Kassim bin Masdor



Tokoh-tokoh Melayu Singapura

Haniman Boniran

Kassim bin Masdor (19 September 1938 – 21 Januari 2014) merupakan seorang komposer, penggubah dan penerbit muzik Melayu moden yang tersohor, khususnya dikenali menerusi karya-karyanya semasa era kegemilangan filem Melayu pada tahun 1950-an dan 1960-an di Singapura.1 Beliau telah menerima pelbagai anugerah atas sumbangannya kepada industri muzik Melayu.


Kerjaya Awal di Shaw Studios
Dilahirkan di Singapura, minat Kassim terhadap bidang muzik bermula pada usia awal semasa beliau bersekolah di Sekolah Melayu Kota Raja. Sejurus selepas tamat pengajiannya, Kassim bertugas sebagai kerani di studio Shaw Brothers’ Malay Film Productions di Jalan Ampas pada usia 14 tahun. Menurut beliau,  perkembangan bakatnya dalam seni muzik merupakan pengaruh dan sokongan rakan-rakan seangkatannya  dalam bidang muzik Melayu dan perfileman di Shaw Studios selain persekitaran kreatif di situ yang menyebabkan beliau mahir bermain xilofon, gitar dan piano.2

Pada masa inilah Kassim bertemu dengan legenda muzik dan filem Melayu, seniman agung P. Ramlee bersama tokoh-tokoh lain seperti Osman Ahmad. Dibimbing oleh P. Ramlee sebagai anak buahnya, Kassim mempelajari kepentingan kerja keras bagi menyempurnakan kemahirannya. Beliau sering berkongsi kisah bagaimana P. Ramlee menyuruhnya bekerja hingga lewat malam untuk menyediakan skor-skor muzik. Ini amat memenatkan tetapi ianya satu tugasan yang sungguh memperkayakan pengalaman. Akhirnya Kassim berganding bahu bersama P. Ramlee untuk menubuhkan kumpulan vokal Panca Sitara.3


Penceburan Lanjutan Dalam Bidang Muzik
Setelah membuktikan dirinya sebagai penggubah dan penyusun muzik yang berbakat, Kassim mula bekerja di EMI Singapore sejurus selepas Shaw Studios gulung tikar pada 1958.  Dalam tempoh lima tahun bersama EMI Singapore, beliau telah bertemu beberapa orang penyanyi Melayu yang berbakat dan menghasilkan tidak kurang daripada 60 album muzik. Pada 1974, Kassim telah meninggalkan EMI Singapore dan menubuhkan Senada Records pada 1977 bersama rakan seangkatan Yusnor Ef dan seorang lelaki yang dikenali sebagai Encik Teo.4

Di kemuncak kreativitinya, Kassim menerokai pelbagai unsur muzik bersama penggubah seangkatannya, Osman Ahmad, di mana mereka menggabungkan unsur muzik Barat dan Timur untuk mereka semula muzik Melayu moden. Sifat progresif mereka dalam merevolusikan muzik Melayu mendapat banyak tentangan sebelum diterima ramai dan dimartabatkan sebagai penggubah musik terunggul pada zaman mereka.5


Pencapaian
Sepanjang hidupnya, Kassim telah menggubah skor muzik untuk 18 buah filem Shaw Studios termasuk karya sulungnya, Darah Muda (1963), dan juga untuk lain-lian syarikat fikem lain. Kebanyakan daripada 400 buah lagu yang digubah oleh Kassim telah ditulis oleh rakan seangkatannya, Yusnor Ef.6 Ramai penyanyi terkenal Melayu pada era itu seperti Ahmad Daud, Kartina Dahari, Sanisah Huri, Sharifah Aini, Rafeah Buang, Ahmad Jais dan Fazidah Joned mendendangkan lagu-lagu yang digubah oleh Kassim dan liriknya ditulis Yusnor Ef.7 Lagu seperti “Bila Takdir Bergema” nyanyian Allahyarhamah Rafeah Buang masih lagi dimainkan di Spotify sehingga hari ini dan telah dimainkan lebih daripada 1.4 juta kali. Pada 2024, lagu ini meraih anugerah  Lagu Melayu Tempatan Paling Popular oleh Persatuan Penggubah dan Penulis Singapura.8

Sumbangan Kassim kepada industri muzik mendapat pengiktirafan menerusi pelbagai penganugerahan termasuk Lagu Terbaik untuk filem Setinggan (1981) di Pesta Filem Malaysia pada 1982. Seterusnya, beliau menerima anugerah Jasa Gemilang daripada Persatuan Penggubah dan Penulis Singapura pada 1998, dan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hajat PERKAMUS pada 2002. Kassim juga telah dianugerahkan Anugerah Seri Temasek yang berprestij pada 2011 atas sumbangannya kepada industri muzik dan perfileman Melayu.


Kematian
Kassim meninggal dunia pada 21 Januari 2014 di Hospital Besar Singapura akibat penyakit radang paru-paru pada usia 76.


Penulis
Haniman Boniran 


Rujukan
1. TributeSG, “Kassim Masdor,” The Esplanade, 12 October 2016, https://www.esplanade.com/offstage/arts/kassim-masdor.
2. “Kassim Masdor,” Maklumat Tokoh Muzik Dan Penulis Lirik Era Kegemilangan Filem Melayu, accessed 7 March 2025 http://pramlee.freetzi.com/komposer.html.
3. TributeSG, “Kassim Masdor,” The Esplanade, 12 October 2016, https://www.esplanade.com/offstage/arts/kassim-masdor.
4. TributeSG, “Kassim Masdor,” The Esplanade, 12 October 2016, https://www.esplanade.com/offstage/arts/kassim-masdor.
5. Carl Hamm, “Rest in Peace Kassim Masdor,” Pop Yeh Yeh!, 8 February 2014, https://menarigogo.blogspot.com/2014/02/rest-in-peace-kassim-masdor.html.
6. TributeSG, “Kassim Masdor,” The Esplanade, 12 October 2016, https://www.esplanade.com/offstage/arts/kassim-masdor.
7. TributeSG, “Kassim Masdor,” The Esplanade, 12 October 2016, https://www.esplanade.com/offstage/arts/kassim-masdor.
8. “Kassim Masdor,” Maklumat Tokoh Muzik Dan Penulis Lirik Era Kegemilangan Filem Melayu, accessed 7 March 2025, http://pramlee.freetzi.com/komposer.html.


Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris.
For the English version of this article, click here.

Klik di sini untuk kembali ke halaman utama.
To go back to the home page, click here.


Maklumat dalam artikel ini disahkan betul setakat Oktober 2025 berdasarkan sejauh mana ia dapat dipastikan daripada sumber kami. Ia bukan bertujuan untuk dijadikan sejarah menyeluruh atau lengkap tentang sesebuah subjek. Sila hubungi Perpustakaan untuk mendapatkan bahan bacaan lanjut mengenai topik ini. Jika anda ada sebarang maklum balas, sila kongsikan di sini.





Loading...

You May Also Like

You are currently on:

{{selectedTopic.label}}

Loading...

{{displayedDesc}} See {{ readMoreText }}


Loading...

Rights Statement

The information on this page and any images that appear here may be used for private research and study purposes only. They may not be copied, altered or amended in any way without first gaining the permission of the copyright holder.

Beta BETA