Rahimah Rahim



Tokoh-tokoh Melayu Singapura

Koh, Jaime

Rahimah Rahim (l. 9 Disember 1955 – ) ialah seorang penghibur veteran dalam dunia muzik tempatan, dan antara artis paling popular pada era 1970-an dan 1980-an.1 Rahimah telah merakam lebih daripada sedozen album. Selepas berehat dari 1989 hingga 2002, Rahimah kembali ke dunia hiburan dengan album kompilasi pada tahun 2003. Sejak itu, beliau membuat penampilan sekali-sekala, menyanyi di acara-acara tertentu dan berlakon di televisyen.2


Kehidupan Awal
Rahimah merupakan anak sulung daripada empat beradik kepada pasangan Rahim Hamid dan Mariam Baharom.3 Rahim dikenali sebagai “Nat King Cole Singapura” selepas beliau memenangi pertandingan nyanyian Xaxier Cugat pada tahun 1953.4 Beliau kemudiannya membuat persembahan di beberapa kelab nyanyian popular di Singapura seperti The Cockpit5, Club 3926 dan Jade Lounge, Hotel Ming Court7.

Ibu Rahimah, Mariam Baharom, ialah pelakon terkenal yang pernah berlakon di bawah syarikat filem Cathay-Keris Studio dan Shaw Organisation, manakala bapanya bekerja sebagai penyunting filem dengan syarikat yang sama. Daripada bapanya, Rahimah mempelajari cara menghibur dan menjalin hubungan dengan penonton, walaupun melalui Mariamlah, Rahimah mula menceburi bidang lakonan.8


Pelakon Kanak-kanak
Rahimah mula mempelajari skrip pada usia enam tahun semasa mengikuti ibunya melakukan penggambaran dan mula berlakon dalam beberapa watak kecil.9 Watak besarnya yang pertama ialah sebagai seorang gadis kaya dalam filem Korban Kasih pada 1961.10 Beberapa tahun kemudian, beliau mendapat peranan dalam sitkom Melayu popular Pak Awang Temberang serta membuat persembahan nyanyian di rancangan aneka ragam, menjadikannya seorang bintang kanak-kanak.11 Dalam tempoh ini, Rahimah juga muncul dalam dua filem Cathay-Keris lain, Masuk Angin Keluar Asap (1963) dan Kasih Ibu (1965).12

Semasa berlakon sebagai kanak-kanak, Rahimah kadangkala menyiapkan kerja sekolahnya di studio sambil menunggu giliran berlakon. Belajar dialog tidak mudah, tetapi Rahimah berkata beliau belajar dengan meniru orang dewasa, “[Orang dewasa] bercakap, saya ulang apa yang mereka kata.”13


Sensasi Nyanyian
Rahimah mengimbas kembali bahawa lagu Inggeris pertama yang dinyanyikannya ialah dendang “Rudolph, the Red-nosed Reindeer”. “Saya berumur sembilan atau sepuluh tahun. Waktu itu Krismas… Saya perlu belajar bagaimana menyanyi lagu itu. Ia sangat sukar. Menyanyi [dalam bahasa Inggeris] berbeza kerana sebutan berbeza, kata-katanya besar untuk saya. Saya ingat Eddy Gomez mengajar saya cara menyanyi,” jelas beliau.14 Rahimah juga mengikuti kelas bernyanyi pakciknya, Ahmad Daud, seorang penyanyi veteran dalam industri muzik Melayu, dan dibimbing oleh bapanya.15

Pada usia 14 atau 15 tahun, Rahimah menemani bapanya ke kelab-kelab di mana beliau menyanyi. Pada waktu itu, kanak-kanak bawah 18 tahun tidak dibenarkan masuk kelab, tetapi bapanya menyeludupnya supaya beliau boleh menyanyi bersamanya dua atau tiga kali seminggu. Apabila ada pemeriksaan mengejut, Rahimah bersembunyi di bawah piano besar atau dihantar keluar.16

Kunjungan ke kelab-kelab inilah yang memulakan kerjaya muzik Rahimah. “Saya mula menyanyi semua lagu jaz, seperti ‘Route 66’… ‘Our Day Will Come’, lagu Nat King Cole, Ella Fitzgerald, muzik-muzik begitu,” katanya.17 Selepas meninggalkan alam persekolahan pada 1971, beliau menyanyi bersama bapanya di kelab-kelab malam sepanjang Orchard Road, berduet dengan beliau terutamanya lagu-lagu jaz.18

Tahun 1974 menandakan detik perubahan dalam kerjaya nyanyian Rahimah. Selepas berjaya dalam ujian bakat, beliau yang berusia 19 tahun dipilih untuk menyertai pertandingan nyanyian Asia, Kimi Koso Talentime, yang diadakan di Tokyo, Jepun.19 Bersaing dengan lebih 100 penyanyi dari Asia Timur, Rahimah memenangi hadiah pertama dan ditawarkan kontrak rakaman selama tiga tahun dengan Warner Music.20 Beliau ingin kekal di Tokyo, tetapi ibunya menegaskan agar beliau kembali ke Singapura.21

Sekembalinya ke Singapura, Rahimah mula menyanyi di Mandarin Court dan Neptune Theatre Restaurant.22 Beliau mencipta sejarah sebagai penyanyi Melayu pertama yang membuat persembahan di Neptune. Di situ juga beliau belajar menyanyi dalam pelbagai bahasa, termasuk lagu Jepun dan Mandarin.23

Rahimah telah mula merakam album sebelum memenangi pertandingan di Tokyo pada 1974 dan mula menyanyi di kelab tempatan. Extended play pertamanya, menampilkan lagu “Mana Ibu Mu”, dikeluarkan pada 1972.24

Dari 1970-an hingga 1980-an, kerjaya nyanyian Rahimah bertambah gemilang dan nama beliau menjadi sebutan ramai dalam dunia hiburan, dengan lagu-lagu popular seperti “Doa” dan “Bebas”. Pada 1980-an, beliau banyak mengembara, terutamanya ke Taiwan dan Hong Kong, membuat persembahan bersama penyanyi popular Hong Kong seperti Leslie Cheung dan Alan Tam.25


Kehidupan Peribadi dan Berehat daripada Dunia Hiburan
Pada 1989, ketika Rahimah berada di kemuncak kerjayanya, beliau memutuskan untuk meninggalkan dunia hiburan. Pada waktu itu, perkahwinan berprofil tinggi beliau dengan pemain bola sepak kebangsaan Mohammad Noh Hussein, yang dikahwini pada 1977, telah berakhir dengan perceraian. Rahimah kemudian menunaikan umrah dan seterusnya haji.26 Beliau mengambil keputusan untuk menyiapkan album Hati Yang Rapuh pada 1990, yang telah diusahakannya sebelum menunaikan haji, sebelum bersara. Beliau berkata, “Saya sekarang berumur 34 tahun. Saya mahu kehidupan berkeluarga, membesarkan anak perempuan saya yang sedang membesar, [yang] akan menjadi sukar jika saya tidak bersara daripada dunia muzik.”27

Pada 1994, beliau berkahwin dengan Remy Taib, yang bekerja dalam industri keselamatan, dan menjauhkan diri daripada dunia hiburan untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Beliau kemudian bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan di sebuah agensi pembantu rumah.28 Rahimah juga pernah terlibat dalam pelbagai perniagaan, termasuk pelaburan saham di sebuah salon rambut, syarikat filem berpangkalan di Kuala Lumpur, dan Pearl Recording Company.29

Selain anak perempuannya bersama Mohammad Noh, Nur Hida Pearl, Rahimah mempunyai seorang lagi anak perempuan, Amalyn Aisha, bersama Remy Taib.30


Kembalinya Sang Diva
Pada 2003, pengurus besar Life Records, Osman Arifin, menawarkan Rahimah kontrak untuk merakam album popular terbesarnya. Album bertajuk Suatu Memori mendapat sambutan hangat dan menandakan kembalinya Rahimah ke dunia hiburan. Pada ketika itu, beliau menganggap hiburan sebagai hobi sementara keluarganya tetap menjadi keutamaan.31

Dengan keluarnya album tersebut, ramai kenalan lama mula menghubungi Rahimah semula. Beliau mula membuat persembahan terutamanya di Malaysia, dan berlakon dalam beberapa drama untuk rangkaian televisyen Malaysia, Radio Televisyen Malaysia.32 Beliau juga mula muncul dalam produksi televisyen Singapura. Pada 2005, beliau menjadi pengadil utama rancangan realiti bakat Melayu MediaCorp, Anugerah.33 Pada 2006, beliau membuat persembahan jemputan dalam Singapore Idol, dan pada 2010, beliau muncul dalam muzikal berbahasa Inggeris pertamanya, Fried Rice Paradise oleh Dick Lee.34

Pada Disember 2014, Rahimah diumumkan akan membintangi filem baru pengarah tempatan Royston Tan, 3688.


Album/Extended Play Terpilih
35
1971: Mana Ibu Mu (bersama The Commandos; Panda Records)
1972: Permuda Tampan (bersama The Stylers; Panda Records)
1972: Senangkan Hati (bersama The Commandos; Panda Records)
1972: Soreh-soreh (bersama The Commandos; Panda Records)
1973: Jaga Jaga Kalau Berkata (Panda Records)
1973: Kebersehan Satu Keimanan (bersama The Nite Walkers; Panda Records)
1974: Bintang Sukanku (Senada)
1974: Posnita (Senada)
1975: Renungan (Senada)
1982: Gadis Dan Bunga (Josal Records)
1984: Bebas (Josal Records)
1990: Hati Yang Rapuh (NSR Record)
2003: Suatu Memori (Life Records)
2006: Awal Dan Kini (Life Records)


Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kehidupan awal Rahimah Rahim serta permulaan kerjaya nyanyiannya, sila dengarkan rakaman wawancara sejarah lisan beliau di sini.


Penulis
Jaime Koh


Rujukan
1. Mardiana Abu Bakar, “This Is Rahimah,” Straits Times, 1 July 1989, 1. (From NewspaperSG); Rahimah Rahim, oral history interview by Patricia Lee, 3 April 2007, MP3 audio, 54:38, National Archives of Singapore (accession no. 003141)
2. Azman Ahmad, “Rahimah Rahim Returns,” Malay Mail, 7 July 2003. (From Factiva via NLB’s eResources website); Pauline Teo, “The Simple Life,” Straits Times, 4 December 2006, 4. (From NewspaperSG)
3. Teo, “Simple Life”; Rahimah Rahim, oral history interview.
4. “How He Became Singapore’s ‘Nat King Cole’,” Straits Times, 17 April 1955, 11. (From NewspaperSG)
5. “Singapore’s ‘Nat King Cole’.”
6. “Nightspot of ’70s Now a Jazz Club,” Straits Times, 18 September 1987, 38. (From NewspaperSG)
7. Pat D’Rose, “Jade Lounge Goes Disco and Nostalgia,” Straits Times, 12 February 1988, 5. (From NewspaperSG)
8. Rahimah Rahim, oral history interview; Lim, Phay-Ling, “So Much to Sing About,” Straits Times, 1 February 1987, 1. (From NewspaperSG); Teo, “Simple Life.”
9. Lim, “So Much to Sing About”; Rahimah Rahim, oral history interview.
10. Rahimah Rahim, oral history interview.
11. Zul Othman, “Rahimah Returns,” Today, 16 November 2005, 52. (From NewspaperSG)
12. Dennis Chua, “First Lady of Song Still Has the Magic,” New Straits Times, 4 June 2006. (From Factiva via NLB’s eResources website)
13. Rahimah Rahim, oral history interview.
14. Rahimah Rahim, oral history interview.
15. Lim, “So Much to Sing About.”
16. Rahimah Rahim, oral history interview.
17. Rahimah Rahim, oral history interview.
18. Lim, “So Much to Sing About.”
19. Rahimah Rahim, oral history interview; Othman, Rahimah Returns.”
20. Abu Bakar, “This Is Rahimah”; Rahimah Rahim, oral history interview; Lim, “So Much to Sing About.”
21. Rahimah Rahim, oral history interview.
22. Rahimah Rahim, oral history interview by Patricia Lee, 10 April 2007, MP3 audio, 54:54, National Archives of Singapore (accession no. 003141)
23. Rahimah Rahim, oral history interview.
24. Murni Ech Es, “Menjelang Hari Raya Shairkat P-Hitam berlumba2 Usahakan lagu2 Baharu,”  Berita Harian, 22 October 1972, 11. (From NewspaperSG)
25. Othman, Rahimah Returns.”
26. Abu Bakar, “This Is Rahimah.”
27. “Swansong,” Straits Times, 7 May 1990, 6. (From NewspaperSG)
28. Lin Wenjian, “The Singing Star,” Straits Times, 23 May 2010, 10. (From NewspaperSG); Rahimah Rahim, oral history interview by Patricia Lee, 20 April 2007, MP3 audio, 50:51, National Archives of Singapore (accession no. 003141)
29. Abu Bakar, “This Is Rahimah”; Othman, Rahimah Returns.”
30. Lin, “Singing Star.” 
31. Cheong Suk-Wai, “Rahimah Is Back with a VCD,” Straits Times, 12 February 2003, 2. (From NewspaperSG); Rahimah Rahim, oral history interview.
32. Rahimah Rahim, oral history interview; Tan Dawn Wei, “Nobody Pays To See You Cry,” Straits Times, 26 April 2006, 5. (From NewspaperSG)
33. Othman, Rahimah Returns.”
34. Akshita Nanda, “Embarking on a New Stage,” Straits Times, 16 August 2010, 2. (From NewspaperSG); Teo, “Simple Life.”
35. “Rahimah Rahim,” Rateyourmusic, last accessed 2015; “Rahimah Rahim,” 45cat.com., last accessed 2015; Teo, “Simple Life”; Ahmad, “Rahimah Rahim Returns”; Rahimah Persembah Hadiah PerpisahanBerita Harian, 29 April 1990, 8. (From NewspaperSG)


Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris.
For the English version of this article, click here.

Klik di sini untuk kembali ke halaman utama.
To go back to the home page, click here.


Maklumat dalam artikel ini disahkan betul setakat Oktober 2025 berdasarkan sejauh mana ia dapat dipastikan daripada sumber kami. Ia bukan bertujuan untuk dijadikan sejarah menyeluruh atau lengkap tentang sesebuah subjek. Sila hubungi Perpustakaan untuk mendapatkan bahan bacaan lanjut mengenai topik ini. Jika anda ada sebarang maklum balas, sila kongsikan di sini.

 





Loading...

You May Also Like

You are currently on:

{{selectedTopic.label}}

Loading...

{{displayedDesc}} See {{ readMoreText }}


Loading...

Rights Statement

The information on this page and any images that appear here may be used for private research and study purposes only. They may not be copied, altered or amended in any way without first gaining the permission of the copyright holder.

Beta BETA