Rilla Melati Bahri



Tokoh-tokoh Melayu Singapura

Miranti Silasudjana

Rilla Melati Bahri (l. 1973, Singapura- ) merupakan bekas bintang kanak-kanak, personaliti media, usahawan, pendidik, penulis buku kanak-kanak serta penterjemah yang sedang menempa nama. Beliau dikenali atas usahanya membawa program pertuturan dan drama dalam Bahasa Melayu ke sekolah-sekolah di Singapura serta sebagai pengasas Mini Monsters, sebuah syarikat pendidikan yang memberi tumpuan kepada pengajaran Bahasa Melayu menerusi pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan dan inovatif.


Kehidupan Awal dan Pendidikan
Menurut Rilla sendiri, beliau dibesarkan dalam sebuah keluarga kelas pertengahan yang sederhana.1 Bapanya ialah Cikgu Bahri Rajib, seorang guru Bahasa Melayu, penulis skrip dan pendidik yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu Singapura. Ibunya menjadi suri rumah sepenuh masa selepas beberapa ketika bekerja. Beliau mempunyai seorang adik lelaki yang tujuh tahun lebih muda daripadanya.

Semasa kecil, Rilla dan keluarganya menetap di rumah datuk dan nenek sebelah ibu di Farrer Park. Datuknya mengusahakan perniagaan tirai buluh, membekalkan tirai tradisional ke rumah-rumah kolonial. Rumah tersebut kemudiannya menjadi lokasi pertemuan bagi Sriwana, sebuah kumpulan seni persembahan, dan ini memeriahkan pengalaman zaman kanak-kanak Rilla. Beliau menggambarkan zaman membesarnya di sana sebagai satu pengalaman yang magis.2

Selepas itu, keluarga Rilla berpindah ke sebuah flat di Ang Mo Kio, di mana beliau bersekolah di Sekolah Rendah Ang Mo Kio. Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Fuchun, sebelum menuntut di Maktab Rendah Anderson. Dengan impian untuk menjadi “Enid Blyton Melayu”3, Rilla mendaftarkan dirinya untuk mengikuti pengajian di  Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Nasional Singapura, pengkhususan dalam Pengajian Teater. Beliau merupakan antara kumpulan pertama graduan dalam bidang tersebut4. Tesis bagi ijazah kepujian beliau, “In Search of the Right Formula: The Dilemma of Modern Malay Theatre in Singapore”5, menganalisis perkembangan teater Melayu di Singapura dan menjadi antara rujukan yang jarang ditemui serta bernilai tinggi dalam bidang tersebut.6

Rilla berkahwin dalam usia dua puluhan tetapi bercerai beberapa bulan selepas melahirkan anak lelakinya, Nadim. Bertahun-tahun kemudian, selepas anaknya menamatkan pengajian Diploma International Baccalaureate, Rilla memperoleh Ijazah Sarjana dalam Pendidikan dari Universiti Teknologi Nanyang - Institut Pendidikan Nasional.7


Kerjaya Televisyen
Kerjaya Rilla dalam bidang televisyen bermula pada tahun 1975, ketika beliau baru berusia dua tahun. Beliau mengikuti uji bakat pertamanya kerana bapanya merupakan penulis skrip bagi sebuah program kanak-kanak. Sejak sebelum masuk tadika lagi, beliau telah biasa muncul dalam program televisyen kanak-kanak dan belajar membaca di set penggambaran.8 Kemudiannya, sebagai anggota Bengkel Kanak-Kanak TV di bawah Radio Televisyen Singapura (dan kemudiannya Perbadanan Penyiaran Singapura), beliau kerap muncul dalam rancangan Aksi Mat Yoyo pada tahun 1980-an, iaitu sebuah program pendidikan kanak-kanak berbahasa Melayu yang setanding dengan Sesame Street. Rilla juga sering muncul dalam rancangan-rancangan televisyen Melayu sempena Hari Raya.9

Di kemuncak kerjayanya, Rilla dikenali sebagai hos bersama rancangan bual bicara televisyen popular Rudy dan Rilla, yang bersiaran selama enam musim di saluran Melayu, Suria. Rancangan Rudy dan Rilla membincangkan pelbagai isu sosial dan perundangan yang relevan dengan masyarakat Melayu di Singapura, dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran dan literasi masyarakat terhadap topik-topik tersebut.10


Keusahawanan dan Mini Monsters
Semasa tahun-tahun pengajiannya di universiti, Rilla bekerja sebagai tutor dengan MENDAKI pada hujung minggu, sementara mengajar bahasa Inggeris melalui program pengucapan awam dan drama secara sambilan pada hari bekerja. Tenaga kerjanya juga diperlukan syarikat-syarikat yang menganjurkan bengkel pengucapan awam dan drama Inggeris di sekolah-sekolah, program pengayaan semasa cuti sekolah, serta pertunjukan di pusat membeli-belah.11

Pengalaman ini membuka matanya kepada kekurangan program sedemikian dalam masyarakat Melayu ketika itu. Oleh itu, beliau menubuhkan syarikat pertamanya, Stagehandz, yang menawarkan kelas pertuturan dan drama dalam bahasa Melayu. Setelah kerjasama ini berakhir, beliau membuka sebuah sekolah berpusat yang dinamakan ACTphabets. Dua tahun kemudian, Rilla menubuhkan Mini Monsters, pada mulanya dengan personaliti televisyen Najip Ali sebagai rakan kongsi perniagaan namun Najip kemudian mengunduri diri. Mini Monsters menawarkan program pengayaan dan pendidikan yang bertujuan menanam minat terhadap bahasa Melayu.12


Penulis Buku Kanak-kanak dan Penterjemah
Selain mengendalikan Mini Monsters, Rilla juga merupakan seorang penulis buku kanak-kanak yang prolifik dengan lebih 20 judul dalam bahasa Melayu yang telah diterbitkannya. Dorongan untuk menulis datang daripada permintaan anak lelakinya yang kecil ketika itu agar beliau menghasilkan sebuah cerita baharu setiap hari. Bapanya turut menggalakkan beliau menulis dan menerbitkan dalam bahasa Melayu memandangkan kekurangan buku kanak-kanak tempatan yang mengandungi konteks yang dekat dengan kehidupan mereka.13

Dua tajuk pertamanya ialah siri Adil. Buku beliau yang memenangi anugerah, Si Pencuri Ketawa, kemudiannya diadaptasi menjadi program televisyen kanak-kanak bersiri 13 episod, Taman Mini, yang diterbitkan dan ditulis oleh Rilla.14 Beliau juga menterjemah buku kanak-kanak The Crane and the Crab karya Allahyarham Presiden Singapura S.R. Nathan ke dalam bahasa Melayu.15


Karya Terpilih

Siri Aksi Adil
Gajah untuk Adil (2009)16
Meja Makan Adil (2016)17
Payung Datuk Adil (2016)18
Kuih untuk Adil (2018)19 


Baju Melayu Ati
 (2013)20


Siri Bacaan Awal Kanak-kanak
Ubat untuk Unta (2013)21
Harimau yang Hebat (2013)22
Selipar si Siput (2013)23
Topi Api (2013)24
Mana Naga? (2013)25
Baju Baharu (2013)26
Raja dan Ratu (2013)27


Siri Bacaan Cekap Kanak-kanak
Kaki Kanan Kaki Kiri (2015)28
Jala Jali (2015)29


Si Pencuri Ketawa: Kisah di Dalam Taman di Persisiran
 (2017)30
CindeRilla: Sebuah Undangan (2017)31
Capal Samsudin (2020)32
Kisah Raya Ramdan (2021)33
Songkok Haji Agil (2021)34
Tidak Mahu Degil (2024)35


Anugerah dan Jawatan
Rilla telah dianugerahkan Anugerah Persuratan (Anugerah Sastera Melayu) oleh Majlis Seni Kebangsaan untuk Payung Datuk Adil pada tahun 2017, dan menerima anugerah yang sama untuk Si Pencuri Ketawa: Kisah di Dalam Tamandi Persisiran pada tahun 2020/21.36

Beliau kini menjawat jawatan sebagai pengarah lembaga di Majlis Buku Singapura, ahli eksekutif Panel Sastera Melayu dan Jawatankuasa Saranan Kandungan, Lembaga Perpustakaan Negara,37 serta ahli Kumpulan Penasihat Lembaga Muzium Kanak-Kanak Singapura.38


Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pandangan Rilla mengenai literasi awal di Singapura serta peranan kandungan dwibahasa dan sokongan keluarga dalam memupuk minat membaca kanak-kanak, sila dengarkan rakaman wawancara sejarah lisan beliau di sini.


Penulis
Miranti Silasudjana


Rujukan
1. Rilla Melati, oral history interview by Dr Azhar Ibrahim, 16 February 2024, MP3 audio, Reel/Disc 1 of 5, National Archives of Singapore (accession no. 004981).
2. Rilla Melati, oral history interview, 16 February 2024, Reel/Disc 1 of 5.
3. Rilla Melati, oral history interview, 16 February 2024, Reel/Disc 1 of 5.
4. Koh Yuen Lin, “Mind Your Language,” The AlumNUS, 127 (October–December 2021), https://nus.edu.sg/alumnet/thealumnus/issue-127/people/pursuit-of-excellence/mind-your-language.
5. Rilla Melati Bahri, “In Search of the Right Formula: The Dilemma of Modern Malay Theatre in Singapore,” Honours thesis, National University of Singapore, 1995, https://linc.nus.edu.sg/record=b1962014.
6. Rilla Melati, oral history interview, 16 February 2024, Reel/Disc 1 of 5.
7.“Capai Impian Genggam Sarjana Walau Perlu Ambil Perjalanan ‘Z hingga A’,” Berita Harian, 5 October 2021, https://www.beritaharian.sg/rencana/capai-impian-genggam-sarjana-walau-perlu-ambil-perjalanan-z-hingga.
8. Rilla Melati, oral history interview, 16 February 2024, Reel/Disc 1 of 5.
9. Rilla Melati, oral history interview, 6 March 2024, Reel/Disc 4 of 5.
10. Rilla Melati, oral history interview, 6 March 2024, Reel/Disc 4 of 5.
11. Rilla Melati, oral history interview, 6 March 2024, Reel/Disc 4 of 5.
12. Rilla Melati, oral history interview, 6 March 2024, Reel/Disc 4 of 5.
13. Rilla Melati, oral history interview, 16 February 2024, Reel/Disc 1 of 5.
14. Rilla Melati, oral history interview, 16 February 2024, Reel/Disc 1 of 5.
15. S.R. Nathan, Bangau dan Ketam (Singapore: Epigram Books, 2014). (Call no.: SING Malay 499.2886 NAT)
16. Rilla Melati Bahri, Gajah untuk Adil (Singapore: Dua M, 2009). (Call no.: RSING Malay 499.2886 RIL)
17. Rilla Melati Bahri, Meja Makan Adil (Singapore: Mini Monsters, 2016). (Call no.: RSING Malay 499.2886 RIL)
18. Rilla Melati Bahri, Payung Datuk Adil (Singapore: Mini Monsters, 2016). (Call no.: RSING Malay 499.2886 RIL)
19. Rilla Melati Bahri, Kuih untuk Adil (Singapore: Mini Monsters, 2018). (Call no.: RSING Malay 499.2886 RIL)
20. Rilla Melati Bahri, Baju Melayu Ati (Singapore: Dua M, 2013). (Call no.: RSING Malay 499.28 RIL)
21. Rilla Melati Bahri, Ubat untuk Unta (Singapore: Dua M, 2013). (Call no.: RSING Malay 499.2886 RIL)
22. Rilla Melati Bahri, Harimau yang Hebat (Singapore: Dua M, 2013). (Call no.: RSING Malay 499.2886 RIL)
23. Rilla Melati Bahri, Selipar si Siput (Singapore: Dua M, 2013). (Call no.: RSING Malay 499.2886 RIL)
24. Rilla Melati Bahri, Topi Api (Singapore: Dua M, 2013). (Call no.: RSING Malay 499.2886 RIL)
25. Rilla Melati Bahri, Mana Naga? (Singapore: Dua M, 2013). (Call no.: RSING Malay 499.2886 RIL)
26. Rilla Melati Bahri, Baju Baharu (Singapore: Dua M, 2013). (Call no.: RSING Malay 499.2886 RIL)
27. Rilla Melati Bahri, Raja dan Ratu (Singapore: Dua M, 2013). (Call no.: RSING Malay 499.2886 RIL)
28. Rilla Melati Bahri, Kaki Kanan Kaki Kiri (Singapore: Dua M, 2015). (Call no.: RSING Malay 499.2886 RIL)
29. Rilla Melati Bahri, Jala Jali (Singapore: Dua M, 2015). (Call no.: RSING Malay 499.2886 RIL)
30. Rilla Melati Bahri, Si Pencuri Ketawa: Kisah di Dalam Taman di Persisiran (Singapore: Mini Monsters, 2017). (Call no.: RSING Malay 499.2886 RIL)
31. Rilla Melati Bahri, CindeRilla: Sebuah Undangan (Singapore: AFCC Publications; National Book Development Council of Singapore; Stephen Riady Foundation, 2017). (Call no.: RSING Malay 428.6 RIL)
32. Rilla Melati Bahri, Capal Samsudin (Singapore: Mini Monsters, 2020). (Call no.: RSING Malay 499.2886 RIL)
33. Rilla Melati Bahri, Kisah Raya Ramdan (Singapore: Mini Monsters, 2021). (Call no.: RSING Malay 499.2886 RIL)
34. Rilla Melati Bahri, Songkok Haji Agil (Singapore: Mini Monsters, 2021). (Call no.: RSING Malay 499.2886 RIL)
35. Rilla Melati Bahri, Tidak Mahu Degil (Singapore: Mini Monsters, 2024). (From PublicationSG)
36. Majlis Bahasa Melayu Singapura, “Anugerah Persuratan: List of Recipients 2007–2023,” last updated 2 May 2024, https://www.languagecouncils.sg/mbms/en/anugerah-persuratan/ap-honour-roll.
37. Singapore Book Council, “Board of Directors: Rilla Melati Bahri,” accessed 14 April 2025, https://www.bookcouncil.sg/about/our-people.
39. National Heritage Board, “NHB Boards and Sub Boards as of 30 April 2024,” last updated 30 April 2024, 4 https://www.nhb.gov.sg/-/media/nhb/files/media/annual-reports/nhb-boards-subboards-and-advisory-panels-as-of-30-april-2024.pdf.


Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris.
For the English version of this article, click here.

Klik di sini untuk kembali ke halaman utama.
To go back to the home page, click here.


Maklumat dalam artikel ini disahkan betul setakat Oktober 2025 berdasarkan sejauh mana ia dapat dipastikan daripada sumber kami. Ia bukan bertujuan untuk dijadikan sejarah menyeluruh atau lengkap tentang sesebuah subjek. Sila hubungi Perpustakaan untuk mendapatkan bahan bacaan lanjut mengenai topik ini. Jika anda ada sebarang maklum balas, sila kongsikan di sini.





Rights Statement

The information on this page and any images that appear here may be used for private research and study purposes only. They may not be copied, altered or amended in any way without first gaining the permission of the copyright holder.

Beta BETA