Eshamuddin Ismail (Ashley Isham)



Tokoh-tokoh Melayu Singapura

Hong, Xinying

Eshamuddin Ismail (l. 1979, Singapura–), atau lebih dikenali sebagai Ashley Isham, ialah seorang pereka fesyen yang dianggap antara tokoh terkemuka dalam industri fesyen Singapura. Berpangkalan di London sejak 1996, koleksi beliau sering dipersembahkan semasa Minggu Fesyen London. Beliau pernah memiliki dua butik di London1, manakala butik utamanya yang pertama di Singapura, Ashley Isham, terletak di Hotel Fullerton.2 Pada tahun 2007, Ashley Isham menerima Anugerah Jauhari Berita Harian sebagai pengiktirafan atas pencapaiannya dalam bidang fesyen.3


Kehidupan awal
Ashley Isham dibesarkan dalam sebuah keluarga Melayu yang konservatif. Ibunya seorang tukang jahit, dan Isham sering memerhati serta membantunya menjahit. Ketidakpuasan terhadap pilihan pakaian yang sangat terhad di kedai tempatan mendorong beliau untuk mereka pakaiannya sendiri. Pada usia 12 tahun, beliau sudah mula menjahit seluarnya sendiri, manakala adiknya, Khaty, sering dijadikan "anak patung Barbie hidup" untuk eksperimen rekaannya.4

Dengan hasrat melihat salji, Ashley Isham merantau ke luar negara pada Disember 1995, bermula dengan Amsterdam. Selepas setahun di Belanda, beliau berhijrah ke London untuk melanjutkan pengajian diploma dalam bidang reka fesyen di Central Saint Martins College of Art & Design. Walaupun tarikh permohonan telah ditutup tiga bulan sebelumnya – dan ia merupakan hari pertama semester – pengarah sekolah tersebut kagum dengan portfolio beliau, lalu membenarkan beliau mendaftar pada hari itu juga. Pada salah satu pertunjukan fesyen sekolah, rekaannya menarik perhatian seorang eksekutif di bank pelaburan Substantia Invest AG. Bank tersebut kemudiannya menaja pengajian lanjut beliau, bermula di London College of Fashion dan seterusnya di Universiti Middlesex, tempat beliau menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda Seni (Kepujian).5

Ashley Isham mengakui bahawa peluang menceburkan diri dalam bidang reka fesyen tidak mungkin diperolehnya sekiranya beliau kekal di Singapura. Sejak awal lagi, keluarganya menyokong hasratnya untuk menceburi bidang fesyen, dan beliau sering menyatakan sokongan itu sebagai dorongan besar di sebalik kejayaannya.6


Kerjaya
Pada tahun 2000, Isham menubuhkan jenama sendiri, Ashley Isham, dan memperkenalkan koleksi sulungnya.

Permohonan beliau untuk mengadakan pertunjukan utama dalam jadual rasmi Minggu Fesyen London 2001 bagi dua musim berturut-turut telah ditolak. Namun, kejayaan besar hadir menerusi persembahan di luar jadual yang diadakan di pangsapuri studionya di London, yang mendapat sambutan positif. Pada Minggu Fesyen London 2003, beliau membuat penampilan sulung dalam jadual rasmi acara tersebut.7 Mendapat tempat dalam jadual rasmi amat signifikan kerana menarik liputan media yang meluas, lebih-lebih lagi apabila koleksinya dipamerkan sebaris dengan jenama antarabangsa seperti Paul Smith dan Vivienne Westwood.8

Nama Ashley Isham mendapat perhatian antarabangsa apabila Zara Philips daripada keluarga diraja Britain dirakam mengenakan salah satu rekaannya di Royal Ascot pada Jun 2002.9 Tidak lama selepas penampilan sulungnya di Minggu Fesyen London, beliau dilantik sebagai penggaya pakaian wanita rasmi untuk Anugerah Akademi Filem dan Televisyen Britain (BAFTA) 2004, di mana beliau menata gaya selebriti seperti Angelina Jolie dan Keira Knightley.10 Salah satu gaun koleksi Musim Bunga – Panas 2006 beliau turut menghiasi muka depan keluaran ke-100 majalah pelancongan British Conde Nast Traveller pada Disember 2005.11 Pada tahun yang sama, beliau juga diundang sebagai juri jemputan bagi musim kelima rancangan realiti America’s Next Top Model.12

Ashley Isham membuka butik pertamanya, acQuaint, di Covent Garden, London pada 2001. Butik keduanya, Ashley’s, dibuka di Conduit Street pada November 2004.13 Pada Jun 2008, beliau melancarkan butik utama pertamanya, Ashley Isham, di Hotel Fullerton, Singapura, diikuti dengan sebuah butik pelbagai jenama di Orchard Central pada 2009.14

Rekaan Ashley Isham menggabungkan potongan feminin yang mengalir dengan motif serta perincian berinspirasikan Asia Tenggara. Unsur Asia menyerlah dalam koleksinya kerana beliau merasakan keperluan untuk menegaskan dan berbangga dengan warisan sebagai seorang Asia, terutamanya apabila jumlah pereka Asia di London begitu sedikit. Koleksi Musim Bunga – Panas 2006, misalnya, menampilkan elemen seni Bali dan sulaman benang Asia.15 Rekaannya boleh didapati di bandar-bandar seperti New York, Paris, Sepanyol, Itali, Arab Saudi, Lubnan dan Dubai, serta pernah dipaparkan dalam majalah seperti Italian Vogue, British Vogue, Wallpaper, Elle dan In-Style.16

Menjelang 2010, kesemua butik beliau ditutup selepas tamat tempoh pajakan, sejajar dengan perubahan landskap runcit akibat belian dalam talian. Beliau kemudiannya membuka butik Ashley Isham di The Village, sebuah pusat fesyen dan gaya hidup di Seminyak, Bali. Koleksi di butik ini turut merangkumi pakaian renang.17


Kolaborasi
Ashley Isham turut aktif dalam arena fesyen Singapura. Koleksinya pernah dipersembahkan dalam minggu fesyen tempatan, di samping kerjasama dengan pereka dan jenama tempatan. Bersama sekumpulan sarjana DesignSingapore, beliau memenangi Anugerah Evening Standard Window Display 2008 di Festival Reka Bentuk London untuk pemasangan pelbagai disiplin bertajuk My Garden.18 Pada 2009, beliau bekerjasama dengan Lee Hwa Jewellery untuk menghasilkan koleksi barang kemas yang dipadankan dengan rekaan beliau dan dipersembahkan di Audi Fashion Festival Singapura serta Minggu Fesyen London pada tahun tersebut.19

Selain bekerjasama dengan jenama tempatan, Isham juga pernah mereka untuk jenama antarabangsa seperti Coca-Cola. Pada Mac 2009, beliau menghasilkan Jewel in your Hand, iaitu reka bentuk pertama bagi tin dan botol Coca-Cola oleh seorang warga Singapura. Reka bentuk itu digunakan pada lebih sejuta tin kenangan dan 100,000 botol Coca-Cola Light untuk Audi Fashion Festival Singapura 2009. Pada tahun yang sama, beliau juga mereka tali telefon edisi terhad untuk Samsung Ultra Touch, yang dilelong dalam talian bagi mengumpul dana untuk kempen Go Red for Women oleh Yayasan Jantung Singapura.20

Pada 2007, Ashley Isham menerima Anugerah Jauhari Berita Harian bagi pencapaiannya sebagai pereka fesyen, dan beliau merupakan penerima termuda ketika itu.21

 

Pendidikan22
Sekolah Rendah Jubilee, Singapura
Sekolah Menengah Nan Hua, Singapura
Central Saint Martins College of Art & Design, London, United Kingdom
London College of Fashion, London, United Kingdom
Universiti Middlesex, London, United Kingdom


Penulis
Hong Xinying


Rujukan
1. Dylan Boey, “Staying Rooted,” Straits Times, 26 September 2005, 4; Sandra Leong, “And Sew the Story Goes,” Straits Times, 23 January 2006, 4. (From NewspaperSG)
2. “Ashley Isham Comes Home,” Business Times, 12 April 2008, 22. (From NewspaperSG)
3. Arun John, “Hot Young Ashley Ishamshley Isham Is BH’s Top Ashley Ishamchiever of the Year,” Business Times, 6 July 2007, 3. (From NewspaperSG)
4. Leong, “And Sew the Story Goes.” 
5. Leong, “And Sew the Story Goes.” 
6. Leong, “And Sew the Story Goes.” 
7. Boey, “Staying Rooted.”
8. Leong, “And Sew the Story Goes.” 
9. “Charms of the Orient,” Straits Times, 26 September 2004, 5. (From NewspaperSG)
10. Leong, “And Sew the Story Goes.” 
11. “Ashley Isham Gown Makes Cover,” Straits Times, 15 December 2005, 4. (From NewspaperSG)
12. Lee Sze Yong, “Presenting... Judge from Singapore,” Straits Times, 4 January 2006, 2. (From NewspaperSG)
13. Boey, “Staying Rooted.”
14. “Ashley Isham Comes Home”; Tay Suan Chiang, “Ashley & Company,” Straits Times, 22 June 2008, 63 (From NewspaperSG); John de Souza, Cat Ong and Tom Rao, Fashion Most Wanted: Singapore’s Top Insider Secrets from the Past Five Decades (Singapore: Straits Times Press Pte Ltd, 2016), 122. (Call no. RSING 746.92095957 DES)
15. Boey, “Staying Rooted”; Leong, “And Sew the Story Goes.” 
16. Lynn Seah, “Runway Success,” Straits Times, 24 March 2005, 14. (From NewspaperSG)
17. de Souza, Ong and Rao, Fashion Most Wanted, 122.
18. “A Step Towards Design Excellence,” Today, 20 September 2008, 16. (From NewspaperSG)
19. Cheah Ui-Hoon, “Iconic Inspirations,” Business Times, 11 December 2009, 73. (From NewspaperSG)
20. Lim Yan Ling and Daphne Lee, “Design Inspiration Off the Runway,” Straits Times, 6 May 2009, 49; Zhang Yi Ting, “Coke Gets a Local ‘Flavour’,” Business Times, 28 March 2009, 15. (From NewspaperSG)
21. John, “Hot Young Ashley Ishamshley Isham.”
22. Leong, “And Sew the Story Goes”; Boey, “Staying Rooted.”


Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris.
For the English version of this article, click here.

Klik di sini untuk kembali ke halaman utama.
To go back to the home page, click here.


Maklumat dalam artikel ini disahkan betul setakat Oktober 2025 berdasarkan sejauh mana ia dapat dipastikan daripada sumber kami. Ia bukan bertujuan untuk dijadikan sejarah menyeluruh atau lengkap tentang sesebuah subjek. Sila hubungi Perpustakaan untuk mendapatkan bahan bacaan lanjut mengenai topik ini. Jika anda ada sebarang maklum balas, sila kongsikan di sini.

 





Loading...

You May Also Like

You are currently on:

{{selectedTopic.label}}

Loading...

{{displayedDesc}} See {{ readMoreText }}


Loading...

Rights Statement

The information on this page and any images that appear here may be used for private research and study purposes only. They may not be copied, altered or amended in any way without first gaining the permission of the copyright holder.

Beta BETA