Loading... (0%)

Alam Puisi Melayu Singapura Selepas Merdeka

By

08 July 2017

Singapore’s Malay publishing scene was thrown into disarray when the country exited Malaysia in 1965. Juffri Bin Supa’at charts the development of Malay poetry in Singapore since Independence.

“Ahli bahasa
yang memakai akal
memikirkan puisi
adalah tenunan
sehelai kain yang dicermati
menjadi rapi
lagi dihalusi
kepadatan dalamnya
coraknya terperinci
tiada sebenang pun
lepas dari ikatan
meliputi seluruh
buatan dan rekaan
sehingga terlahirlah
sebuah puisi
tiada sehuruf pun
salah tempatnya
lengkap dalam fikiran
sehingga tiada sehembus pun
nafas terasa
kerana ketiadaan suara
manusia
yang menuliskannya.”1

– Masuri S.N.

Peranan Singapura dalam sastera Melayu klasik dan moden amat penting dan tidak boleh diketepikan. Singapura pernah menjadi pusat penerbitan dan percetakan Asia Tenggara pada abad ke 19 sehingga awal abad ke 20 serta berfungsi sebagai pusat intelektual, pendidikan dan kebudayaan Melayu yang telah menarik para penggiat seni dari merata Alam Melayu dan dunia. Sesungguhnya, Singapura pernah menjadi nadi utama dalam proses permodenan dan perkembangan sastera dan intelektual Melayu.

Sebahagian karya-karya puisi penulis Singapura yang telah diterbitkan di dalam dan luar negara. Gambar:
Lembaga Perpustakaan Negara, Singapura.

Apabila Singapura berpisah dengan Malaysia dan menjadi sebuah negara merdeka pada tahun 1965, sejarah kegemilangan ini mula kelihatan pudar terutama sekali bila tumpuan lebih diberikan kepada pembangunan ekonomi untuk penakatan Singapura sebagai sebuah negara yang baru. Malah, ada yang berpendapat bahawa sastera Melayu di Singapura akan mula kendur dan tidak dapat bertahan, terutama apabila ramai sasterawan-sasterawan yang pada suatu masa bergiat dan merancakkan taman sastera di Singapura mula berhijrah atau pulang ke negeri masing-masing. Tapi seperti bait-bait puisi Jalan Permulaan Suratman Markasan, ramai juga yang menetap dan meneruskan perjuangan sastera di sini kerana:

“Singapuraku
Aku mengerti
di sini darah ibuku tumpah,
di sini tulang-belulangku akan
merapuh
di sisi anak-anakku membesar
seperti paya terus melebar
di atas batu-bata & pasir-masir
bertakhta,
lalu manusia ser ibu tahun
menghamba.”2

– Suratman Markasan

Namun kenyataannya tidak begitu. Sejak tahun 1965 sehingga kini, taman sastera di sini sentiasa subur dan tumbuh sepanjang masa terutama dari segi puisi. Pertumbuhan ini dapat dilihat di dalam esei ini yang menyorot perkembangan puisi Melayu di Singapura dari tahun 1965 sehingga sekarang.

Menurut Masuri S. N., “Di antara tahun-tahun 1965 hingga 1970, puisi Melayu Singapura masih terus berkembang, terutama diciptakan oleh penyair-penyair veteran seperti Mas, A. Ghani Hamid, Noor S.I. dan A. Salam Ayub.”3 Kehadiran tokoh-tokoh perintis ini, termasuk Masuri dan Suratman Markasan yang masih tetap tinggal di sini, masih tetap gigih berkarya walaupun pada masa yang sama telah mula lahir karya penyair-penyair yang lebih muda dan ada yang baru mula berkarya.

Namun, pada luarannya, bentuk dan isinya masih tetap sama dengan trend perkembangan sastera di Malaysia kerana “mereka masih belum terasa ke dalam batinnya akan perubahan politik, sosial, ekonomi dan pendidikan yang mulai sedikit demi sedikit menampakkan corak dan dasarnya yang berbeza antara kedua negara ini.”4

Mohamed Latiff Mohamed sedang mendeklamasikan puisi di sesi “Gig Puisi” diiringi tiupan seruling oleh Ciung Winara. Gambar: Lembaga Perpustakaan Negara, Singapura.

Perkembangan puisi Melayu di Singapura juga telah dirancakkan dengan kegiatan sastera pada tahun 70an dan kehadiran kehadiran penyair-penyair muda yang membentuk kumpulan Gelorasa. Kumpulan ini telah menganjurkan beberapa kegiatan seperti Malam Gelorasa. Ini diikuti pula dengan pembentukan Pertubuhan Aktivis Sastera Singapura (PASS) pada tahun 1972 oleh “sekumpulan penulis muda yang sebahagiannya terdiri dari bekas peserta kursus wartawan yang dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Melayu Singapura.”5 Pada tahun 1973 pula, Perkampungan Sastera telah dianjurkan oleh ASAS ’50 dengan matlamat untuk menunjukkan tentang “wujudnya sastera Melayu Singapura dan sekaligus cuba menarik golongan penulis/penyair baru untuk turut serta dan terlibat di dalamnya.”

Antara penyair-penyair yang mula menyerlah tahun 1970an ini ialah Djamal Tukimin, Mohamed Latiff Mohamed, Noor Hidayat, Noor Yusman Abdullah dan Ajaki. Namun, Masuri6 mengulas bahawa tema dan persoalan penyair-penyair ini lebih bertolak dari:

  • kisah kehidupan peribadi,
  • bentuk romantik estetik yakni mencapai kepuasan peribadi,
  • kritikan terhadap budaya masyarakat, dan juga
  • sajak-sajak yang membantah terhadap ketidakadilan dan inginkan kemajuan sosial, politik dan lain-lain.

Kumpulan Gelorasa telah menampakkan “kilatan-kilatan pemikiran dan wawasan yang agak segar dan baru pengucapannya, terutama dari segi mereka memilih subjek atau pokok persoalan yang dibicarakan dalam puisi-puisi ciptaannya. Mereka dapat melihat dengan lebih tegas dan terus terang akan keadaan kesekitaran dan perubahan yang sedang berlaku di dalam masyarakatnya dan dengan menggunakan Bahasa yang sedikit sebanyak telah memeranjatkan serta mengocakkan perkembangan puisi Melayu Singapura yang agak lesu dan lembab pada waktu itu.”7

Pada tahun akhir 1970an pula sekumpulan mahasiswa di Universiti Singapura mula bergiat dengan menerbitkan jurnal sastera berjudul Jejak Kembara dan juga sekumpulan penulis muda yang bergiat di Perpustakaan Negara, cawangan Toa Payoh. Kumpulan ini telah menerbitkan majalah Gema Pustaka. Antara para penyair-penyair yang dilahirkan ialah Hadijah Rahmat, Rasiah Halil, Rohman Munasip dan Norulashikin Jamain.

Kemudian lahir pula generasi penulis dan peminat sastera baharu dengan profil atau latar pendidikan yang berbeza sesuai dengan sistem pendidikan nasional Singapura, terutama golongan penyair pasca 1965, khususnya generasi penyair selepas tahun 1980an yang telah membawa nafas baru dalam pengucapan seni di sini hasil pendedahan kepada suasana hidup dan rasa keyakinan diri baru dan mereka tidak lagi mewarisi beban emosi dari sejarah lalu. Adalah penting untuk melihat corak perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam pengucapan puisi Melayu ini sebab rata-rata para penyair kumpulan ini mempunyai pengalaman hidup yang berbeza.

Pada tahun 1980an dan 1990an, kita juga menyaksikan penubuhan Kupuja (Kumpulan Pemuisi Remaja) yang menampung anggota belia ASAS ’50, KAMUS (Kumpulan Angkatan Muda Sastera) yang didaftarkan pada tahun 1989. Kamus telah melahirkan beberapa orang penyair seperti Ahmad Mohd Tahir dan Mustapha Mohamed.

Kumpulan muda ini mula mendapat ruang bertapak di persada puisi Singapura pada pertengahan tahun 1990an. Menurut Rasiah Halil,8 para penulis yang menulis pada tahun-tahun 1995–99 telah juga menyelongkar pelbagai persoalan peribadi, sosial, keagamaan, ekonomi dan politik. Rasiah mendapati suarasuara penyair ini lebih damai berbanding dengan tahun-tahun 1970an, walaupun isu-isu yang diterokai tidak semestinya yang enak dan muluk sahaja.

Antara sebab-sebab yang diutarakannya ialah kemungkinan keadaan dan ekonomi masyarakat yang semakin mantap, maka luahan rasa penyair tidak selantang dan sekeras seperti tahun-tahun 1970an. Selain nama-nama yang sudahpun dikenali seperti Masuri, MAS, Suratman Markasan, Mohamed Latiff Mohamed, Isa Kamari, Norul Ashikin Jamain, A Rahim Basri, Asmin dan Rohman Munasip, terdapat juga “kalangan penyair-penyair yang lebih muda pula” seperti “Shaffiq Selamat, Juffri Supa’at, Normala Md Yusope, Noridah Kamari, Chairul Fahmy Hussaini, Sharifah Khadijah Aljoofri dan lain-lain.”9

Pada tahun 2000an kita juga dapat melihat beberapa rancangan seperti “Santai Puisi” yang dianjurkan oleh kumpulan belia ASAS ’50 untuk menarik minat golongan belia menyertai kegiatan sastera. Beberapa tahun kebelakangan ini, acara “Gig Puisi” telah diadakan di perpustakaan awam. Apa yang menariknya, rancangan-rancangan ini bukan sahaja menyediakan wadah untuk para penyair yang baru dan muda, bahkan penyair-penyair yang mapan juga turut sama ikut serta sebagai memberi sokongan. Selain itu, acara sebegini diharapkan dapat memberi ruang bagi penyair yang baru dan mapan berkumpul dan saling bertukar pengalaman.

Anugerah Persuratan 2009–2015 juga telah menemui beberapa nama baru yang menjadi penerima Hadiah Persuratan seperti Noor Hasnah Adam, Hidayat Hamzah, Ciung Winara, Kamaria Buang dan Mohamed Naguib Ngadnan di samping beberapa penyair yang mapan seperti Johar Buang, Hamed Ismail dan Peter Augustine Goh walaupun ada antara mereka memang sudah lama bergiat dalam arena sastera.

Penyair bukan sekadar penggiat seni tetapi harus menjadi pemikir masyarakat, menyampaikan luahan dan gerak rasa masyarakat serta mencari dan menemukan jalan penyelesaian kemelut yang dihadapi masyarakatnya. Di dalam buku Sastera dan Manusia Baru, Hadijah berpendapat bahawa:

“Manusia Melayu baru yang perlu dibentuk ialah manusia Melayu yang moden, yang tidak mudah digugat oleh perkembangan semasa, sama ada yang datang dari dalam atau luar negara, bahkan dapat memberi sumbangan yang bermakna dan dapat dibanggakan untuk pembangunan masyarakat dan negaranya serta mampu pula mengukuhkan identiti dan maruah budaya dan agamanya. Tegasnya, kita perlu menjadi masyarakat teladan membentuk suatu ummah yang benar-benar terpuji dan dihormati.”10

Kita dapat melihat isu ini di sentuh para penyair yang telah diulas di dalam Potret Puisi Melayu Singapura, Isa Kamari.11 Di dalam buku ini, terdapat 44 orang penyair dari yang mapan iaitu golongan perintis sehingga yang muda telah disorot. Menurut Isa, di dalam “perihal sistem sosio-budaya Melayu yang menghambat kemajuan masyarakat pula, dalam tafsirannya yang luas, kesemua penyair yang dikaji kumpulan puisinya telah membicarakan dengan rinci dengan keprihatinan yang tinggi dan halus.”12 Cuma jangkauan serta penekanan dalam pengucapan mereka adalah rencam walaupun terasnya tetap ke arah pengukuhan dan penyepaduan jatidiri dan maruah bangsa dan agama.

(Kanan) Kamaria Buang menerima hadiah bahagian puisi eceran daripada Prof Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga & Kementerian Pendidikan merangkap Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura. Gambar: Ihsan Majlis Bahasa Melayu Singapura.
(Kiri) Johar Buang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tun Seri Lanang di majlis Anugerah Persuratan 2015. Gambar: Ihsan Majlis Bahasa Melayu Singapura.

Sayembara-sayembara puisi seperti Anugerah Pena Emas yang dianjurkan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan persatuan penulis akan terus membantu mencungkil dan mendedahkan penyair-penyair muda dan yang baru melibatkan diri dalam dunia kepenyairan di Singapura. Antologi-antologi yang diterbitkan secara bersama umpamanya antologi Hempedu di Tasik Madu (2016) terbitan ASAS ’50 dapat menjadi wadah dan ruang untuk karyakarya penyair ini menemui pembaca selain wadah-wadah akhbar dan media sosial. Usaha-usaha sebegini dapat membantu menentukan kesinambungan dalam dunia kepenyairan di Singapura seperti kata Noridah dan Mas dalam bait-bait puisi di bawah ini.

“Berapa harga adil dan benar
Tiada boleh ditimbang tawar
Engkau yang terus tegar
Ajar semua untuk tidak gentar.”13
– Noridah Kamari

“Jalan…Jalan,
jalan dan jalan….
Jangan berhenti separuh jalan.

Biar sampai ke hujung jalan,
Sampai matlamat jalan kesampaian,
Atau sampai tak boleh jalan.”14

– Muhammad Ariff Ahmad

Penulis ingin merakamkan penghargaan kepada Dr Pitchay Gani Aziz, mantan Presiden ASAS ’50, atas bantuan mengulas artikel ini.

Rujukan

Hadijah Rahmat, Dewani Abbas & Azhar Ibrahim Alwee. (Eds.). (2004). Potret diri seorang penyair: Antologi puisi. Singapura: Majlis Bahasa Melayu Singapura. (Call no.: Malay RSING 899.281 POT)

Juffri Supa’at, Mohd Raman Daud & Sa’eda Buang. (2015). Anugerah Persuratan 2015. Singapura: Majlis Bahasa Melayu Singapura. (Call no.: Malay RSING 899.28 ANU)

Mohamed Naim Daipi, et al (Eds.). (2011). Anugerah Persuratan 2011: [Buku cenderamata]. Singapura: Majlis Bahasa Melayu Singapura. (Call no.: Malay RSING 899.28 ANU)

Mohamed Naim Daipi, et al (Eds.). (2013). Anugerah Persuratan 2013: [Buku cenderamata]. Singapura: Majlis Bahasa Melayu Singapura. (Call no.: Malay RSING 899.28 ANU)

Mustapha Mohamed (1995, Oktober 15). Harapan penulis muda dalam genre puisi. Berita Minggu, hlm 10. Diambil daripada NewspaperSG.

Sahlan Mohd Saman. (1984, March 11). Tema tentang hidup paling digemari. Berita Minggu, hlm 5. Diambil daripada NewspaperSG.

Nota

  1. Mohamed Pitchay Gani Mohamed Abdul Aziz & Azhar Ibrahim. (2015). Di sebalik tabir Masuri S.N.: Biografi dan karya pilihan yang belum tersiar (pp. 187–188). Singapore: National Library Board: Bizmedia Publishing. (Call no.: Malay RSING 899.2809 MOH)
  2. Juffri Supa’at. (2014). Suratman Markasan puisi-puisi pilihan = Selected poems of Suratman Markasan (p. 12). Singapore: National Library Board. (Call no.: Malay RSING 899.281 KAR)
  3. Masuri S. N. (1981). Puisi Temasik 1: Puisi Melayu Singapura dalam konteks nusantara. Diambil daripada NORA.
  4. Masuri, 1981, p. 1.
  5. Hadijah Rahmat. (1998). Sastera & manusia Melayu baru: Kumpulan esei & wawancara (pp. 178–181). Singapura: Persatuan Wartawan Melayu Singapura. (Call no.: Malay RSING 899.284 HAD)
  6. Masuri, 1981, p. 3.
  7. Masuri S. N. (1985). Puisi Melayu di Singapura dalam The poetry of Singapore (p. 23). Singapura: The ASEAN Committee on Culture and Information. (Call no.: RSING S821 POE); Masuri Salikun. (1985). Puisi Melayu di Singapura. In Items relating to The Anthology of ASEAN Literature (p. 23). Singapura: The ASEAN Committee on Culture and Information. (Call no.: RCLOS 899.281 ITE-[MSN])
  8. Rasiah Halil (1999, June 27). Karya puisi Singapura 1995–99 mendedahkan pelbagai persoalan. Berita Minggu, hlm 16. Diambil daripada NewspaperSG.
  9. Berita Minggu, 27 Jun 1999, hlm 16.
  10. Hadijah Rahmat, 1998, (p.169).
  11. Isa Kamari. (2014). Potret Puisi Melayu Singapura (p. 370). Singapore: The Malay Heritage Foundation: Select Publishing. (Call no.: Malay RSING 899.28109 ISA)
  12. Isa Kamari, 2014, (p. 370).
  13. Cekal-tekal-mekar: Karya sepanjang zaman (p. 60).(2014). Singapore: National Library Board. (Call no.: Malay SING CEK)
  14. Muhammad Ariff Ahmad. (2012). Sumbangsih MAS: Koleksi puisi pilihan (p. 16). Singapore: National Library Board. (Call no.: Malay RSING 899.281 MAS)

Post your Comment

Rules of the Blog
Do not post violating content, tags like bold, italic and underline are allowed that means HTML can be used while commenting. Lorem ipsum dolor sit amet conceur half the time you know i know what.