Yusof bin Ishak (l. 12 Ogos 1910, Padang Gajah, Trong, Perak1 – m. 23 November 1970, Singapura), atau lebih dikenali sebagai Yusof Ishak, dilantik sebagai Presiden pertama Singapura pada 9 Ogos 1965, bertepatan dengan pengisytiharan kemerdekaan Singapura sebagai sebuah negara berdaulat. Pelantikan beliau sebagai presiden merupakan kesinambungan yang telah dijangkakan kerana sebelum itu, beliau telah berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Negara Singapura sejak 3 Disember 1959, susulan pemberian taraf pemerintahan sendiri kepada Singapura pada tahun yang sama. Yusof Ishak memegang jawatan sebagai ketua negara enam bulan selepas Parti Tindakan Rakyat (PAP) membentuk pemerintah berikutan kemenangan parti tersebut dalam pilihan raya Dewan Perundangan pada 30 Mei 1959. Beliau menggantikan Yang di-Pertuan Negara pertama yang juga Gabenor terakhir Singapura, William Goode.2
Pendidikan dan kehidupan awal
Yusof merupakan seorang Melayu berketurunan Sumatera, dengan susur galur Minangkabau dari sebelah bapanya.3 Leluhur[E(1] beliau ialah seorang bangsawan Minangkabau, Datok Janaton. Datok Janaton, bersama dengan saudaranya, Datok Setia, dan pengikut mereka, telah berhijrah ke Kedah pada pertengahan abad ke-18 dan berikrar taat setia kepada sultan Kedah.4
Yusof merupakan anak sulung daripada sembilan orang adik-beradik. Bapanya, Ishak bin Ahmad, ialah seorang pegawai kerajaan. Memandangkan beliau berpendidikan sekolah Inggeris, Ishak memperoleh pekerjaan dalam Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu dan berkhidmat sebagai kerani di pejabat daerah di Taiping dan kemudiannya di Jabatan Perikanan. Pada tahun 1923, Ishak dipindahkan ke Singapura untuk menjawat jawatan sebagai Penolong Inspektor Perikanan. Beliau merupakan individu bukan Eropah pertama yang dilantik sebagai pengarah Jabatan Perikanan.5
Pendidikan Yusof bermula di Sekolah Melayu Kuala Kurau, Perak. Dia kemudian meneruskan persekolahannya di Sekolah Melayu di Taiping. Pada tahun 1921, beliau memulakan pengajian dalam bahasa Inggeris di Sekolah King Edward VII di Taiping. Setelah berpindah ke Singapura bersama keluarganya, Yusof melanjutkan pelajarannya di Victoria Bridge School (kini dikenali sebagai Victoria School) dan Institusi Raffles (RI) bagi pendidikan sekolah rendah dan menengah. Beliau cemerlang dalam kedua-dua bidang akademik dan kokurikulum, dan telah memperoleh markah kepujian dalam peperiksaan Cambridge School Certificate dan Senior Cambridge pada tahun 1927. Yusof diterima masuk ke kelas Queen's Scholarship di RI, yang terdiri daripada 13 pelajar, dan merupakan satu-satunya pelajar Melayu di sana. 6 Walau bagaimanapun, beliau bukan penerima biasiswa Queen’s Scholarship.7
Di luar bilik darjah, Yusof aktif dalam bidang sukan dan telah mewakili RI dalam pelbagai pertandingan sukan termasuk hoki, kriket, sukan renang, polo air, bola keranjang, sukan tinju, dan sukan angkat berat. Beliau muncul sebagai juara dalam sukan tinju dan sukan angkat berat, memenangi Piala Aw Boon Par pada tahun 1932 dan juga menjadi juara kebangsaan kelas ringan pada tahun 1933.8 Selain daripada kecemerlangan dalam bidang sukan, Yusof juga merupakan penyunting bersama majalah sekolah Rafflesian, seorang pengawas sekolah, serta pelajar pertama dalam sejarah Pasukan Kadet Kebangsaan yang dilantik sebagai leftenan muda. 9
Kerjaya Awal
Yusof mempunyai minat dalam bidang undang-undang. Namun, bapanya tidak berkemampuan untuk menghantarnya ke England bagi melanjutkan pengajiannya di sana. Beliau kemudian menyertai Akademi Polis di Kuala Lumpur, tetapi meninggalkannya akibat beberapa perselisihan sebelum kembali ke Singapura.10 Di Singapura, bersama rakan-rakannya, Ong Chin Beng dan Soh Swee Tuck, beliau menerbitkan majalah dwimingguan Sportsman. 11 Namun usaha tersebut tidak berjaya secara komersial.12 Atas jemputan rakan sekolahnya, Syed Hussein bin Ali Alsagoff, Yusof menyertai akhbar milik keluarga Alsagoff, Warta Malaya, sebagai seorang kerani.13 Berkat dedikasi dan kebolehannya, beliau dengan cepat dinaikkan pangkat menjadi penolong pengurus dan kemudiannya pemangku editor akhbar tersebut. 14 Warta Malaya ditubuhkan pada tahun 1930 oleh Anglo-Asiatic Press dan diketuai oleh Onn Jaafar, yang kemudiannya menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Pada waktu itu, Warta Melayu merupakan akhbar berbahasa Melayu dengan edaran terbesar dan sering mengetengahkan keadaan sosioekonomi masyarakat Melayu. Namun, akhbar ini dimiliki serta dikawal oleh keluarga Arab Alsagoff. Ini menjadikannya lebih mewakili pendapat dan aspirasi masyarakat Islam secara umum dan bukan khususnya masyarakat Melayu.15
Wartawan Melayu seperti Abdul Rahim Kajai (yang digelar sebagai "Bapa Kewartawanan Melayu") dan Yusof bermotivasi untuk menubuhkan sebuah akhbar yang dimiliki serta dikendalikan sepenuhnya oleh orang Melayu.16 Pada awal tahun 1938, Yusof bersama kira-kira 20 pemimpin Melayu di Singapura, termasuk Yahya Abdul Rahman, Yunos Haji Daim, Osman Hassan, Embok Soloh, Sudin Abdul Rahman, dan Abdullah Abdul Ghani, menubuhkan Utusan Melayu Press Ltd17 yang berpusat di 64 Queen Street.18 Syarikat ini menerbitkan Utusan Melayu, yang mula diedarkan pada 29 Mei 1939.19 Selaras dengan visi Yusof, Utusan Melayu menjadi akhbar pertama yang dimiliki dan dibiayai sepenuhnya oleh orang Melayu. Selain mencari modal untuk menerbitkan akhbar ini, Yusof juga bertanggungjawab membentuk pasukan wartawan yang berkebolehan.20
Perang Dunia Kedua dan Era Pasca Perang
Pendudukan Jepun (1942–1945) menyebabkan operasi Utusan Melayu terhenti. Utusan Melayu Press ditutup, manakala peralatannya dirampas untuk menerbitkan akhbar Jepun, Berita Malai (Berita Malaya). Yusof menjual kameranya dan menggunakan wang tersebut untuk berpindah ke Taiping, di mana beliau mengusahakan sebuah kedai runcit.21 Setelah pihak British kembali berkuasa di Malaya pada tahun 1945, Yusof kembali ke Singapura dan menyambung semula operasi Utusan Melayu. 22
Suasana pasca perang menyaksikan kebangkitan kesedaran politik dalam kalangan masyarakat Melayu. Melalui Utusan Melayu, Yusof menyemarakkan semangat nasionalisme yang akhirnya membawa kepada penubuhan UMNO pada tahun 1946.23 Namun, perbezaan ideologi mula timbul antara Yusof dan UMNO. UMNO berhasrat mengembalikan sistem kesultanan, manakala Yusof lebih cenderung kepada sistem demokrasi. Ketegangan antara kedua-dua pihak sering tercetus dalam laporan Utusan Melayu.24
Yusof menggunakan Utusan Melayu sebagai platform untuk menggalakkan masyarakat Melayu mempercayai kekuatan mereka, menegakkan disiplin, mempromosikan nilai-nilai agama yang progresif, menguasai kemahiran baharu, termasuk dalam bidang perniagaan, serta memahami politik global. Beliau membimbing intelektual terkemuka dalam kalangan orang Melayu, termasuk wartawan, A. Samad Ismail dan Othman Wok. A. Samad Ismail kemudiannya menjadi wartawan dan penyair terkemuka, manakala Othman Wok pula dilantik sebagai menteri PAP.25
Pada tahun 1957, Yusof berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur. Ibu pejabat Utusan Melayu turut dipindahkan ke sana. Sejak Februari 1958, akhbar tersebut diterbitkan dari Kuala Lumpur.26 Kuasa Yusof ke atas Utusan Melayu mula longgar apabila UMNO mula membeli saham dalam syarikat tersebut. Walaupun beliau menentang perubahan itu, Yusof akhirnya menjual semua sahamnya pada tahun 1959 dan meletak jawatan sebagai pengurus akhbar tersebut.27 Pada tahun yang sama, beliau kembali ke Singapura untuk memegang jawatan sebagai pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Singapura 28 atas jemputan Lee Kuan Yew.29
Kerjaya Politik
Apabila PAP memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan pada Mei 1959, Yusof merupakan calon utama untuk jawatan ketua negara. Pada 3 Disember 1959, Yusof dilantik sebagai ketua negara Singapura, mewakili ratu England.30 Apabila Singapura menyertai Persekutuan Malaysia pada September 1963, Yusof kekal sebagai ketua negara Singapura dan mengekalkan gelaran Yang di-Pertuan Negara. Ini juga bermakna beliau merupakan simbol tertinggi negeri dalam hubungannya dengan pemerintah-pemerintah Melayu (Sultan dan Raja) di Semenanjung Malaysia. Walaupun memulakan kerjaya politiknya sebagai seorang nasionalis Melayu, terutamanya dengan usahanya menerajui Utusan Melayu, Yusof sebagai pemimpin Singapura berpegang pada prinsip kepelbagaian budaya. Beliau terus mempertahankan pandangan ini walaupun berhadapan dengan cabaran dan tekanan daripada golongan ultra Melayu di Malaysia.31
Apabila Singapura mencapai kemerdekaan pada 9 Ogos 1965, Yusof Ishak dilantik sebagai Presiden pertama Republik Singapura.32 Antara sumbangan terpenting beliau ialah keputusannya untuk kekal di Singapura bersama sebahagian masyarakat Melayu, meskipun beliau mempunyai pilihan untuk berpindah ke Malaysia dan menjadi sebahagian daripada masyarakat yang lebih dominan dalam arena politik.33 Keputusan ini bukan sesuatu yang mudah, kerana Singapura ketika itu sedang menghadapi cabaran besar dalam aspek pembangunan politik, sosial, dan ekonomi. Sebagai ketua negara, Yusof memainkan peranan penting dalam memupuk keharmonian antara kaum. Beliau kerap bertemu dengan masyarakat pelbagai etnik dan berusaha membina kepercayaan serta keyakinan dalam kalangan rakyat terhadap negara baharu ini.34 Pada 28 Februari 1966, sebagai tanda penghargaan terhadap minat Yusof dalam bidang seni, Persatuan Seni Singapura menghadiahkan sebuah patung marmar putih paras dada yang menggambarkan beliau berpakaian sut dan tali leher. Hadiah tersebut disampaikan kepadanya dalam satu majlis di Istana.35 Selain menjadi simbol kesaksamaan etnik, Yusof juga berpegang teguh pada prinsip kesamarataan antara kumpulan agama. Dalam masa yang sama, beliau tidak mengabaikan pembangunan masyarakat Melayu dan terus menggalakkan mereka untuk mengejar pendidikan yang berkualiti demi masa depan yang lebih baik.
Kematian
Kesihatan Yusof mula merosot pada tahun 1968, dan beliau dimasukkan ke hospital akibat masalah jantung serta penyakit lain. Pada 23 November 1970, beliau meninggal dunia akibat sakit jantung.36 Yusof meninggalkan seorang isteri, Puan Noor Aisha Mohd Salim, serta tiga orang anak.37
Pengiktirafan
Sekolah Menengah Yusof Ishak, yang dibuka pada 29 Julai 1966 oleh Perdana Menteri ketika itu, Lee Kuan Yew, dinamakan sempena memperingati beliau 38 Sebagai penghormatan kepada presiden pertama Singapura, negara ini melancarkan siri wang kertas Potret pada tahun 1999, yang memaparkan potret Yusof Ishak.39
Pada Rapat Umum Hari Kebangsaan 2014, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan bahawa, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Yusof Ishak kepada Singapura, sebuah masjid baharu, sebuah institut pemikir terkemuka, dan sebuah jawatan profesor akan dinamakan sempena beliau.40 Masjid Yusof Ishak, yang terletak di Woodlands, telah siap dibina dan dibuka pada 14 April 2017.41 Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS) pula telah dinamakan semula sebagai Institut ISEAS–Yusof Ishak pada tahun 2015.42 Selain itu, pada November 2015, Universiti Nasional Singapura melancarkan Kerusi Profesor Yusof Ishak dalam jurusan Sains Kemasyarakatan, dengan tujuan menggalakkan penyelidikan dalam bidang kepelbagaian etnik dan budaya.43
Garis Masa
1929: Melancarkan penerbitan sukan, Sportsman.44
1932: Menyertai akhbar Melayu, Warta Melayu, sebagai penolong pengurus dan kemudiannya menjadi pemangku editor.
1938: Utusan Melayu Press Ltd (Syarikat Utusan Melayu) ditubuhkan dengan Yusof Ishak sebagai pengarah urusan pertama.45
29 Mei 1939: Penerbitan pertama Utusan Melayu.46
1942-1945: Tinggal di Taiping sepanjang tempoh penjajahan Jepun.
3 September 1945: Kembali ke Singapura dan menyambung semula penerbitan Utusan Melayu. 47
1948: Melawat Britain sebagai ahli Delegasi Akhbar Pertama.
1948-1950: Ahli, Jawatankuasa Rayuan Filem.
Julai 1959: Pengerusi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Singapura.48
1 Disember 1959: Dilantik oleh Ratu Elizabeth sebagai Yang di-Pertuan Negara.49
2 Disember 1959: Berpindah ke Istana Negara (dahulunya dikenali sebagai Government House).50
3 Disember 1959: Mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Negara Singapura.51
April-Mei 1963: Melawat Kemboja bersama isterinya, Puan Noor Aishah. Mereka menunaikan haji di Arab Saudi, di mana mereka menjadi tetamu negara Kerajaan Arab Saudi.52
Mei 1963: Lawatan negara ke Ceylon.53
3 Julai 1965: Dilantik sebagai Canselor Universiti Singapura (kemudian dikenali sebagai Universiti Nasional Singapura).54
9 Ogos 1965: Menjadi presiden pertama Republik Singapura.55
Anugerah dan pengikitirafan
November 1960: Darjah Kerabat Kelas Pertama (The Most Esteemed Royal Family Order of Brunei) 56
November 1963: Darjah Kebesaran Sri Maharaja Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia57
Keluarga
Isteri: Puan Noor Aishah (berkahwin 1948)
Anak-anak: Imran, Kamariah dan Zuriana. 58
Penulis
Marsita Omar
Dikemas kini oleh
Dr Norshahril Saat
References
1. Melanie Chew, Leaders of Singapore (Singapore: Resource Press, 1996), 180–86. (Call no. RSING 920.05957 CHE)
2. “Farewell in the Rain for Goode,” Straits Times, 3 December 1959, 12. (From NewspaperSG)
3. “Yusof Head of State,” Straits Times, 2 December 1959, 1, 18. (From NewspaperSG)
4. Muhammad Haji Salleh, ed., Early History of Penang, trans. Leelany Ayob and Ng Wai Queen (Palau Pinang, Malaysia: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2012), 27–28. (Call no. RSEA 959.5103 EAR)
5. “Encik Yusof Ishak,” President’s Office, accessed 22 March 2016, https://www.istana.gov.sg/The-President/Former-Presidents; Chew, Leaders of Singapore, 180–86.
6. Chew, Leaders of Singapore, 180–86.
7. “President Yusof,” Straits Times, 24 November 1970, 10. (From NewspaperSG)
8. Sinnathamby Rajaratnam, Dialogues with S. Rajaratnam, former senior minister in the Prime Minister's Office (Singapore: Shin Min Daily News, 1991), 132–45. (Call no. RSING 320.95957 RAJ)
9. President’s Office, “Encik Yusok Ishak.”
10. Chew, Leaders of Singapore, 180–86.
11. “Right Man for the Right Time,” Singapore Monitor, 2 September 1983, 19. (From NewspaperSG)
12. Singapore Chronicles, (Hong Kong: Illustrated Magazine Pub., 1995), 48–49. (Call no. RSING 959.57 SIN-[HIS])
13. “Yusof Head of State.”
14. “Right Man for the Right Time.”
15. Nik Ahmad Bin Haji Nik Hassan, “The Malay Press, Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society 36, no. 1 (201) (May 1963): 61. (From JSTOR via NLB’s eResources website)
16. “The Rise of Malay Newspapers,” Straits Times, 7 November 1988, 6. (From NewspaperSG)
17. Nik Hassan, “The Malay Press,” 37–78, 63.
18. William R. Roff, The Origins of Malay Nationalism, 2nd ed. (Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1994), 176. (Call no. RSING 320.54 ROF)
19. Nik Hassan, “The Malay Press,” 65.
20. Nik Hassan, “The Malay Press,” 64–65.
21. Singapore Chronicles, 48–49.
22. “Yusof Head of State.”
23. Nik Hassan, “The Malay Press,” 70, 72.
24. Chew, Leaders of Singapore, 180–86.
25. Norshahril Saat, Yusof Ishak: Singapore's First President (Singapore: ISEAS, 2015).
26. Singapore Chronicles, 48–49.
27. Chew, Leaders of Singapore, 180–86.
28. “Yusof Head of State.”
29. Rajaratnam, Dialogues with S. Rajaratnam, former senior minister in the Prime Minister's Office, 132–45.
30. “Yusof Head of State.”
31. Norshahril, Yusof Ishak.
32. “Yusof To Be the First President,” Straits Times, 15 December 1965, 13. (From NewspaperSG)
33. Norshahril, Yusof Ishak.
34. Chew, Leaders of Singapore, 180–86.
35. “Bust and Painting Gifts for President,” Straits Times, 1 March 1966, 4. (From NewspaperSG)
36. Cheong Yip Seng et al., “Cabinet Pays Last Respects,” Straits Times, 24 November 1970, 1. (From NewspaperSG)
37. Norshahril Saat, Yusof Ishak.
38. “3 Schools To Be Opened Next Week,” Straits Times, 21 July 1966, 4. (From NewspaperSG)
39. The Presidential Notes Vol 2: Know Your Portrait Notes (Singapore: BCCS, 1999), 16–17. (Call no. RSING q769.5595957 PRE)
40. Nur Asyiqin Mohamed Salleh, “Naming Honours for First President Yusof Ishak,” Straits Times, 18 August 2014, 4. (From NewspaperSG)
41. “A New Jewel for Muslim Community,” Today, 12 April 2017, 1. (From NewspaperSG)
42. Chan L. E., “Institute of Southeast Asian Studies Renamed in Honour of Yusof Ishak,” Channel NewsAsia, 12 August 2015. (From Factiva via NLB’s eResources website)
43. Lim J., “Yusof Ishak Professorship in Social Sciences Raises More Than S$7 Million in Funds,” Channel NewsAsia, 28 November 2015. (From Factiva via NLB’s eResources website)
44. “Right Man for the Right Time.”
45. “Yusof Head of State.”
46. Christine Khor, “A Literary Stroll Down Memory Lane,” Straits Times, 22 November 1989, 3. (From NewspaperSG)
47. “Yusof Head of State.”
48. “Right Man for the Right Time.”
49. “Historic Years,” Straits Times, 24 November 1970, 10. (From NewspaperSG)
50. “All Set for Big Day,” Straits Times, 2 December 1959, 1. (From NewspaperSG)
51. “Unity and Loyalty,” Straits Times, 4 December 1959, 8; “Singapore Rejoices,” Straits Times, 4 December 1959, 1. (From NewspaperSG)
52. “Off to Cambodia,” Straits Times, 7 April 1963, 11; “Cambodia Visit Before Trip to Mecca,” Straits Times, 28 March 1963, 5; “The CJ To Be Acting Head of State,” Straits Times, 4 April 1963, 5. (From NewspaperSG)
53. “Yong and Wife Off for Yusof Visit to Ceylon,” Straits Times, 11 May 1963, 6. (From NewspaperSG)
55. “Yusof To Be New Chancellor of S’pore University,” Straits Times, 24 July 1965, 6. (From NewspaperSG)
55. “Yusof To Be the First President,” Straits Times, 15 December 1965, 13. (From NewspaperSG)
56. “Inche Yusof Gets Highest Brunei Award in S’pore,” Straits Times, 29 November 1960, 16. (From NewspaperSG)
57. “Inche Yusof Becomes Tun Yusof,” Straits Times, 13 November 1963, 1. (From NewspaperSG)
58. “Singapore’s First Lady: She Wins Friends By Gentle Nature,” Straits Times, 3 December 1959, 3. (From NewspaperSG)
59. Norshahril Saat, Yusof Ishak.
Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris.
For the English version of this article, click here.
Klik di sini untuk kembali ke halaman utama.
To go back to the home page, click here.
Maklumat dalam artikel ini disahkan betul setakat Oktober 2025 berdasarkan sejauh mana ia dapat dipastikan daripada sumber kami. Ia bukan bertujuan untuk dijadikan sejarah menyeluruh atau lengkap tentang sesebuah subjek. Sila hubungi Perpustakaan untuk mendapatkan bahan bacaan lanjut mengenai topik ini. Jika anda ada sebarang maklum balas, sila kongsikan di sini.
The information on this page and any images that appear here may be used for private research and study purposes only. They may not be copied, altered or amended in any way without first gaining the permission of the copyright holder.
| BETA |