita Sempurna Warisan Sejarah (Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000). (Call no.: RSEA Malay 155.2 ALA)
11. Syed Hussein Alatas, Biarkan Buta (Singapore: Pustaka Nasional, 1974). (Call no.: RSING 297.1975 ALA)
12. Afif Pasuni, “Issuing Fatwas in the Name of the State: Reshaping Co-optation through Religious Decrees in Singapore,” doctoral dissertation (University of Warwick, 2018), 136–37.
Sumber Tambahan
1. Mona Abaza, “Syed Hussein Alatas and Progressive Islam between the Middle East and Southeast Asia: Essays in Honour of Professor Syed Hussein Alatas,” in Local and Global: Social Transformation in Southeast Asia, ed. Riaz Hassan (Leiden; Boston: Brill, 2004), 237–60.
2. Syed Hassan bin Muhammad Al-Attas, Nota Kembara Seorang ‘Abid: Sekelumit Riwayat Habib Muhammad bin Salem al-Attas dan Tebaran Anak Hadhrami (Singapore: Masjid Ba'alwi, 2010).
Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris.
For the English version of this article, click here.
Klik di sini untuk kembali ke halaman utama.
To go back to the home page, click here.
Maklumat dalam artikel ini disahkan betul setakat Oktober 2025 berdasarkan sejauh mana ia dapat dipastikan daripada sumber kami. Ia bukan bertujuan untuk dijadikan sejarah menyeluruh atau lengkap tentang sesebuah subjek. Sila hubungi Perpustakaan untuk mendapatkan bahan bacaan lanjut mengenai topik ini. Jika anda ada sebarang maklum balas, sila kongsikan di sini.
The information on this page and any images that appear here may be used for private research and study purposes only. They may not be copied, altered or amended in any way without first gaining the permission of the copyright holder.
| BETA |