Asiah binte Abdul Rahman (Nona Asiah)



Tokoh-tokoh Melayu Singapura

Rilla Melati Bahri

Asiah Binte Abdul Rahman (l. 29 November 1931,m. 30 Julai 2024), yang juga dikenali sebagai Nona Asiah, merupakan penyanyi legenda Singapura. Beliau dilahirkan di Singapura daripada seorang ibu bangsawan primadona dan seorang ayah yang merupakan pemain saksofon, pelukis minyak, serta pelukis latar bagi produksi bangsawan. Semasa zaman kanak-kanaknya, beliau menimba ilmu di Sekolah Melayu Kampong Glam dan kemudian di Sekolah Perempuan Rochor, di mana beliau menamatkan pendidikan rendah. Semasa Perang Dunia Kedua (1942–1945), Asiah dan ibunya mengadakan persembahan untuk Tentera Jepun dan sering mengunjungi kem tentera mereka di Seletar dan Tengah untuk menyanyi dan beraksi. Pasangan ini dibayar dengan beras dan keperluan harian, dan hanya dibenarkan menyanyikan lagu-lagu Melayu dan Jepun.

Pada 1946, Asiah mendapat pekerjaan menyanyi berbayar pertamanya di Radio Malaya. Beliau diiringi oleh Tiga Serumpun, sebuah trio yang terdiri daripada seorang pemain piano, bes dan gitar. Di Radio Malaya juga beliau bertemu dengan bakal suaminya, Ismail Kassim, yang turut menyanyi bersama Tiga Serumpun. Sambil mengejar kerjaya dalam bidang muzik dan nyanyian, beliau turut menghadiri kelas malam untuk mempelajari bahasa Inggeris.

Kerjayanya terus berkembang dan tidak lama kemudian, HMV (His Master’s Voice) mendapat tanda tangannya untuk beliau menyanyi lagu-lagu Melayu di bawah Pathe Records. Secara kebetulan, Zubir Said (yang kelak menjadi komposer lagu kebangsaan Singapura) dilantik sebagai pengarah muzik bagi sebuah filem baharu yang diterbitkan Shaw Brothers, dan beliau menjemput Asiah menyanyikan beberapa lagu untuk filem tersebut. Beliau merakamkan balada Mexico popular “Besame Mucho” pada 1949 yang menjadi hit dalam kalangan pendengar tempatan dan antarabangsa. Pada masa ini, Zubir Said menamakan beliau, protégé beliau, dengan nama pentas Nona Asiah.

Kerjaya Nona Asiah melonjak pada 1950-an apabila beliau menjadi salah seorang penyanyi paling terkenal dalam industri muzik dan filem Melayu. Pada masa yang sama, beliau juga menjadi penyiar radio, penyanyi dan pencerita bagi program sekolah di Singapura, disiarkan melalui Radio Malaya pada 1950-an hingga 1960-an, yang menjadikannya terkenal dalam kalangan para pelajar di Malaysia dan Singapura. Dalam keluarganya pula, dua anak lelakinya, Iskandar Mirza Ismail dan Indra Shahrir Ismail, menjadi nama besar dalam industri muzik Singapura, yang merupakan dua daripada sedikit pemuzik Melayu pada masa itu yang menamatkan pengajian di Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat pada 1980-an.

Apabila Singapura berpisah daripada Malaysia pada 1965, ramai bakat kreatif berhijrah ke Malaysia untuk memulakan industri hiburan di Kuala Lumpur. Nona Asiah memilih untuk kekal di Singapura dan meneruskan kerjaya nyanyiannya di sini, mengukuhkan kedudukan awal beliau dalam bidang radio di Singapura yang baru merdeka.

Seorang wanita progresif dan moden pada zamannya, Nona Asiah bersara daripada dunia persembahan pada usia 45 tahun. Selepas bersara, beliau terus mendedikasikan hidupnya kepada industri yang sama dengan membimbing dan melatih bakat muda untuk persembahan khas televisyen kanak-kanak bersama RTS (Radio Television Singapore) dan SBC (Singapore Broadcasting Corporation). Beliau juga menjadi penerbit rakaman wanita pertama pada 1970-an apabila menghasilkan beberapa LP dan EP lagu kanak-kanak yang merupakan gubahan asal oleh anaknya Iskandar Mirza dan dinyanyikan oleh Indra Shahrir.

Sebagai penghargaan terhadap sumbangan seumur hidup, komitmen dan bakat seni yang luar biasa, Nona Asiah dianugerahkan Pingat Budaya pada 2016 oleh Majlis Seni Kebangsaan, iaitu pengiktirafan seni tertinggi di Republik ini. Bukan sahaja menerima pingat tersebut, beliau juga turut “menghasilkan” seorang penerima Pingat Budaya. Sebelum itu, pada 2008, anaknya Iskandar Mirza dianugerahkan Pingat Budaya atas dedikasinya terhadap muzik tempatan dan antarabangsa. Malangnya, Iskandar Mirza meninggal dunia akibat barah pada 2014.

Pada 2022, Nona Asiah disertakan ke dalam Singapore Women’s Hall of Fame. Menurut kata-kata almarhum Yusnor Ef, penerima Pingat Budaya 2011:

“Bagi saya, Nona Asiah ialah permata sebenar dalam industri muzik Melayu. Beliau menunjukkan dua kualiti utama yang seharusnya dimiliki oleh semua pemuzik, iaitu: suara yang baik; dan komitmen sejati terhadap muzik, bukan sekadar untuk wang, populariti atau kemewahan.”

Asiah Binte Abdul Rahman, atau Nona Asiah sebagaimana dikenali dan diingati, meninggal dunia dengan aman pada 30 Julai 2024 di Hospital Besar Changi. Legasi yang ditinggalkan beliau merupakan harta yang tidak ternilai untuk generasi akan datang.


Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perjalanan Nona Asiah daripada keluarga bangsawan sehingga menjadi salah seorang penyanyi terkenal di Singapura, sila dengarkan rakaman wawancara sejarah lisan beliau di sini.


Penulis
Rilla Melati Bahri


Rujukan
1. 2018 Nona Asiah, National Arts Council, Legacy: The Musical Journey of Nona Asiah

2. 2010, DuaM Pte Ltd, Lagu-Lagu Kita
3. 2017 27 April Wikipedia “Nona Asiah”


Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris.
For the English version of this article, click here.

Klik di sini untuk kembali ke halaman utama.
To go back to the home page, click here.


Maklumat dalam artikel ini disahkan betul setakat Oktober 2025 berdasarkan sejauh mana ia dapat dipastikan daripada sumber kami. Ia bukan bertujuan untuk dijadikan sejarah menyeluruh atau lengkap tentang sesebuah subjek. Sila hubungi Perpustakaan untuk mendapatkan bahan bacaan lanjut mengenai topik ini. Jika anda ada sebarang maklum balas, sila kongsikan di sini.

 





Rights Statement

The information on this page and any images that appear here may be used for private research and study purposes only. They may not be copied, altered or amended in any way without first gaining the permission of the copyright holder.

Beta BETA