Shariff bin Ismail (l. 1910, Medan, Indonesia, m.1997, Singapura) yang dikenali sebagai Shariff Medan, merupakan tokoh terkemuka dalam seni persembahan Melayu. Beliau merupakan seorang mahaguru bangsawan dan kemudiannya menceburi bidang perfileman. Beliau membintangi beberapa peranan penting dalam filem awal Melayu, antaranya Leila Majnun (1934). Dari 1950-an hingga 1970-an, Shariff Medan menulis dan menerbitkan pelbagai skrip untuk Cathay-Keris Films, sebelum beralih ke bidang televisyen dan radio.
Kehidupan Awal
Dilahirkan di Medan, Indonesia, Shariff Medan dibesarkan di Penang dan Aceh. Walaupun menghadapi cabaran dalam keluarganya, beliau telah diperkenalkan kepada seni persembahan bangsawan sejak kecil lagi. Seni persembahan ini pada asalnya merupakan hiburan golongan bangsawan tetapi kemudian menjadi terkenal terutamanya dalam kalangan masyarakat Peranakan dan golongan berada dalam kalangan masyarakat Melayu.
Kerjaya dalam Seni Persembahan
Kerjaya Shariff Medan dalam bidang seni persembahan bermula pada tahun 1930-an, apabila beliau mula melibatkan diri dalam seni bangsawan, dan memainkan pelbagai watak termasuk watak wanita. Beliau kemudiannya dikenali kerana membawakan watak-watak wira, atau watak orang muda.
Kejayaan beliau dalam seni bangsawan membuka peluangnya menceburi dunia perfileman, yang ketika itu merupakan suatu bentuk seni yang sedang berkembang. Peranan besar pertamanya dalam filem muncul pada tahun 1932 melalui filem Samarang, sebuah penerbitan luar negara dengan beberapa babak yang dirakamkan di Singapura, yang menandakan satu perubahan besar dalam kerjayanya. Beliau kemudiannya membintangi filem Leila Majnun (1934), yang berkemungkinan merupakan filem Melayu terawal yang diterbitkan di Singapura.
Sepanjang Pendudukan Jepun, persembahan seni bangsawan terhenti buat sementara waktu. Selepas Perang Dunia Kedua, beliau menjelajah ke Malaya, Borneo, Sabah dan Sarawak sebelum kembali ke Singapura pada tahun 1952 bersama Grand Jubilee Opera. Beliau kemudiannya beralih ke industri perfileman dan membintangi filem Buluh Perindu (1953); filem warna Melayu yang pertama.
Pada tahun 1954, Shariff Medan menyertai Cathay-Keris Films, di mana beliau menjadi seorang penulis skrip dan penerbit yang prolifik, menghasilkan pelbagai skrip untuk studio tersebut. Selepas penutupan Cathay-Keris Films pada tahun 1973, Shariff Medan menjadi penulis dan penasihat bagi program radio dan televisyen, serta membintangi siri televisyen Melayu 1970-an, Sandiwara.
Kematian
Pada tahun 1997, beliau telah meninggal dunia di Singapura pada usia 87 tahun.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarah bangsawan di rantau ini daripada Shariff Medan, sila dengarkan rakaman wawancara sejarah lisan beliau di sini.
Penulis
Mohammad Rashikin Bin Rajah
Rujukan
1. Artikel ini telah diadaptasi daripada: TributeSG, “Shariff Medan,” Esplanade Offstage, 12 October 2016, https://www.esplanade.com/offstage/arts/shariff-medan.
Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris.
For the English version of this article, click here.
Klik di sini untuk kembali ke halaman utama.
To go back to the home page, click here.
Maklumat dalam artikel ini disahkan betul setakat Oktober 2025 berdasarkan sejauh mana ia dapat dipastikan daripada sumber kami. Ia bukan bertujuan untuk dijadikan sejarah menyeluruh atau lengkap tentang sesebuah subjek. Sila hubungi Perpustakaan untuk mendapatkan bahan bacaan lanjut mengenai topik ini. Jika anda ada sebarang maklum balas, sila kongsikan di sini.
The information on this page and any images that appear here may be used for private research and study purposes only. They may not be copied, altered or amended in any way without first gaining the permission of the copyright holder.
| BETA |